SEJARAH baru berjaya dilakar pasukan bolasepak rasmi Universiti Teknologi Mara (UiTM), UiTM FC, apabila berjaya layak ke saingan Piala Malaysia buat pertama kalinya selepas berjaya memperoleh keputusan 1-1 ketika bertemu PKNP FC, semalam.
- Pengendali UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail mengakui berpuas hati dengan prestasi pasukannya ketika bertemu PKNP FC semalam dan berbangga dengan sejarah baru yang telah berjaya dilakar pasukan The Lion Troops itu.
Wan Mustaffa berkata, kejayaan tersebut menunjukkan pasukannya bukan lagi lubuk mata pihak lawan dan pasukan belasahan seperti musim lalu.
Justeru, beliau mengharapkan dengan kemenangan ini, pemain dapat terus mengekalkan momentum dalam perlawanan seterusnya.
“Apa pun saya sangat bangga dengan permainan yang ditunjukkan oleh anak buah saya malam ini (semalam) dengan mencatat sejarah dengan melayakkan diri mereka ke Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah sejak penubuhan kelab ini.
“Saya percaya, kemenangan ini hasil daripada semangat kekeluargaan yang utuh di kalangan pemain, staf kejurulatihan dan pengurusan,” katanya.