Hampir Diserang Sawan Semasa MDS

WHAT ARE YOU MADE OF?

Tees, Sweats, Totes

Bismillahirrahmanirrahim…

 

Assalamualaikum! Terdetik hati aku nak menulis catatan memori sepanjang aku bergelar siswi sewaktu minggu orientasi pelajar baharu Universiti Teknologi MARA atau lebih dikenali sebagai Minggu Destini Siswa (MDS) di UiTM.

Okey, mula-mula aku nak cerita pasal kisah awal sewaktu aku dapat surat tawaran kemasukan ke UiTM melalu permohonan UPU. Aku hanya mendapat tawaran selepas mengisi borang rayuan. Aku diterima mengikuti kursus Diploma Kejururawatan di UiTM Kampus Puncak Alam, Selangor. Gembira tak terkata apabila sebahagian dari impian aku untuk menjejakkan kaki di menara gading tercapai.

Jadi aku terkecuali daripada mengikuti minggu orientasi. Aku hanya perlu hadir lapor diri dan terus meneruskan pengajian. Tapi sayangnya, aku tak dibenarkan mengikuti program sains kesihatan, disebabkan status kesihatan aku yang kurang memuaskan. Aku langsung tak terfikir berkenaan masalah kesihatan aku sendiri dan syarat kelayakan yang perlu dipatuhi untuk mengikuti program sains kesihatan. Nak dijadikan cerita, aku hanya mengikuti kursus ini tak sampai tiga minggu.

Aku merupakan seorang gadis penghidap epilepsi atau secara ringkasnya, seorang penderita sawan. Penyakit ini antara penyakit yang sering dihina dan dicaci masyarakat disebabkan kurang kesedaran tentang penyakit ini. Orang sekeliling fikir penyakit aku ni seakan-akan orang gila atau sakit mental. Aku dah biasa dicaci masyarakat. Setiap hari, aku perlu mengambil ubatan bagi mengelakkan serangan sawan berlaku. Hidup aku bergantung pada ubatan sejak aku didiagnos oleh doktor menghidap penyakit sawan sejak usia 16 tahun.

Aku diarahkan oleh Jabatan Kejururawatan untuk menukar program pembelajaran yang lain. Setelah tertangguh selama dua semester disebabkan tercicir, barulah aku kembali bergelar siswi. Tak apa, asalkan dapat sambung pengajian. Fakulti Sains Gunaan, UiTM Kuala Pilah Kampus Pekan Parit Tinggi, Beting, Negeri Sembilan menjadi pilihan. Diploma Mikrobiologi tercatat pada kad pelajar sementara aku sepanjang minggu orientasi.

Okey, ni baru la nak mula cerita. Yang tadi tu cuma pendahuluan je haha. Biasanya, hari pertama pendaftaran, semua bakal pelajar mesti la bawa surat tawaran kemasukan kan? Aku? Aku cuma hanya ada surat pengesahan pertukaran kampus dan program daripada Bahagian Hal Ehwal Akademik dari kampus induk, UiTM Shah Alam sebagai tiket untuk aku sambung pengajian. Macam mana ni?

Awalnya, proses pendaftaran untuk kolej kediaman taklah merumitkan. Aku menjalani program MDS sama seperti siswa siswi yang lain. Pakaian jeans diharamkan. Kena bersarung kasut sukan walaupun sopan memakai baju kurung. Selendang dilarang sama sekali! Cuma tudung bawal sahaja dibenarkan.

Semua perkara nak kena rushing kecuali waktu menunaikan solat berjemaah la. Waktu makan pun kena cepat sebab ruangan makan yang sempit dan terhad untuk memuatkan semua pelajar. Jadi kami terpaksa bergilir untuk mendapatkan tempat. Pantas siswi! Pantas! Kakak dan abang senior sebagai pembantu mahasiswa (PM) lantang bersuara sama macam siren pak cik polis bantuan. Kena berjalan pantas ulang-alik dari kolej kediaman ke kampus. Tak kiralah berapa kali satu hari terutama waktu makan dan solat. Mandi cuma pada awal pagi sebelum jam 6 pagi dan hanya akan pulang pada 12 tengah malam. Peluh-peluh bau badan dia jangan cakap la. Wangi semerbak harum kasturi. Balik tengah malam ni, kalau dah penat, ada yang terus pengsan kat katil. Tapi kalau aku, badan berlengas macam ni, memang wajib mandi dulu sebelum tidur.

