Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest

UiTM kekal untuk Melayu dan Bumiputera

Sumber : Sinar Harian 

Oleh : Professor Dr Ismail Sualman

SEBAGAI pensyarah di Universiti Teknologi Mara, saya tetap menghormati pandangan Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arshad Ayub berkaitan dengan membenarkan kemasukan bukan Bumiputera ke UiTM. Terutamanya untuk kursus pengajian pascasiswazah bagi menjamin keseimbangan persaingan antara pelbagai kaum di negara ini.

Sebenarnya ramai yang terkejut dengan kenyataan Tan Sri yang lebih dikenali sebagai ayahanda dalam kalangan warga UiTM. Tan Sri mempunyai alasan dan rasional serta substan tersendiri. Namun warga UiTM yang sekian lama dipasak agar mempertahan perisai UiTM sebagai maruah dan roh bangsa berasa pelik dengan pandangan beliau. Adakah sekadar menjawab soalan wartawan yang menjentik dan terus mencungkil persoalan ini atau sememang begitu adanya UiTM perlu dirasionalisasikan?

Saya rasa kerdil untuk membicarakan hal sebegini. Namun saya terpanggil untuk melontar pandangan berdasarkan pengalaman sebagai pensyarah yang juga mengajar kursus pascasiswazah terutama sarjana dan PhD. Persoalan timbul, adakah selama ini UiTM tidak berdaya saing? Adakah tanpa kaum lain selama ini di UiTM tidak menunjukkan kemajuan dan mencipta kejayaan? Adakah dengan memberi laluan dan ruang kepada bukan Bumiputera menjanjikan daya saing dan peningkatan dari segi kesedaran dan penerapan budaya seperti yang didakwa.

Jika alasan untuk membuka ruang dan peluang kerana wujudnya mahasiswa UiTM kurang terdedah kepada cara pemikiran di luar ruang lingkup budaya mereka sendiri, maka tempat kursus pengajian sepatutnya di peringkat siswazah iaitu diploma dan ijazah. Bukannya di peringkat pascasiswazah. Ini kerana di peringkat ijazah pertama, pelajar UiTM sememangnya didedahkan dengan latihan praktikal di industri yang melibatkan pelbagai bangsa.

UiTM telah dan dalam melaksanakan program 2u2i yang mendedahkan pelajarnya di industri dalam dua tahun pengajian. Bermaksud pelajar UiTM keluar ke industri dalam masa sama “belajar dan merasai” pengalaman bersama kaum Cina dan India di industri. Manakala di peringkat pascasiswazah lebih bertumpu kepada menghasilkan penyelidikan di peringkat sarjana dan PhD. Meneliti kepada subjek dan fokus kepada kajian secara mendalam dan tidak kepada latihan industri.

Begitu juga UiTM sudah membuktikan daya saingnya, bukan sahaja di peringkat dalam negeri malah di peringkat antarabangsa dengan pelbagai kejayaan dan pengiktirafan dunia. Bermaksud walaupun pelajarnya dikatakan “uni-literal”, namun mereka mampu dan terbukti “mendunia” walaupun tanpa kehadiran bangsa lain dalam bilik kuliah.

Saya amat bersetuju dan menyokong pandangan Naib Canselornya Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said agar UiTM terus mengekalkan sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) khusus bagi orang Melayu dan Bumiputera sahaja. Dasar serta matlamat asal penubuhan UiTM masih relevan dengan keadaan semasa, malah ia terbukti berjaya mengimbangi kedudukan Bumiputera dan bukan Bumiputera di negara ini.

UiTM telah melakar dan mencipta pelbagai kejayaan besar yang membanggakan negara dan memberi impak besar kepada taraf sosial dan penyatuan bangsa Malaysia. Dengan kurikulum dan non kurikulum, UiTM berjaya menyumbang kepada peningkatan ekuiti untuk menyatupadukan negara.

Maka, buat masa kini, jelasnya tiada keperluan ke arah membuka UiTM kepada bukan Bumiputera. Dasar ini perlu dikekalkan kerana masih banyak misi dan visi yang akan dilaksanakan terutamanya kepada golongan yang tercicir terutamanya di pedalaman dan orang miskin yang memerlukan UiTM.

