11 Sebab Mengantuk Semasa Belajar dan Cara Mengatasinya

WHAT ARE YOU MADE OF?

Tees, Sweats, Totes

SEBUT sahaja ceramah, semua akan mengantuk. Benar? Ya, kami percaya anda semua turut mengalaminya. Bukan pelajar-pelajar sahaja, bukan kepada ibu-ibu, tidak hanya golongan remaja bahkan semua di dunia ini pasti mengalaminya.

Bagi yang sedang berada di alam persekolahan atau pun universiti, suasana di dalam kelas dan dewan kuliah sudah tentu membuatkan anda semua mengantuk, terutama ketika guru dan pensyarah sedang mengajar. Mengapa boleh jadi begini?

Mengantuk merupakan satu lagi penyakit yang sering menyerang pelajar ketika guru/pensyarah sedang mengajar dan ketika mengulang kaji pelajaran. Pelajar yang cemerlang biasanya memberi tumpuan sepenuhnya semasa guru/pensyarah mengajar dan membuat ulang kaji dalam keadaan segar. Mengapa mengantuk apabila belajar?

11 Sebab Mengantuk Semasa Belajar

1. Tidak cukup tidur

Ini ialah sebab utama pelajar sering mengantuk ketika sedang belajar. Ada setengah pelajar tidur lewat malam sehingga pukul 1 atau 2 pagi walaupun mereka tahu esok ada hari persekolahan atau kelas.

Tidur lewat mungkin kerana terlalu khusyuk mengulang kaji atau membuang masa dengan aktiviti tidak berfaedah seperti bersembang, mendengar radio, berchatting, melayari internet dan sebagainya.

Jangan amalkan tabiat suka tidur lewat. Jika ini menjadi amalan anda, maka sebenarnya anda tidak mempunyai matlamat hidup yang tetap. Pelajar yang mempunyai matlamat tidak akan membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah.

Bagi anda yang suka mengulang kaji sehingga lewat malam, ubahlah tabiat anda itu. Ingat, pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang ‘study smart’ bukannya ‘study hard’.

Jadikan tidur anda satu prioriti dan tetapkan jadual tidur. Tutup laptop, jangan buka apps, matikan segala gajet anda. Untuk mendapatkan tidur yang berkualiti, tutup lampu ketika tidur.

2. Tidur Apnea (Sleep Apnea)

Kadang-kadang anda fikir anda sudah mendapatkan tidur yang cukup tetapi masalah apnea ini pula yang mengganggu. Apnea ini adalah disebabkan saluran pernafasan anda tersekat ketika tidur.

Hal ini menyebabkan anda berdengkur dan kemudiannya tidak bernafas. Selepas itu secara tiba-tiba anda terbangun sesak nafas. Setiap gangguan mengejutkan anda dari tidur tapi anda mungkin tidak sedar. Hasilnya, anda tidak dapat tidur yang berkualiti dan prestasi anda di siang hari merosot.

Keadaan ini biasanya dihidapi orang yang obese atau orang merokok. Turunkan berat badan anda dan jangan merokok.

3. Tidur Berlebihan

Tidur terlalu lama juga boleh menyebabkan anda mengantuk dan otak menjadi lembap. Tidur yang cukup adalah sebanyak enam hingga lapan jam sehari. Jangan tidur yang lebih daripada tempoh itu. Yang penting, jangan cuba mengatasi masalah ini dengan mengambil ubat atau pil kerana ini akan memudaratkan kesihatan anda.

4. Makan Terlalu Banyak

Walaupun sudah kenyang, perut masih mahu lagi diisi. Ini akan menyebabkan perut anda terpaksa bekerja untuk menghadamkan makanan tersebut. Proses ini memerlukan banyak oksigen dan mengerah banyak tenaga. Itulah sebabnya anda berasa mengantuk semasa belajar.

5. Tidak cukup tenaga

Diet yang keterlaluan akan menyebabkan anda lemah. Diet yang seimbang membantu anda untuk mengekalkan tenaga dan juga paras glukosa dalam darah. Apabila paras glukosa dalam darah menjadi rendah, anda akan menjadi lemah dan boleh menyebabkan pitam.

Pastikan anda sarapan pagi setiap hari. Ambil sarapan yang ringkas seperti makan sebiji epal, madu, roti atau telur separuh masak serta minuman kegemaran anda. Sarapan pagi dapat membekalkan tenaga untuk anda memulakan hari dengan penuh bertenaga dan bersemangat.

6. Badan Terlalu Letih

Anda mengantuk disebabkan oleh badan anda yang terlalu letih kerana melakukan aktiviti sepanjang hari. Aktiviti seperti bersukan atau beriadah berlebihan seperti berbasikal mengelilingi kampung berjam-jam atau bermain futsal pada lewat malam. Semua ini menggunakan tenaga dan membuat anda letih.

Tidak salah anda bersukan dan beriadah demi kesihatan tetapi biarlah kena pada waktu dan tujuannya. Anda boleh beriadah selama 30 minit hingga 1 jam sehari agar anda berasa segar pada sebelah malam untuk menelaah pelajaran.

