17 Kemungkinan Mengapa Temuduga Kerja Anda Berakhir Dengan Kekecewaan

WHAT ARE YOU MADE OF?

Tees, Sweats, Totes

17 Kemungkinan Mengapa Temuduga Kerja Anda Berakhir Dengan Kekecewaan

Anda berasa penat kerana asyik gagal sahaja dalam temuduga kerja? Cuba semak kalau-kalau anda ada melakukan kesilapan-kesilapan yang kami nyatakan ini.

Mungkin itulah sebabnya mengapa anda gagal temuduga dan tidak ditawarkan kerja di syarikat yang anda mohon.

Lambat Hadir & Tiada Persediaan

Lambat hadir.

Ini adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku pada hari anda menghadiri temuduga. Ia mencerminkan anda lemah dari segi pengurusan masa.

Buat persediaan awal dengan mencari tempat temuduga. Jikalau anda tidak biasa dengan lokasi temuduga, guna Google Maps ataupun Waze. Ada banyak software yang boleh membantu anda mencari lokasi temuduga.

Sekiranya anda datang menaiki kenderaan sendiri, kenal pasti juga lokasi tempat letak kenderaan.

Datang awal ke tempat temuduga bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Memberi alasan kesesakan lalu lintas adalah satu kesilapan yang besar. Memberi alasan tidak membantu anda berjaya dalam temuduga.

Imej Tidak Professional

Impresi penemuduga terhadap anda sangat penting. Antara cara untuk memberi impresi yang positif kepada mereka adalah dengan memakai pakaian yang menampakkan ciri-ciri anda seorang yang profesional.

Pakaian anda tidak perlu mahal seperti pakaian yang dibeli di butik. Tetapi cukup sekadar sejuk mata penemuduga ketika mereka memandang anda. Jangan pula terlalu gah seperti pertunjukan model.

  cat office business cute cat GIF

Temuduga bukan pertunjukan fesyen, terutama buat calon perempuan.

Ya!

Kelihatan cantik itu perlu, tetapi anda harus berhati-hari supaya penemuduga tidak merimaskan pandangan mereka.

Ketika temuduga, anda mungkin berhadapan dengan pelbagai kerenah panel penemuduga. Untuk selamat, seelokknya bersederhana sahaja dan pastikan anda kelihatan professional.

Lupa Sediakan Dokumen Penting

Pastikan anda tahu dokumen penting apa yang harus dibawa ke sesi temuduga nanti. Jangan sampai terlupa! Dapatkan maklumat apa yang harus dibawa sebelum hadir ke temuduga.

Sekiranya perlu buat satu senarai dokumen penting yang perlu dibawa ke sesi temuduga. Susun dokumen dengan kemas agar mudah untuk dibaca dan disemak oleh penemuduga.

Jangan lupa bawa dokumen penting yang diperlukan dalam temuduga.Terlebih Ramah

Terlalu ramah dalam temuduga juga boleh menimbulkan rasa kurang selesa kepada panel penemuduga. Temuduga adalah satu sesi formal. Anda hanya boleh bersantai apabila penemuduga menukar sesi kepada santai.

Calon yang terlebih ramah bertanya soalan yang tidak sepatutnya ditanya, boleh memberikan impresi yang kurang baik terhadap mereka.

Bercakap apabila disoal dan ketika mahu bertanya soalan.

Untuk hilangkan rasa gementar sebelum temuduga, anda boleh lakukan senaman ringkas. Membaca doa juga turut boleh membantu.

Relak, anda bukan dihukum. Anda hanya disoal.

Terlalu Pemalu & Pasif

Dalam sesuatu sesi temuduga, calon tidak boleh terlalu pemalu dan pasif. Anda perlu banyak berinteraksi dengan penemuduga. Anda dipanggil hadir ke temuduga supaya bakal majikan boleh berinteraksi dengan anda.

Tetapi jika anda tidak banyak berinteraksi dengan mereka, bagaimana anda mahu menarik minat mereka untuk memberikan anda pekerjaan.

Rasa malu itu harus bertempat!

Berlatih untuk menjawab soalan temuduga. Buat kajian soalan-soalan yang kerap ditanya dalam temuduga. Mudah-mudahan soalan yang anda ulangkaji itu ditanya dan anda boleh menjawab dengan lebih yakin.

Lagak Gaya Berlebihan

Usah meninggi diri dalam percakapan anda. Ia berbeza dengan menyatakan kelebihan diri anda.

Panel penemuduga adalah mereka yang profesional. Mereka dilatih untuk memahami bahasa badan dan gaya bahasa calon. Mereka dapat lihat sama ada anda meninggikan diri atau tidak melalui cara jalan dan juga gaya percakapan anda.

Bersederhana dalam percakapan anda. Bahasa mudahnya, jangan cakap besar.

