Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest

Suka-Duka Bergelar MPP UiTM

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan salam sejahtera , salam UiTM Dihatiku kepada semua pembaca. Terpanggil untuk berkongsi pengalaman dan kisah menarik sepanjang kurang lebih lima tahun aku menuntut di UiTM Cawangan Terengganu, kampus Dungun. Aku sudah membaca karya perkongsian rakan seperjuangan yang bercerita berkenaan keadaan fizikal & sekeliling UiTM Dungun secara generalnya, tidak akan berkongsi tentang cerita suka duka belajar diploma & ijazah, kerana sudah diceritakan di dalam blog sendiri dan juga tidak berniat berkongsi cerita-cerita seram di dalam kampus mahupun Bukit Bauk. Haha. Kerana apa? Kerana aku ada satu perkara yang terpaling menarik untuk dikongsikan berkenaan UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun, iaitu system yang digunapakai.

Aku memulakan pengajian Diploma di UiTM Dungun dalam fakulti yang paling teruk dikecam dan dipandang rendah oleh masyarakat Malaysia, iaitu Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan pada tahun 2011 dalam jurusan Diploma Pengurusan Perkhidmatan Makanan atau nama inggerisnya “Diploma in Foodservice Management”. Saje nak bagitau budak hotel pun pandai cakap orang putih. Kihkih. Seterusnya pada tahun 2014 aku menyambung pengajian dalam jurusan yang sama, Ijazah Sarjana Muda (Dengan Kepujian) Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan. Walaupun diletakkan di bawah fakulti hotel, fokus kursus ini selain daripada pengurusan restoran, subjek yang kami belajar banyak menjurus kepada nutrisi dan kualiti makanan. Makna kata, kami belajar berkenaan sains pemakanan. Antara lain yang kedengaran tidak logik tapi benar, kami juga belajar menggunakan “Sketch-Up” untuk satu subjek mereka restoran ideal (subjek architecture), subjek undang-undang, akaun, pengurusan dan sebagainya. Rata-rata masyarakat tidak tahu bagaimana pendekatan yang digunakan dalam mendidik dan melahirkan graduan daripada UiTM, terutama yang akan aku ceritakan hari ini ialah daripada fakulti pengurusan hotel & pelancongan.

Seawal pengajian diploma, apa yang ditekankan oleh pensyarah fakulti ialah “grooming” dan juga “soft skill”. Pada waktu aku di pengajian diploma, fakulti hotel adalah salah satu daripada minority yang perlu belajar Bahasa ketiga dalam pengajian peringkat diploma, yang mana rata-rata fakulti lain memerlukan penuntutnya belajar Bahasa ketiga di peringkat ijazah. Ya, sesuai dengan keperluan industri yang meletakkan industry pelancongan sebagai “front line” kepada pelancong dalam dan luar negara, maka memerlukan graduan mampu bertutur dalam Bahasa lain selain Bahasa ibunda dan juga Bahasa inggeris.

Bercakap perihal “grooming”. Semua orang tahu UiTM ada “Sahsiah Rupa Diri” iaitu kod etika pemakaian ke kelas. Hanya hari Isnin sahaja semua pelajar fakulti lain perlu memakai pakaian formal, siswi berbaju kebangsaan dan berkasut tutup, manakala siswa pula perlu berkemeja (lengan panjang yang afdhal) bertali leher dan berkasut kulit hitam berkilat. Oh. Kad matriks jangan dilupa. Manakala pada hari-hari lain, siswi berpakaian sopan dan siswa baju haruslah berkolar dan selipar adalah tidak dibenarkan sama sekali baik siswa atau siswi.

Tapi berbeza dengan mahasiswa dari fakulti hotel yang mana setiap hari bekerja kami dikehendaki memakai pakaian formal. Kadang-kadang cemburu dengan rakan siswi fakulti lain yang selamba boleh pakai T-Shirt ke kelas, sedangkan kita perlu beria pakai “blouse” dan sebagainya. Ada sesetengah kelas yang mana pensyarah mewajibkan pelajarnya pakai make-up. Mesti pakai sekurang-kurangnya lipstick. Kalau tak pakai, kawan kena pinjamkan lipstick baru kelas mula. Siswa, rambut selalu kena kemas dan bergaya. Siswi tudung kalau belit-belit lagi afdhal, tudung kena pakai kemas-kemas. Biasanya pensyarah akan ambik masa 5minit sebelum kelas mula untuk pastikan semua pelajar dalam kelas berpakaian cantik dan kemas, baru mereka akan memulakan pengajaran.

