Jangan paksa anak jadi doktor

WHAT ARE YOU MADE OF?

Tees, Sweats, Totes

STATUS Facebook seorang junior semasa di universiti, yang kini menjadi guru sukan di sebuah sekolah di utara Semenanjung cukup menarik perhatian penulis.

Dia yang didatangi seorang ibu kepada anak muridnya yang mendapat 2C dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mendakwa sebak apabila mendengar keluh-kesah si ibu apabila anaknya itu ‘tidak layak’ untuk menyambung pelajaran ke sekolah menengah yang lebih baik – dengan kata lain sekolah berasrama penuh (SBP).

Si ibu percaya penyebab si anak mendapat 2C adalah gara-gara terlalu aktif dalam sukan. Jadinya si ibu bercadang menghantar si anak meneruskan persekolahan di maahad tahfiz. Mudah-mudahan si anak tidak terus leka dengan aktiviti sukan dan dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran.

“Bukan sebab nak dihantar ke sekolah tahfiz yang saya sedih…tapi nak elakkan anak daripada terus aktif dalam sukan yang saya sebak.

“Bagi saya: Jangan dihalang jika anak kita minat dalam sukan. Sekurang-kurangnya dia ada minat dan tidak terjerumus kepada perkara negatif. Sukan itu bagi saya pembina jati diri, pembentuk ketahanan diri yang tak boleh dipelajari di dalam kelas.

“Rasa dikutuk, dihargai, dimarahi, disanjungi, kalah, bangkit semula, sakit hati, luka, menang, gembira, semuanya dipelajari secara tidak formal. Bukan semua orang boleh menjadi orang sukan, tapi semua orang boleh jadi penonton.

“Hargailah bakat yang ada pada anakmu. Anugerah Allah yang diberi yang tidak semua anak ada dan tidak semua anak mampu. Jangan kita hukum mereka dengan keputusan akademik yang mereka perolehi.”

Demikian luah junior penulis itu panjang lebar dalam statusnya. Sengaja penulis kongsikan kesemuanya di sini, sebab apa yang dikatakannya itu benar-benar menyentak penulis. Dan penulis berharap luahan ikhlasnya dapat menjadi renungan lebih ramai ibu bapa di luar sana.

Ibu bapa yang ‘mahu’ anak-anak menjadi apa yang mereka mahukan. Bukan apa yang anak-anak hendak jadi.

Sebenarnya status junior penulis merangkap cikgu sukan itu membuatkan penulis ‘terpukul’ dan termalu sendiri. Serta-merta teringat bagaimana penulis berulang kali cuba memaksakan kerjaya doktor gigi menjadi cita-cita anak sendiri. Hanya kerana penulis pernah berangan-angan menjadi doktor gigi.

Penulis tidak peduli yang anak tidak berminat pun hendak menjadi doktor gigi. Penulis tidak kisah yang dia paling tidak gemar subjek Sains sebaliknya lebih sukakan Matematik. Penulis cuba ‘membasuh’ fikirannya agar menyukai kerjaya itu, sedangkan apabila disebut pun dia sudah berkerut dahi.

Realitinya memang ramai ibu bapa yang seperti penulis. Dan malangnya juga, rata-rata ibu bapa yang ‘memaksa’ anak menunaikan cita-cita mereka merasakan apa yang dilakukan itu betul.

Atas alasan anak-anak umpama kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan masa depan mereka, ibu bapa cuba ‘mendorong’ agar anak-anak memilih kerjaya yang telah ditentukan mereka. Dan kebetulan pula kerjaya yang menjadi pilihan selalunya adalah yang dipandang tinggi seperti doktor, akauntan dan arkitek. Seolah-olahnya kerjaya lain tidak wujud di mata mereka dan tidak mampu menjamin masa depan anak-anak ini.

Fenomena ini disahkan oleh pakar motivasi keibubapaan, Dr. Rozieta Shaary yang juga dikenali dengan panggilan Ibu Rose ketika muncul dalam slot Sembang bersama Utusan Online baru-baru ini.

Menurutnya, inilah masalah yang wujud dalam institusi keluarga sekarang, apabila ibu bapa merasakan mereka betul dan tahu semuanya sedangkan situasi sebenar adalah sebaliknya.

Maka terjadilah, anak yang minat dengan sukan dihantar ke sekolah tahfiz manakala yang mahu menjadi tahfiz pula ‘dipaksa’ ke aliran Sains. Itu belum dikira yang dipaksa juga mengambil subjek Sains sedangkan mereka cenderung kepada Sastera. Atau dihadapkan juga bidang akademik sedangkan jiwa mereka meronta-ronta hendak menjadi ahli sukan khususnya pemain bola sepak ternama.

Sungguhpun kita tahu kerajaan kini memberi galakan kepada pelajar agar mengikuti jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan pekerjaan dalam negara pada masa depan, penulis percaya tidak pernah sama sekali wujud ‘unsur paksaan’ dalam pelaksanaannya.

Apatah lagi menjadi sasaran Kementerian Pendidikan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) untuk melahirkan pelajar yang holistik, membangun bukan sahaja dari segi akademik bahkan aspek-aspek lain di samping sahsiahnya, dengan daya ketahanan rohani dan jasmani.

Penulis difahamkan mulai tahun ini bukan hanya murid yang dapat 5A dan 6A sahaja berpeluang ke SBP bahkan yang dapat 3A dan 4A pun dipanggil untuk Ujian Kemasukan ke SBP (UKSBP). Cumanya mereka perlu menduduki ujian tertentu sebagai saringan, ada ujian berkomputer dan ujian lisan.

Jadinya kepada ibu bapa janganlah cepat mengalah dan berputus asa. Yang penting, kena peka.

Dari semasa ke semasa Kementerian Pendidikan melakukan semakan dan perubahan untuk memastikan sistem pendidikan di dalam negara kita pada tahap terbaik, dan memenuhi kehendak alaf dan industri.

Jadi buatlah kajian dan sedikit penyelidikan. Setidak-tidaknya bacalah akhbar atau portal berita yang sah. Banyak informasi atau maklumat terkini yang dilaporkan bukan setakat berita politik dan kisah artis.

Jangan jumudkan pemikiran, dan paling utama jangan hanya mendengar cakap-cakap orang dan percaya membuta-tuli tanpa usul periksa. Apabila terlepas maklumat penting, siapa yang rugi? Kita dan anak kita juga.

Kepada ibu resah anak aktif sukan yang hanya dapat 2C UPSR, sebagaimana penulis yang sudah sedar, diharap dia juga sedar bahawa ada banyak peluang untuk si anak menyambung pelajaran ke sekolah menengah yang baik malah berprestasi tinggi.

Sekolah sukan di Shah Alam dan Bukit Jalil misalnya memang disediakan untuk anak-anak yang aktif dalam bidang sukan. Kalau yang aktif dalam cabang seni pula di negara kita sudah lama ada sekolah seni di Johor.

Yang penting kena buka mata dan telinga. Jangan asyik hendak memaksakan anak-anak menyempurnakan impian kita. Sudah tentu kita tidak mahu anak yang berjaya memenuhi impian kerjaya kita itu kelak hanya bekerja separuh hati, culas dan tidak komited.

Penulis sudah sedar dan tidak mahu memaksa-maksa lagi. Anda bagaimana?

Penulis asal artikel – Marhaini Kamaruddin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More Articles.

GET Notified.

Join Our
Notification
squad

WRITE