Kena Reject 6 Universiti, Pelajar 1A SPM kini Bakal PhD

WHAT ARE YOU MADE OF?

Tees, Sweats, Totes

Tersepuh sinar matahari pagi tadi, dewan bertuah itu menjadi saksi, tertumpanglah aku di upacara keramat itu untuk suatu anugerah yang tidak aku mimpikan sebelum ini. Aku bukanlah budak pandai. Keputusan SPM aku cuma 1A sahaja. Kemudian, rezeki aku meneruskan pengajian ke Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS).

 

Pada awal aku di politeknik, aku jangka mungkin di situ institusi pengajian yang terakhir untuk aku menimba ilmu. Tiga tahun di politeknik dalam peringkat diploma banyak memberi pengalaman kepada aku. Setelah aku menamatkan pengajian di politeknik, aku pernah diejek oleh majikan syarikat tempat aku temuduga, gara-gara ‘CGPA’ diploma aku tidak setinggi mana.

 

Setelah gagal memohon beberapa pekerjaan, aku nekad untuk menyambung pelajaran pada peringkat ijazah. Aku mula membuat permohonan setiap kali mana-mana IPT yang buka pengambilan pelajar baru. Namun, aku juga gagal dalam permohonan tersebut. Sebanyak enam kali permohonan aku tidak diterima oleh mana-mana IPT. Hinggalah permohonan aku yang ketujuh menemui kejayaan untuk menyambung pelajaran di UiTM Shah Alam.

 

Kisah aku di UiTM amat berlainan dengan ketika berada di politeknik. Tiap-tiap semester pasti ada saja ‘paper’ yang aku kena ‘repeat’. Pada awal aku dalam pengajian peringkat ijazah, ‘pointer’ aku cuma 2.50 sahaja. Istilah gagal sudah lali dalam hidup aku. Namun, berbaki dua semester terakhir aku berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan aku ‘graduate on time’ dan mendapat ‘CGPA’ lebih dari 3.0 iaitu Ijazah Kelas Kedua Tinggi. Dengan usaha dan tidak peduli apa orang kata pada aku, akhirnya aku berjaya ‘graduate on time’ dan mendapat Ijazah Kelas Kedua Tinggi pada tahun 2016.

BACA: Doktor Ini Pernah Gagal Dan Diberhentikan UiTM.

Pengajian peringkat ijazah belum cukup memuaskan hati aku untuk terus belajar dan berusaha. Aku melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana (Master). Aku cuma perlu menunggu dalam tempoh dua bulan sahaja untuk mendapat tawaran ke peringkat ini. Aku terima tawaran tersebut, dan meneruskan pengajian ke peringkat ‘Master’ dalam tempoh cuma satu tahun. Peristiwa tiga kali kemalangan jalan raya saat tarikh ‘viva’ tesis hampir tiba, sangat mencabar buat aku. Alhamdulillah, hari ini aku berjaya ‘graduate’ dengan ‘CGPA’ 3.50 bagi pengajian peringkat ‘Master’ ini.

Kini, aku sedang bertungkus-lumus membuat persiapan dalam peringkat doktor falsafah (PhD). Disamping itu, aku juga kini seorang tenaga pengajar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Semoga aku diberi kekuatan untuk terus menuntut ilmu dan meneruskan pengajian ini untuk aku buktikan, gagal sekali bukanlah gagal selamanya. Untuk aku buktikan, istilah ‘budak poli’ itu bukan untuk dipandang enteng. Inilah kisah aku, dari poli menuju PhD.

Wan Mohamed Syafuan,
Produk politeknik, produk UiTM.

#sayaprodukpoliteknik
#politeknikmalaysia
#sayaprodukuitm

 

 

Anda ada cerita UiTM yang ingin dikongsikan ?

Hantar Story UiTM anda ke salam@madeinuitm.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More Articles.

GET Notified.

Join Our
Notification
squad

WRITE