Haha paling tak boleh tahan selekeh, aku dengan housemate pernah sekali tak mandi pagi sebab bangun lewat. Kakak PM dah terjerit-jerit kejut semua orang satu rumah bangun. Apa lagi, cuma basuh muka dan berlari turun berkumpul dengan semua orang. Cuma kami satu rumah dengan akak PM tu je yang tahu rahsia ni dan korang yang baca kisah aku ni tahulah haha. Badan memang berlengas la satu hari tak mandi. Nak buat macam mana. Tahan je la sampai malam nanti baru dapat mandi. Padan muka siapa suruh bangun lewat.

Di kampus, disebabkan aku menghadapi masalah untuk pendaftaran oleh sebab ketiadaan surat tawaran dan borang-borang yang kebiasaannya bakal pelajar perlu muat turun sebagai dokumen umum, kadang-kadang kakak pembantu mahasiswa asingkan aku daripada barisan para pelajar yang lain. Aku terpaksa duduk kat bahagian belakang sekali kat dewan tu, dekat-dekat dan hampir dengan barisan kakak-kakak dan abang-abang PM. Supaya nanti senang ada apa-apa hal, aku senang nak dipanggil. Nombor telefon aku pun diambil supaya senang dihubungi. Tapi ada telefon bimbit pun, kalau sepanjang MDS, mesti kena silent. Tak boleh main smartphone. Pernah juga la akak PM tu telefon sebab ada urusan aku kena jumpa dengan staf, tapi sebab silent punya pasal, tak dengar la hehe sorry kak.

Yang kelakarnya, waktu aku duduk belakang tu, ada seorang siswi salah orang. Pelajar tu mahu ke tandas, jadi dia minta izin dengan aku sebab dia ingat aku ni kakak PM, haha. Baru orientasi, junior, belum senior dah jadi PM. Cepatnya upgrade!

Sepanjang MDS, tipulah kalau tak ada yang curi-curi tidur. Jadi, kalau dah dekat dengan barisan PM yang kat belakang tu, aku tak dapat la nak curi-curi tidur. Tahan je mengantuk ni. Kang tak pasal-pasal muka aku terpampang waktu slide hari akhir MDS nanti. Kakak abang PM ni pantang nampak orang lelap, cepat je snap gambar.

Lagu UiTM Di Hatiku dan Wawasan Setia Warga UiTM sentiasa menjadi alunan kami setiap hari. Mesti kena hafalkan sebelum hari terakhir ataupun hari penutup majlis MDS. Tapi secara jujurnya, aku langsung tak ada rasa muak dengar lagu ni. Mungkin aku terlalu menghayati bait-bait lirik lagu UiTM Di Hatiku, sampai aku pernah menitis air mata, terutamanya bahagian akhir lagu tu start daripada “watikah yang ku miliki kan ku semat dihati…..”

 

Ku yang melangkah ke sini ingin mempelajari

Rahsia di muka bumi dengan cara hakiki

Tunjukkan aku jalan ilmuMu untukku menuju

Destinasi cita-cita negara dan bangsaku

 

Majulah bangsa, maju negara, berkat usahajaya MARA

Kami berikrar akan berjasa hingga kita berjaya, demi bangsa

Watikah yang ku miliki kan ku semat di hati

Janjiku pada pertiwi untuk menabur bakti

Kusempurnakan seikhlas hati membela negara

Doa restu ayah bonda ku untukmu semua

 

UiTM, usaha, taqwa, mulia….

 

Percaya tak, sepanjang aku taip lirik ni, aku nyanyi dalam hati? Hafal tau lagu keramat ni. Bukan copy paste dari ‘encik Google’ ye. Sangat mendalam bila kita hayati maksudnya. Feeling habis la senang cakap. Sampai aku bersemangat belajar lagu UiTM ni versi gitar akustik guna gitar kapok aku. Kalau disuruh buat cover gitar aku tak malu pun. Bangga beb!

 

Ok dah jauh aku melalut.

