ATLAS.ti merupakan perisian komputer berasal dari Jerman yang digunakan khusus untuk menganalisis dan menterjemahkan data kualitatif. Ia perisian canggih yang membantu mengatur, menyusun semula dan menguruskan bahan dengan cara kreatif dan sistematik.
Sama ada bidang yang anda sedang kaji adalah antropologi, ekonomi, kriminologi, atau perubatan, ATLAS.ti akan memenuhi keperluan analisis kualitatif anda dalam bentuk data interpretatif yang lebih mudah difahami.
Temu bual, data pemerhatian bergambar atau video, serta kaji selidik dalam bentuk jawapan terbuka antara data mentah dalam kajian kualitatif. Data kualitatif tersebut boleh terdiri daripada pelbagai format termasuklah dokumen berteks (PDF dan RTF), imej (JPG dan PNG) media (MP3, MP4 dan imej daripada Google Earth).Perisian ATLAS.ti telah dikemas kini sebanyak lapan versi untuk Windows (iaitu versi terkini Versi 8 Windows). Selain itu, terdapat juga ATLAS.ti versi Mac bagi pengguna-pengguna komputer Apple.
Perisian hebat ini telah diguna pakai dalam menganalisis data kualitatif secara meluas di seluruh dunia termasuklah di negara Amerika, Eropah, Asia dan beberapa benua lain.
Trend masa kini telah memperlihatkan potensi penggunaan ATLAS.ti akan lebih berkembang ke serata dunia dan digunakan bukan sahaja oleh penyelidik kualitatif, tetapi juga penyelidik kuantitatif – terutamanya bagi tujuan kajian literatur.
Cara tradisional penyelidikan
Secara tradisinya, penyelidik memahami data kualitatif mereka dengan melakukan analisis manual, dengan menggunakan kertas, pen penyerlah (highlighter), nota melekat (sticky note), dan sebagainya. Pada akhirnya, walaupun penemuan masih boleh diperoleh daripada analisis, proses keseluruhan boleh mengambil masa yang lama dan memenatkan.
Cara penyelidikan dilakukan telah berubah selama bertahun. Penyelidik kini cenderung untuk berubah daripada melakukan analisis manual kepada penggunaan perisian berkomputer untuk analisis data kualitatif (CAQDAS).
Made from real passion! Be proud of what you're made of. Get yours now at https://t.co/W2FAwFep4V or visit https://t.co/VXeEKdqq2e pic.twitter.com/tjgHDV7fVU
— Made in UiTM (@madeinuitm) October 8, 2017
Walaupun terdapat banyak perisian di pasaran pada masa ini, ATLAS.ti masih menjadi aplikasi pilihan memandangkan ia adalah antar muka (interface) yang ringkas, pengurusan data yang mesra pengguna, ciri dan fungsi yang interpretatif, dan harga yang berpatutan ditawarkan kepada pengguna.
Paling penting, ATLAS.ti mengubah kaedah tradisional dalam melakukan penyelidikan kualitatif tanpa pen dan kertas, selanjutnya memudahkan proses penyelidikan dilakukan oleh penyelidik dan pengambilan maklumat dilakukan secara automatik dengan menggunakan ciri output berkuasa yang terbina di dalam perisian.
Jadi anda mungkin tertanya-tanya: bagaimana ATLAS.ti dapat membantu anda dan penyelidikan anda? Senarai di bawah hanya beberapa ciri hebat perisian yang mungkin relevan kepada anda.
1. Antar muka intuitif: ATLAS.ti menggantikan analisis manual menggunakan pen, kertas dan pen penyerlah dengan memberi anda antar muka intuitif untuk memenuhi paparan data anda di sebelah kiri skrin, dan bahagian pengekodan di sebelah kanan skrin.
2. Membantu anda dalam kajian literatur: Katakan selamat tinggal untuk mencetak semua artikel literatur anda, menyerlahkan bahagian yang relevan dan membuat nota sampingan, akhirnya anda semakin keliru. Kini, anda hanya perlu memberikan semua artikel literatur anda kepada ATLAS.ti yang akan membantu anda untuk menyerlahkan (highlight) dan membuat nota sampingan mengikut tema (pengekodan).
3. Memudahkan pengurusan data: Anda mempunyai pilihan menyusun semua data anda dalam satu folder dan dieksport ke ATLAS.ti atau terus disimpan ke dalam perisian untuk pemprosesan yang lebih cepat dengan menggunakan fungsi ‘Documents Manager’.
4. Pengurusan poin penting dalam data: Fungsi pengekodan (coding) dan pengumpulan kod berdasarkan tema (thematic coding) dalam ATLAS.ti membantu anda untuk menguruskan poin-poin penting segmen data anda bagi tujuan pelaporan.
5. Transkripsi Onboard: Sekiranya anda telah merekodkan kerja lapangan anda, yakinlah bahawa fail audio dan/atau fail video boleh disalin di dalam ATLAS.ti menggunakan fungsi A-Docs baru. Transkrip boleh juga diselaraskan dengan audio berkaitan atau fail video supaya anda boleh melompat dari titik tertentu dalam transkrip ke rakaman asal.
6. Output automatik: Dengan menggunakan ATLAS.ti, anda boleh mengarahkan perisian untuk mengambil semula semua hasil analisis data anda dalam bentuk output kualitatif (RTF, PDF) atau output kuantitatif (SPSS, Excel, XML).
Made from real passion! Be proud of what you're made of. Get yours now at https://t.co/W2FAwFep4V or visit https://t.co/VXeEKdqq2e pic.twitter.com/tjgHDV7fVU
— Made in UiTM (@madeinuitm) October 8, 2017
Selain itu, apa yang menarik dalam ATLAS.ti adalah anda juga boleh mengimport data Twitter untuk analisis media sosial, import nota Evernote, import rujukan Endnote, Mendeley, Zotero dan lain-lain serta eksplorasi data menggunakan word crunch dan word cloud.
Jurulatih ATLAS.ti
Felo Penyelidik di Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Ani Munirah Mohamad diiktiraf sebagai jurulatih bertauliah profesional ATLAS.ti di Asia Pasifik.
Beliau berpengalaman menyampaikan ilmu kajian kualitatif dan analisis data kualitatif di beberapa institusi pengajian tinggi di Malaysia seperti UIAM, UKM, UPM, USM, UTM, IPG, UUM, UnisZA, UMP, UiTM.
Pengalaman Dr Ani Munirah menggunakan ATLAS.ti, ia banyak membantu dengan menguruskan literaturnya.
“ATLAS.ti membantu proses kajian literatur untuk PhD saya. Selain itu, saya juga menggunakan ATLAS.ti untuk analisis data primer saya yang terdiri daripada 16 temu bual separa berstruktur,” katanya.
Ani Munirah melihat ke hadapan untuk menyebarkan maklumat lanjut berkaitan perisian ini kepada rakan penyelidik yang berminat belajar dan menggunakan ATLAS.ti untuk penyelidikan mereka sendiri.