Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest

UiTM lancar bas klinik bergerak

Sumber : My Metro
Oleh : Norzamira Che Noh

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) menjadi universiti pertama mempunyai bas klinik bergerak yang berfungsi khusus untuk perkhidmatan perubatan.

Bas berkenaan dinamakan sebagai UiTM Emergency Mobile Rescue (UEMR) menggunakan sepenuhnya konsep serta kelengkapan seperti bilik kecemasan berdasarkan Garis Panduan Perkhidmatan Kecemasan dan Ambulans oleh Fasiliti Kesihatan Primer.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, reka bentuk kenderaan itu sama seperti bas penumpang lain cuma ia diubahsuai khusus untuk memudahkan pemindahan pesakit.

“Lantai bas direndahkan untuk memudahkan pemindahan pesakit yang menggunakan pengusung atau pesakit dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“UEMR juga mempunyai ruang kerja yang luas dan kondusif serta mempunyai bilik berasingan dengan penumpang bagi memastikan pematuhan kawalan jangkitan silang terutamanya yang dibawa oleh udara dan cecair badan,” katanya pada Majlis Pelancaran Bas Klinik Bergerak Pusat Kesihatan UiTM, di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said; Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan Selangor, Dr Mohammed Azahar Mohammed Nawi dan Pengarah Pusat Kesihatan UiTM, Dr Zaiton Nasir.

Hassan berkata, bas berkenaan turut dilengkapi dengan peralatan perubatan canggih dan ubat-ubatan kecemasan serta terkini seperti Automated External Defibrillator (AED), mesin sedutan, nebulizer dan monitor pengangkutan pesakit.

Katanya, UEMR juga boleh berfungsi sebagai pusat arahan kepada ambulans dan paramedik yang bertugas selain menjadi Klinik Medan ketika penganjuran program sukan atau situasi bencana.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Pusat Kesihatan memperluaskan skop perkhidmatan iaitu bukan sahaja dalam kampus tetapi turut memberikan khidmat nasihat, promosi kesihatan, saringan kesihatan kepada pesakit atau komuniti di luar kampus UiTM,” katanya.

Register.
Enjoy 10% Discount.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

JOIN US.
GET 10% Discount

LATEST POST

More Articles.

GET Notified.

Join Our
Notification
squad