Pelajar Wanita Mendominasi IPT di Malaysia. Pelajar Lelaki Semakin Pupus
Isu pelajar wanita lebih ramai di Institut Pengajian Tinggi (IPT) sering kali menjadi tajuk di muka depan akbar-akbar tempatan Malaysia. Saban tahun, setiap kali tiba sesi kemasukan pelajar baru ke IPT, isu ketidakseimbangan antara lelaki dan perempuan menjadi antara topik utama yang dibincangkan atau diutarakan. Akan tetapi, isu ini merupakan satu masalah yang sangat membimbangkan kerana ianya mampu memberikan kesan terhadap perkembangan sosio ekonomi negara keseluruhanya Hakikatnya, isu ini bukanlah perkara baru. Kebimbangan terhadap trend pelajar wanita yang menguasai IPT pernah disuarakan sebelum ini apabila nisbah menunjukkan pelajar lelaki dan perempuan ialah 70:30, iaitu 70% bagi pelajar perempuan dan 30% bagi lelaki.
Pelajar lelaki di IPTA dilaporkan semakin merosot bilangannya dari tahun ke tahun. Sebenarnya bukan sahaja di IPTA, malahan di IPTS dan kolej-kolej swasta juga situasi ini dilaporkan berlaku. Ini membimbangkan ramai pihak. Jika keadaan ini berterusan, bermakna bekalan tenaga kerja profesional lelaki akan berkurangan dalam pasaran bagi tahun-tahun mendatang. Apa yang lebih menyedihkan, keadaan ini lebih ketara jika statistiknya dilihat dari segi bangsa Melayu. Jumlah pelajar lelaki Melayu, amat ketara berkurangan berbanding pelajar perempuan Melayu. Mengapakah ini berlaku?
Tidak boleh dinafikan isu ini wujud kerana perubahan budaya semasa. Berkaitan perubahan budaya ini ialah perubahan akibat proses urbanisasi yang ketara dan pesat membawa kepada satu sikap baru dalam masyarakat Melayu iaitu sikap mementingkan kebendaan (materialistik). Dengan kemunculan Web 2.0 dan media sosial seperti Facebook dan Instagram, situasi ini dilihat semakin parah. Dalam dunia mengejar kebendaan ini, wang sentiasa berada di hadapan setiap keputusan ingin dibuat. Jadi tidak hairanlah apabila tamat SPM (tingkatan 5), para pelajar bersegera mendapatkan kerja. Apabila sudah bekerja dan mendapat wang, mereka mula membeli dan membelanjakan wang yang diperolehi untuk apa yang mereka idamkan selama ini. Akhirnya mereka mula seronok dengan corak kehidupan ini kerana ianya jauh lebih menyeronokkan berbanding suasana pembelajaran di universiti dimana para pelajar terpaksa menghempas pulas menyiapkan tugasan, ujian, peperiksaan, isu kesempitan wang, dipenuhi peraturan dan sebagainya.
Seterusnya, minat mereka terhadap pelajaran dan usaha untuk melanjutkan pelajaran semakin berkurangan. Dalam keadaan sebegini, remaja perempuan Melayu dikatakan bersikap lebih matang. Mereka memandang lebih jauh ke hadapan. Mereka masih melihat proses melanjutkan pelajaran sebagai satu keperluan. Mereka telah mula berfikir mengenai kehidupan bekeluarga yang memerlukan persediaan yang lebih baik. Bermakna pelajaran perlu diteruskan untuk potensi kehidupan yang lebih baik.
Sistem pendidikan bermula dari sekolah rendah yang membudayakan ‘belajar hanya sekadar lulus sesuatu subjek’ harus dihapuskan. Ini kerana tindakan ini hanya akan menggalakkan para pelajar mengambil sikap sambil lewa dalam pelajaran. Sewajarnya, pelajar-pelajar ini harus dipupuk dengan nilai-nilai cintakan ilmu dan kesedaran mengenai kehidupan masa kini yang memerlukan seseorang itu mendapatkan pengajian di peringkat lebih tinggi untuk pergi lebih jauh.
Justeru itu, kebanyakan penuntut lelaki mencari jalan keluar dengan memilih bidang pekerjaan atau melanjutkan pengajiandi institusi lain seperti Institut Kemahiran, Institut Latihan Perindustrian (ILP), politeknik dan sebagainya.Dakwaan ini diperkukuhkan lagi oleh fakta bahawa bilangan pelajar lelaki yang mengikuti pengajian vokasional atau teknikal di Politeknik dan Kolej Komuniti mewakili 60 peratus.
Ada pihak yang menyatakan bahawa nisbah penduduk sekarang menjadi punca pelajar lelaki berkurangan di pusat pengajian tinggi. Kajian oleh JAWI menunjukkan nisbah lelaki perempuan adalah 1:14, yakni satu lelaki bagi setiap 14 orang wanita. Jika hal ini benar, maka kesannya tentulah seperti situasi sebegini berlaku di dunia hari ini.
Malah ada pandangan yang menyatakan sistem meritokerasi yang di amalkan sejak beberapa tahun lalu menjadi punca kepada jurang yang semakin melebar ini. Walaupun ada saranan supaya sistem kuota digunapakai bagi membendung fenomena ini, namun ia bukanlah langkah terbaik.
Membenarkan pelajar lelaki masuk ke IPTA atas alasan menyempitkan jurang dengan mengorbankan aspek kualti dan minat hanya akan meruntuhkan imej universiti sebagai penjana graduan cemerlang dan berkualiti.
Kecemerlangan pelajar perempuan seharusnya menyuntik semangat kepada pelajar lelaki untuk bersaing secara sihat, bukan mempertikaikan pemilihan jumlah pelajar perempuan yang ramai di IPTA. Persaingan secara sihat untuk mendapat tempat di mana-mana IPT harus diteruskan kalau kita mahu melahirkan modal insan yang benar-benar cemerlang.
Namun begitu apa yang digusarkan ialah masalah ini jika dibiarkan berlarutan bakal melahirkan masalah ketidakseimbangan dari segi pekerjaan pula. Ramai lelaki mungkin terpaksa menjadi suri rumah pada masa depan jika fenomena pelajar perempuan menguasai IPT terus berlaku.
Percaya atau tidak, trend dimana wanita yang berkerjaya tinggi akan berkahwin dengan mana-mana lelaki yang lebih rendah taraf kerjayanya hatta termasuk mereka yang tidak bekerja akan berlaku suatu hari nanti.
Akhirnya, akan berlaku fenomena lelaki duduk di rumah menjaga anak dan rumah tangga manakala wanita keluar bekerja. Fenomena ini telah pun berlaku sekarang walaupun kelihatannya tidak manis kerana ianya jelas bercanggah dengan konsep masyarakat mengenai lelaki dan perempuan. Situasi ini boleh menjerumus kepada kekeliruan buat kanak-kanak yang sedang membesar mengenai konsep lelaki dan wanita.
Selain itu bilangan wanita bujang yang berjawatan tinggi akan menjadi semakin ramai kerana gagal menemui calon-calon yang sesuai dengan taraf mereka dan fenomena ini sedang berlaku dengan pesatnya.