Saya masih ingat lagi, ada satu kelas yang memerlukan kami belajar “serving” iaitu menjadi pramusaji berprotokol. Kelas tersebut memang memerlukan semua pelajar untuk “grooming” habis-habisan. Siswi perlu mekap betul, termasuk eye shadow dan blusher. Siswa mesti “clean shave” dan berambut kemas. Uniform putih kami, mesti bersih tanpa ada sebarang kotoran dan mestilah ada kesan seterika. Saya ingat lagi, di kelas pertama pensyarah yang mengajar dah pesan awal-awal, semua mesti ada garisan bekas seterika dan mestilah hanya ada satu “line” sahaja. Kalau ada yang gosok uniform tapi ada “double line” pun kena balik gosok semula uniform dia. Haha. Jadi, kami juga diajar bagaimana cara menggosok pakaian yang betul.

Seterusnya berkenaan “soft skill”. Setiap semester, kami akan belajar 7 ke 8 subjek, jam kredit secara purata ialah 21 jam dalam tempoh 14 minggu pembelajaran sebelum menduduki ujian akhir. (Siapa kata budak hotel belajar senang?) Bermakna, setiap subjek yang kami pelajari, akan ada sesi pembentangan. Kalau kami ada 8 subjek, maka kami akan ada 8 kali pembentangan pada semester itu, secara minimum, kerana ada beberapa subjek yang akan ada dua ke tiga kali pembentangan topik pada satu-satu semester. Untuk urusan pembentangan (assignment) kami mestilah bertutur dalam Bahasa inggeris sepanjang pembentangan dan mestilah membenarkan rakan sekelas dan juga pensyarah mengajukan apa-apa soalan yang mereka mahu. Untuk peringkat diploma, biasanya maksimum pembentangan cuma mengambil masa selama 15-20 minit, manakala pada pengajian ijazah saya pula, kami biasa membentangkan topik selama 2jam, iaitu sepanjang kelas berlangsung. Biasanya, ahli kumpulan untuk assignment ialah seramai 3-4 orang satu kumpulan.

Satu hal yang menarik semasa pengajian ijazah saya ialah, sikap rakan sekelas. Hanya pelajar fakulti hotel sahaja yang tahu ialah, pelajar kami ialah perangainya sedikit nakal. Kami juga akan tahu lebih awal giliran siapa yang akan melakukan pembentangan dan apa topik yang akan dibentangkan. Jadi, kami sekelas biasanya akan menumpukan sepenuh perhatian kepada pembentangan yang dilakukan, jadi, kami boleh la tanya soalan “killer” kepada pembentang untuk tujuan menyakat dan menduga, adakah si pembentang tahu dan arif akan tajuk mereka. Pembentang pula, biasanya memang akan pulun belajar tajuk tersebut untuk memastikan kredibiliti mereka sebagai pembentang kekal suci dan mampu menjawab semua soalan yang diajukan dengan betul. Orang kata, kami memang akan “all out” untuk pembentangan, baik dari segi susun atur “slide” sampailah ke perkara sekecil baju warna apa nak pakai. Haha. Jadi, masing-masing boleh “flip hair” seusai kelas, sebab rakan boleh tanya soalan “killer” dan pembentang boleh menjawab. Secara tak langsung, sesi pembelajaran berlangsung dengan sangat meriah dan menarik. Ada ketika, pensyarah akan mencelah dan menambah mana-mana info yang dirasakan perlu dan tertinggal di dalam pembentangan kami.

Itu ialah secara kasar sistem yang diterapkan dalam diri mahasiswa UiTM, fokus kepada apa yang dialami oleh pelajar fakulti pengurusan hotel & pelancongan UiTM Terengganu. Seterusnya, perkara menarik di UiTMCT ialah berkenaan kepimpinan pelajar. Kami menggelarkan kampus kami sebagai kampus kepimpinan mahasiswa. Usaha melahirkan pemimpin pelajar yang matang bermula sejak tahun 2011, iaitu tahun pertama aku memulakan pengajian di UiTM.