Mereka boleh menggunakan pelbagai teknik bagi mengorek maklumat diri anda melalui soalan yang ajukan. Berlebih-lebihan ketika menjawab soalan tidak membantu anda.

Tidak menjaga bahasa badan

Selain berkomunikasi dengan bercakap, kita juga berkomunikasi dengan bahasa badan. Lazimnya ia melibatkan perkara yang dianggap remeh-temeh dan tidak kita ambil berat langsung. Contohnya;

Elakkan dari melakukan tabiat yang membuatkan anda nampak tidak berkeyakinan. Tabiat suka menekan penutup pen, kerap menggaru kepala dan menggoyang-goyangkan kaki.

Disiplinkan diri anda dalam 1 jam untuk sembunyikan semua tabiat tersebut.

Ia juga mungkin boleh membuatkan penemuduga berapa kurang selesa ketika bercakap dengan anda.

Menggunakan Bahasa Pasar

Bahasa pasar adalah bahasa yang digunakan dalam perbualan seharian. Ia adalah bahasa yang tidak formal. Dalam temuduga, anda perlu menggunakan bahasa formal dan teratur.

Jangan ambil mudah tentang soal bahasa, anda mungkin tidak diterima bekerja di syarikat yang anda pohon. Bercakap menggunakan bahasa pasar memberikan persepsi yang kurang baik panel penemuduga kepada anda.

Penemuduga adalah orang yang berpengalaman dan lebih tinggi pengetahuan mereka daripada anda. Oleh itu, gunakan bahasa yang lebih formal untuk menghormati mereka dan menghargai mereka sebagai orang yang berpengalaman.

Bertanya “Gaji Saya Berapa?”

Ketika dalam temuduga, jangan mendahului penemuduga tanpa keizinan. Bertanya tentang gaji itu tidak salah. Tetapi bertanya soal gaji sebelum penemuduga menyentuh soal gaji adalah satu kesilapan besar.

Bayaran gaji adalah berbeza-beza mengikut syarikat dan sektor.

Kerja dalam sektor kerajaan mempunyai tangga gaji yang tersendiri. Berbeza pula dengan sektor swasta, gaji adalah pelbagai dan mengikut aktiviti bisnes mereka.

Jika ini adalah panggilan temuduga pertama anda selepas tamat belajar, soal gaji adalah isu sensitif kepada pihak anda dan juga pihak syarikat.

Disebabkan anda belum ada pengalaman bekerja sebelum ini, pihak syarikat tidak tahu sejauh mana potensi anda dalam menjalankan tugas. Oleh itu, bertanya tentang gaji apabila mereka menyentuh soal gaji sahaja.

Jika anda berpengalaman, bertanya soal gaji adalah satu kebiasaan kerana anda mempunyai pengalaman kerja dan kemahiran yang telah dibina sewaktu pekerjaan sebelum ini.

Merayu-Rayu & Terlebih Drama

Usah merayu-rayu ketika dalam sesi temuduga. Perbuatan merayu-rayu dengan niat supaya supaya penemuduga berasa kasihan dengan anda dan mengambil anda bekerja tidak berkesan.

Ia menunjukkan anda amat terdesak untuk mendapatkan pekerjaan.

“DRAMA” seperti ini juga mungkin akan menyebabkan sesi temuduga anda berakhir lebih awal daripada yang sepatutnya. Ia boleh menyebabkan penemuduga rimas dengan anda.

Banyak Sangat “Mungkin”

Apabila menjawab soalan penyelesaian masalah, elakkan menggunakan perkataan “MUNGKIN” dan yang seumpamanya. Elakkan dari pada menjawab, “Mungkin saya akan buat begini dan begini….”

Ayat kemungkinan adalah ayat menandakan tahap keyakinan diri anda. Terlalu banyak kemungkinan dalam jawapan memungkinkan juga anda diterima untuk menjawat jawatan tersebut.

Jawab dengan yakin dan matang. Anda ingin bekerja, bukan menjawab soalan di kertas peperiksaan. Tiada jawapan betul atau salah, mereka cuma ingin melihat kreativiti anda dalam menguruskan situasi yang berlaku.

Tidak Mampu Membuat Keputusan Sendiri

Kadang-kala soalan yang diberikan itu memerlukan anda membuat keputusan dalam masa yang singkat. Anda juga perlu yakin dengan setiap jawapan yang anda beri.

Meminta supaya sesuatu soalan ditangguhkan dahulu supaya anda boleh bertanya kepada pihak lain terlebih dahulu menunjukkan anda masih belum boleh membuat keputusan sendiri.

Tetapi ada masanya anda memang perlu merujuk kepada seseorang yang mempunyai pengetahuan yang lebih tinggi dan perlu menangguhkan dalam memberi jawapan. Di sini ia menunjukkan anda bijak dalam menguruskan sumber maklumat.