 

Tak dapat dinafikan, dalam rasa penat, tak cukup tidur, simptom penyakit yang aku hidapi sering menunjukkan tanda. Aura selalu bertandang. Apa itu aura? Aura ni satu perasaan atau sensasi datang dalam bentuk yang berbeza pada setiap individu penghidap epilepsi contohnya perasaan takut, bingung, cemas, berdebar-debar. Kepala pening, rasa macam nak tumbang. Aura juga satu petanda sawan atau seizure (serangan mengejut). Aku paling tak suka bila aura datang. Rasa nak lari jauh dari semua orang. Risau la kalau tiba-tiba aku rebah kat lantai, badan bergoncang, mulut berbuih. Sawan diibaratkan seperti sebuah tsunami melanda otak. Boleh bayang kan? Malu kot. Haru nanti satu dewan.

Jadi, aku terpaksa beritahu keadaan aku yang kurang sihat ni pada PM sebelum perkara buruk berlaku. Aku mengaku pada PM aku menghidap sawan. Aku diarahkan duduk dalam barisan PM. Selalunya, kalau ada pelajar sakit, mereka akan ditempatkan di barisan PM di bahagian belakang dewan supaya senang untuk pemantauan. Kali ni, aku bukan setakat duduk kat bahagian belakang dewan, malah aku duduk dengan kelompok kakak-kakak dan abang-abang PM. Paling aku tak boleh lupa, seorang kakak PM siswi tolong urutkan tangan aku. Alhamdulillah, aku selamat dari serangan sawan.

Tapi lain pula penyakit yang datang. Masalah keracunan makanan melanda para pelajar. Sebahagian dari kami mengalami ciri-birit dan sakit perut. Aku pun tak terkecuali. Berlari ke sana sini mencari tandas. Ada kalanya terpaksa menunggu giliran. Satu tandas sehingga tiga orang menunggu giliran. Cuma tak ada ambil nombor la. Siapa sampai dulu dia dapat.

Bagi membendung masalah yang berlaku, para pelajar yang terbabit dengan keracunan makanan diarahkan mendapatkan rawatan. Ada yang hanya mendapat rawatan di unit kesihatan, manakala sebahagian lagi mendapatkan rawatan di luar kampus. Seingat aku, sebuah ambulans dan sebuah bas UiTM dikejarkan ke klinik kesihatan. Aku tak terkecuali untuk mendapatkan rawatan. Salah seorang housemate aku dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke wad disebabkan cirit-birit yang teruk dan demam.

Sepulangnya kami dari mendapatkan rawatan, kami diarahkan berehat di kolej kediaman masing-masing. Kami dikecualikan daripada mengikuti program hingga ke petang. Apa lagi? Peluang keemasan! Dapat la tidur sepuas-puasnya kat atas katil kesayangan. Mungkin inilah hikmahnya Allah bagi sakit. Dapat peluang tidur lebih sikit. Hihi.

Itulah serba sedikit kenangan pahit manis sepanjang aku bergelar mahasiswa. Panjang ke bebelan aku ni? Sekarang Alhamdulillah syukur dah masuk dua bulan aku baru sahaja tamat pengajian diploma selama tiga tahun di UiTM. Aku dah buktikan pada semua orang yang aku boleh tamatkan pengajian walaupun ada masalah kesihatan, walaupun kena telan pil setiap hari, walaupun cabaran hidup berliku. Get that diploma no matter how long it takes. It is not a race. It is a matter of fulfilling your dreams. And I did it. Sekarang aku cuma tunggu untuk konvokesyen. Kalau ada rezeki, InshaAllah, dengan izinNnya, aku berhasrat nak sambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UiTM semula. Nanti sewaktu MDS, dah boleh bayang minggu orientasi yang bakal berlaku, nanti boleh la eksyen sikit dah hafal lagu UiTM tu haha. Doakan la ye? Assalamualaikum.

 

Hak cipta terpelihara oleh:

Nurul Izati binti Sahib

ID UiTM tak perlu kan? Hehe

 

==========================================

Anda ada cerita UiTM yang ingin dikongsikan ?

Hantar Story UiTM anda ke salam@madeinuitm.com

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More Articles.

UiTM di ❤ ku

Carnival Entrepreneur FSR 2018

Pelajar Bachelor in Sport Management Part 4, akan mengadakan Carnival Entrepreneur FSR 2018 di bawah subjek Sport Communication. Details Activities: – Recreation Movement – Wellness

Read More »

GET Notified.

Join Our
Notification
squad

WRITE