UiTMCT mengambil konsep pembinaan negara, dengan ditunjangi 3 elemen utama dalam sesebuah negara, iaitu badan Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman untuk digunapakai dalam struktur kepimpinan pelajar. Segala undang-undang yang berfokus untuk memperkemaskan dasar seluruh sistem UiTM adalah ditentukan oleh para pemimpin pelajar dari MPP dan juga seluruh presiden kelab persatuan yang aktif di UiTMCT di dalam parlimen kami, dikenali sebagai Mesyuarat Kepimpinan Mahasiswa (MEKEM). Hasil keputusan mesyuarat seterusnya akan dibawa kepada pengurusan kampus untuk disahkan lalu terus dihebahkan dan digunapakai tanpa ada persoalan & sekatan daripada staff dan juga pengurusan.

MPP UiTMCT bukanlah sekadar perwakilan pelajar biasa seperti kampus UiTM atau university lain, kerana tidak melampau dikatakan MPP UiTMCT diletakkan sebaris dengan pengurusan kampus kerana kami ialah badan Eksektif, atau jika dianalogikan kepada negara, kamilah kerajaan yang akan mentadbir kampus kami. Jadi, jika pelajar ada tidak berpuas hati tentang dasar atau undang-undang baru di kampus Terengganu, mereka akan terus berjumpa dengan MPP atau wakil kelab persatuan mereka dan parlimen pelajar kami akan bersidang bagi menyelesaikan isu tersebut. Apa yang menarik ialah, kami belajar tentang keadaan sebenar bagaimana sesebuah negara itu ditadbir. Mereka yang terlibat secara langsung dengan kepimpinan pelajar di UiTMCT akan melihat dan merasa sendiri “kuasa” dan kepercayaan yang diberikan oleh staff dan pengurusan tertinggi kampus kepada kepimpinan pelajar dalam usaha melahirkan graduan yang diperlukan negara.

Sepanjang aku belajar di UiTM Dungun, ada satu perkara yang aku dukung dan mahu aku buktikan. Aku ialah antara pelajar yang boleh dikatakan cemerlang, “dean list” setiap semester dan aktif berpersatuan, tapi di peringkat diploma aku terkandas di semester terakhir dan gagal mendapat Anugerah Naib Canselor (ANC). Walaubagaimanapun, masih rezeki untuk memakai selempang pink kerana aku dinobatkan sebagai Graduan Terbaik UiTMCT pada istiadat konvokesyen diploma beberapa tahun lalu. Usaha membuktikan seorang pemimpin pelajar juga boleh cemerlang dalam pelajaran aku bawa semasa pengajian peringkat Ijazah. Alhamdulillah, dengan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak, baik keluarga, rakan-rakan dan pensyarah, aku Berjaya membuktikan walaupun aku ialah seorang MPP yang umum tahu selalu sibuk, selalu tinggal kelas dan sebagainya, tambah pula menguruskan kampus yang majoritinya pelajar diploma, terpaksa bersibuk dengan aktiviti & kerja-kerja sebagai MPP di kala rakan-rakan lain sibuk (aku pun sibuk jugak, dua kali sibuk haha) dengan research, assignment, projek tahun akhir dan sebagainya, namun berjaya mendapat ANC di istiadat konvokesyen ke 89 tempoh hari.

Akhir kata, di mana pun kita belajar, tak kira universiti mana, jurusan apa, kita semua ialah hamba yang cuba memenuhi fardhu kifayah pada setiap bidang yang kita ambil. Kalau tidak ada muslim yang masuk dan arif dalam bidang hospitality, maka siapa yang akan menjawab di akhirat kelak. Semua orang boleh Berjaya, kesibukan dan kesusahan cumalah halangan yang perlu kita tempuh dengan sabar. Setiap kampus UiTM ada kebaikan yang tersendiri, namun aku dan semua alumni UITMCT percaya UiTMCT adalah yang paling terbaik dalam kalangan yang terbaik.

 

Sekian.

=======================================================================

Anda ada cerita UiTM yang ingin dikongsikan ?

Hantar Story UiTM anda ke salam@madeinuitm.com

Register.
Enjoy 10% Discount.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

JOIN US.
GET 10% Discount

LATEST POST

More Articles.

GET Notified.

Join Our
Notification
squad