Oleh itu, berlaku bijak dalam membuat keputusan anda.

Tiada Lesen Memandu

Sesetengah syarikat menetapkan syarat tertentu kepada calon. Antaranya ialah calon perlu mempunyai lesen memandu. Jikalau anda lesen memandu ia juga boleh menyebabkan anda gagal dalam temuduga.

Sesetengah jawatan memerlukan calon untuk bekerja di luar pejabat untuk bertemu pelanggan.

Untuk lebih selamat usahakan untuk mendapatkan lesen memandu atau pilih sahaja jawatan lain yang tidak memerlukan lesen kenderaan sebagai syarat penting.

Diam Tanpa Memberi Jawapan Apabila Ditanya Dalam Bahasa Inggeris

Jikalau anda mahir bercakap menggunakan bahasa Inggeris, itu merupakan satu kelebihan buat anda.

Tetapi ada juga calon yang jarang menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan. Itu menyebabkan mereka tidak yakin untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Dalam satu sesi temuduga, ia boleh berlangsung dalam bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris. Apabila anda disoal dalam bahasa Melayu, jawab menggunakan bahasa Melayu. Tetapi apabila anda disoal menggunakan bahasa Inggeris, anda juga perlu menjawab dalam bahasa Inggeris.

Jangan hanya mendiamkan diri apabila disoal dalam bahasa Inggeris. Terus atur ayat sebagaimana yang anda boleh jawab. Mendiamkan diri menandakan anda tidak minat dan tidak menampakkan usaha anda.

Tidak Mengkaji Syarikat / Jawatan

Apabila anda ingin bekerja di syarikat yang anda mohon, anda seharusnya peka terhadap bisnes syarikat tersebut.

Anda boleh menyemak maklumat syarikat di laman web syarikat tersebut. Apabila anda gagal membuat kajian tentang syarikat yang anda pohon, anda bakal menemui jalan buntu apabila panel temuduga bertanya tentang “Apa pandangan anda tentang syarikat kami?”

Bagi jawatan kerajaan, anda berkhidmat dengan kerajaan. Apa yang harus anda peka adalah berkenaan jawatan. Calon yang tidak mengetahui maklumat tentang jawatan yang mereka mohon menunjukkan mereka tidak berusaha dengan cukup.

Ambil masa mengkaji syarikat dan jawatan terlebih dahulu sebelum hadir ke temuduga. Jika tidak, temuduga anda menjadi satu temuduga yang sia-sia sahaja.

Terlalu “DEMAND”

Terlalu “demand” semasa temuduga juga boleh membuatkan anda gagal lebih awal. “Demand” bermaksud anda meminta pihak syarikat sediakan rumah, kenderaan dan pelbagai kelengkapan lain untuk anda.

Tidak salah untuk “demand” jika anda sememangnya seorang yang menjadi rebutan dipasaran. Tetapi jika anda anda hadir ke temuduga untuk melompat kerja ke tempat kerja baru, elakkan dari terlalu meminta-minta.

“Demand” bagi pihak syarikat adalah satu bentuk pelaburan mereka kepada anda. Bagaimana mereka boleh laburkan terlalu banyak kemudahan untuk anda sedangkan anda belum menunjukkan prestasi yang baik lagi kepada mereka?

Terlalu Berpolitik

Adakalanya panel temuduga menguji anda dengan fahaman politik. Mereka ingin melihat pendapat anda tentang hal-hal dunia luar.

Namun, anda harus berhati-hati dalam memberikan pendapat anda supaya tidak menampakkan anda menyebelahi sesiapa. Atau dalam erti kata lain anda terlalu fanatik kepada sesuatu parti.

Jawab secara “general” sahaja. Berpolitik bukan tempatnya di dalam bilik temuduga. Panel temuduga menyoal anda dengan niat untuk melihat sejauh mana kefahaman dan keseriusan anda dalam politik negara.

Bersederhanalah. Usah kerana politik anda tidak diterima kerja.

Bonus : Hargai Panel Temuduga

Manusia suka dihargai. Anda juga begitu. Oleh itu, selepas tamat temuduga berikan penghargaan kepada mereka dalam bentuk pujian atau mengucapkan terima kasih kerana meluangkan masa menemuduga anda. Bukannya terus beralih dan terus beredar.

Dapatkan nama dan emel panel temuduga untuk anda menulis emel ringkas untuk ucapan terima kasih anda sekali lagi selepas pulang ke rumah. Ia nampak biasa, tetapi kesannya diluar jangkaan anda.

Jika dalam perniagaan ia dinamakan After Sale Service.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More Articles.

GET Notified.

Join Our
Notification
squad

WRITE