Beberapa trek rekod kecemerlangan UiTM terbukti apabila menjadi universiti ke-137 terbaik Asia melalui laporan Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings 2018. Penarafan itu juga menyenaraikan UiTM antara 1.3 peratus universiti teratas di Asia.

Pencapaian itu juga selaras dengan laporan Penarafan Kebolehpasaran Graduan Dunia QS 2018 (QS World Graduate Employability Rankings 2018) yang menyenaraikan UiTM antara 500 institusi pengajian tinggi dunia (kedudukan 301-500) dan antara tiga terbaik di Malaysia.

Selain reputasi majikan dua lagi penunjuk utama peningkatan ini ialah kertas penyelidikan ahli akademik dan reputasi akademik. UiTM yang diumumkan sebagai universiti keusahawanan, selayaknya dapat perhatian khas kerajaan atas kegigihan memastikan kebolehpasaran graduan dalam bidang keusahawanan.

UiTM komited membantu anak Bumiputera mendapat pendidikan tertinggi dan menghasilkan profesional bersaing di dalam dan luar negara. Maka visi UiTM tidak berubah, bagi kelestarian dan kelangsungan bangsa Melayu dan Bumiputera dalam bidang pendidikan. Menjadikan UiTM unggul berteraskan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik bagi menerajui dinamisme Bumiputera dalam semua bidang profesional bertaraf dunia supaya lahir graduan berdaya saing, global dan beretika.

Dengan tenaga kerja seramai 17,617 staf dalam satu rangkaian yang besar, universiti ini menawarkan 508 program akademik dalam suasana kondusif dan ceria. Ia juga rumah kedua bagi hampir 172,000 pelajar di 35 kampusnya seluruh negara. Lebih membanggakan, UiTM berjaya melahirkan lebih 768,097 graduan Melayu dan Bumiputera.

Sudah sampai masanya UiTM mengebalkan pertahanannya sebagai institusi pendidikan dengan bernaung di bawah lindungan Institusi Diraja yang menjadi simbol kedaulatan Melayu dan Bumiputera.

Untuk UiTM berdaya saing di dalam dan luar negara serta terus relevan, maka Program Transformasi UiTM dilaksanakan untuk mencapai sasaran Rancangan Malaysia, menghadapi cabaran dan mengoptimum peluang baharu serta melonjak ke tahap nilai tambah bagi peningkatan kecemerlangan dan menjuarai kelestarian bangsa.

Program Transformasi UiTM bagi memastikan agar usaha mengangkasakan kecemerlangan Bumiputera terus diperkasa. ‘Menjuruterai Destini’ menunjukkan komitmen UiTM menggunakan segala kebijaksanaan dan kemahirannya dalam memastikan pencapaian matlamat strategik menjadi universiti tersohor menerusi agenda Keusahawanan Berintensifkan Penyelidikan.

‘Menjuarai legasi’ pula melambangkan hasrat UiTM untuk unggul dalam legasi kecemerlangannya selaku penobat martabat bangsa, melahirkan graduan pencorak ekonomi dan generasi pemimpin negara, selain menjadi universiti tersohor mempelopori ilmu terkehadapan serta menjuarai kesarjanaan. Maka, semangat dan roh serta misi UiTM Menjuruterai Destini, akan dapat Menjuarai Legasi. Oleh itu, perjuangan pendidikan Bumiputra perlulah selaras dengan aspirasi kerajaan terus membela nasib bangsa. Komitmen daripada segenap lapisan masyarakat diperlukan dan UiTM akan meneruskan tradisi kecemerlangan dan keunggulan tanpa mengetepikan misi teras agenda Bumiputera.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM

Register.
Enjoy 10% Discount.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

JOIN US.
GET 10% Discount

LATEST POST

More Articles.

UiTM di ❤ ku

Biasiswa Daikin 2017

HAPPY NEW YEAR PROMOTION!Get RM 10 Off For Your UiTM SweaterEnter Coupon Code : HNY19 Hurry! Limited For 30 pcs OnlyVisit https://t.co/HqVMTHITBq to find out

Read More »

GET Notified.

Join Our
Notification
squad