Ada setengah pelajar terlalu letih akibat menjalani aktiviti kokurikulum yang berlebihan di sekolah. Tidak perlulah terlalu aktif sehingga menjejaskan prestasi mengulang kaji dan meletihkan badan. Pilihlah aktiviti yang anda minati dan jangan terlalu berat. Tidak gunanya anda cemerlang dalam kokurikulum tetapi lemah dalam pelajaran.

Jadi, pastikan kegiatan harian anda seimbang antara pencapaian akdemik dengan penglibatan dalam kokurikulum. Ingat, anda perlu segar dan tidak mengantuk semasa mengulang kaji atau di dalam kelas.

7. Kurang Darah Merah (anemia)

Dalam kalangan pelajar perempuan, anemia merupakan penyebab utama mereka sering berasa lemah. Ini kerana mereka akan kehilangan darah ketika datang haid. Biasanya tahap besi (iron) dalam darah akan berkurang dan meletakkan mereka dalam keadaan berisiko. Sel darah merah sangat penting untuk membawa oksigen keseluruh organ.

Lemah, sesak nafas, sering berdebar-debar, adalah simptom anemia. Pergi berjumpa doktor sekiranya anda mempunyai simptom-simptom tersebut.

Sekiranya disebabkan kurang besi dalam darah, dapatkan iron supplement di klinik-klinik atau makan makanan yang mempunyai kandungan iron yang tinggi seperti daging merah, dan juga kekacang.

8. Tekanan Emosi

Setiap orang pernah mengalami tekanan. Tekanan emosi anda mungkin melihat sekadar memberi kesan kepada emosi sahaja, tetapi ia juga memberi kesan kepada fizikal juga. Lemah, sakit kepala, hilang selera makan adalah simptom yang sering berlaku akibat tekanan emosi.

Lakukan perkara-perkara yang mengurangkan stress seperti beriadah dan bermunajat kepada Allah.

Jika tidak berkesan sebaiknya anda mendapat nasihat psikiatri. Psikiatri bukan hanya untuk orang yang bermasalah mental. Jika anda mempunyai masalah emosi yang tidak mampu ditanggung anda harus berjumpa dengan pakar psikiatri. Mereka mungkin akan memberikan ubat sebagai satu cara untuk mengubat masalah tersebut.

9. Penyakit Hipotiroid

Anda mungkin akan perasan terdapat kalenjar yang membesar di bahagian halkum anda. Kalenjar tiroid ini berfungsi untuk mengawal metabolisma anda. Apabila kalenjar ini tidak dapat menghasilkan hormon tiroid dengan cukup, metabolisma badan akan menjadi bertambah perlahan. Menyebabkan anda bertambah berat badan dan bermacam-macam lagi simptom lain.

Jumpa dengan doktor dan mereka akan melakukan ujian darah untuk mengetahui kadar hormon tiroid anda.

10. Dehidrasi

Mudah lemah dan mengantuk mungkin disebabkan anda kurang minum air. Sama ada anda melakukan senaman ataupun bekerja di meja, badan anda memerlukan air yang mencukupi.

Minum air kosong sekurang-kurangnya 2 liter sehari. Sekiranya anda bersenam, minum air setiap kali anda melakukan senaman. Apabila rasa dahaga sahaja, terus minum seteguk dua. Apabila anda minum banyak air, air kencing anda akan kelihatan lebih jernih dan terang.

11. Tidak Minat Belajar

Masalah ini sering dialami oleh para pelajar. Minat tidak akan datang sendiri dalam diri anda. Minat akan wujud disebabkan oleh pengaruh-pengaruh tertentu seperti ibu-bapa, guru, penguasaan yang baik dalam mata pelajaran tertentu, mendapat markah yang tinggi dan sebagainya.

Cuba timbulkan minat anda dengan menguasai kaedah belajar yang betul. Minat mula timbul apabila anda dapat menguasai sesuatu mata pelajaran. Oleh itu, baiki cara belajar anda dan tingkatkan usaha anda.

Tidak minat juga timbul akibat tersalah pilih jurusan pengajian. Hal ini merupakan satu masalah yang kerap dihadapi oleh para pelajar. Pelajar perlu bersikap jujur terhadap diri sendiri. Di manakah keupayaan anda sebenar? Apakah kecenderungan anda? Dalam apa jua pekerjaan, kita hanya dapat melakukan yang terbaik sekiranya kita mempunyai minat yang mendalam. Pekerjaan yang dipaksa-paksa tidak akan membawa kepuasan.

Sekiranya anda sedang mengikuti bidang yang sebenarnya anda tidak minat, ‘it’s never too late to start again’. Segala apa yang dipelajari tidak akan sia-sia, ilmu sentiasa berguna.

Berdasarkan maklumat di atas, kami harap pelajar-pelajar dapat mengenal pasti kenapa mengantuk semasa belajar. Setiap masalah kalau kita tahu punca, Insya Allah kita boleh ikhtiar untuk mengatasinya.

Kalau mengantuk juga, cuba tarik nafas dalam-dalam, kembungkan perut, tahan seketika dan lepaskan perlahan-lahan. Ulang 10 kali.

One Response

  1. Ummm…saya,hampir setiap hari selalu menguap ketika sedang belajar…terasa penat tu pun ada…kadang-kadang malas nak belajar pun ada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More Articles.

GET Notified.

Join Our
Notification
squad

WRITE