TUJUH KALI JATUH, BANGUN BUAT KELAPAN KALINYA

WHAT ARE YOU MADE OF?

Tees, Sweats, Totes

tujuh

Aku merupakan (bekas bakal) jurutera graduan universiti awam (UA) di Lembah Klang yang dibuang universiti pada semester pertama-tahun pertama pengajianku lebih sedekad yang sudah.

Memang salahku 100%. Walaupun berlatarbelakangkan keluarga susah—berbapakan sarjan pencen dan beribukan suri rumah sepenuh masa—aku semena-mena menjadikan kesusahan sebagai alasan dibuang universiti. Kala kesempitan wang belanja, aku memilih untuk hanya tidur dan duduk dorman di bilik dan makan nasi berlaukkan telur dadar untuk berjimat. Padahal, pada ketika itu, begitu banyak ‘jalan keluar’ yang boleh aku pilih. Aku bisa memohon bantuan wang zakat sumbangan alumni yang dipegang oleh kaunselor contohnya. Paling tidak, aku juga punya peluang untuk bekerja separuh masa di kafe atau restoran makanan segera seperti teman-teman sebilikku.

Entahlah, zaman itu akalku tidak sepanjang sekarang. Malah pendek lagi naif. Selain dari itu juga, aku gagal meletakkan prioriti dengan betul. Zalim. Tidak mengangkat sebuah hak ke tempat yang berhak. Aku sangat aktif bermain sukan ragbi dan hoki sehinggalah ke peringkat MASUM. Meninggalkan kuliah dan tutorial secara total.

Alhasil, aku dibuang universiti. I guess I could have seen it coming. Malah, percaya atau tidak, PGNK aku pada ketika itu hanyalah 0.9. Kurang daripada 1.0! Gagal dengan jayanya (failed spectacularly) dalam hampir kesemua subjek. Yang lulusnya hanya subjek halaqah—yang hanya bersyaratkan kehadiran yang memuaskan.

Aku malu bukan kepalang. Kepada emak, ayah, adik-adikku yang masih kecil ketika itu, dan saudara mara. Dikata belakang-belakang itu sudah menjadi lumrah. I know that my mom hurts the most. She was the one that bore the worst brunt and insults—especially from my paternal aunts.

Ayah berperang dingin denganku. Beliau tidak lagi bercakap secara langsung kepadaku. Semestinya beliau kecewa. Setelah 2-3 bulan menganggur, ayah mula meletakkan borang-borang pekerjaaan untuk diisi. Aku masih ingat lagi. Antaranya Jabatan Bomba & Penyelamat dan Jabatan Alam Sekitar (ketika itu tiada lagi pusat permohonan pekerjaan berpusat seperti SPA). Namun, aku beritahu kepada emak bahawa aku masih mahu belajar.

Emak, otak abang ini rasanya masih bersisa. Masih boleh digunapakai. Abang mahu belajar lagi, mak.” Aku bersungguh memujuk emak. Aku mahu tebus kembali kesilapanku. Demi keredhaan emak yang mahukan anak sulungnya ini menjadi seorang cikgu.

Aku hanya membiarkan borang-borang tersebut tidak berisi di atas peti ais. Sementara itu, aku memilih untuk bekerja sebagai pembantu kedai runcit. Aku juga mengambil upah mengecat rumah. Allahu, penatnya bukan kepalang. Kesusahan yang aku alami semakin menebalkan tekadku untuk menyambung kembali pelajaranku. Keperihan ini juga mengajarku untuk lebih berempati dengan pekerja rencam dan lebih mudah untuk berterima kasih ke atas servis yang mereka berikan. Waima sekadar memarutkan kelapa untukku.

Aku kemudiannya mengorak langkah dengan mengisi borang permohonan masuk ke UiTM. Aku tidak diterima untuk pengambilan pertama (tengah tahun). Aku tetap tidak berputus asa. Alhamdulillah, aku diterima masuk ke UiTM Arau untuk ambilan yang kedua (hujung tahun).

Tidak seperti kemasukan kali pertama ke universiti dahulu di mana aku dihantar sendiri oleh ayah dengan kereta, beliau hanya memberikan wang tambang dan menyuruh untuk mendaftar seorang diri—menaiki bas. Dalam sayu, aku tetap menjadikannya sebagai pembakar semangat.

Albert Einstein pernah berkata bahawa, ‘kegilaan ialah membuat perkara yang sama dan mengharapkan hasil yang berbeza.’

I made a clean break from my past and more importantly—my bad habits. Aku bertekad dan langsung mengubah perangaiku. Aku tidak memonteng kuliah tanpa sebab. Aku duduk sama ada di hadapan sekali atau di barisan pertengahan. Dan aku pastikan yang para pensyarah ingat akan namaku. I aced my carrymarks. Aku juga akan memastikan untuk mengulangkaji soalan-soalan peperiksaan sekurang-kurangnya 6-12 semester ke belakang.

Walaubagaimanapun, aku tetap dihimpit dengan masalah kewangan (ayah hanya memberikan RM100 sebulan) dan aku tidak boleh memohon pinjaman PTPTN yang baharu kerana yang lama masih berbaki. Namun, aku sangat bersyukur dengan kombinasi yuran UiTM yang termurah di Malaysia, kolej kediaman percuma, dan pada ketika itu, masih lagi punya dewan makan percuma. Three square meals per day are more than enough for a broke student like myself.

Aku ke perpustakaan pada setiap malam untuk mengulangkaji. Lama-kelamaan, rakan sekuliahku turut bersamaku ke perpustakaan. Dari seorang, kemudian dua dan tiga orang rakan memintaku untuk mengajarkan mereka—terutama sekali subjek berkait kira-kira (terima kasih kepada latarbelakang kejuruteraanku). Sahabat-sahabat ini jugalah yang sering membelanjakan aku makan yang sedap dari biasa seusai sesi tutorial kami. Dalam diam, aku mula menanam cinta kepada bidang pendidikan.

Syukur ke hadrat Allah azza jalla wa’ala, aku berjaya memperoleh 4.00 untuk dua semester pertama berturut-turut. Aku tamatkan diplomaku dengan PGNK 3.89 berserta Anugerah Naib Canselor (ANC). Juga dianugerahkan pelajar terbaik jurusanku.

Emak dan ayah tidak hadir ke majlis graduasiku di UiTM Shah Alam. Ketika itu kebajikan adik-adikku lebih penting. Wang dicatu untuk kegunaan mereka yang masing-masing baru memulakan persekolahan menengah. Aku hanya ditemani oleh bekas teman wanitaku (kini isteri dan ibu kepada anak-anakku).

‘Tabiat’ yang sama juga aku teruskan sewaktu ijazah sarjana mudaku, juga di UiTM Arau. Aku turut memperoleh ANC dengan PGNK 3.68. Hanya kurang 0.07 untuk status Pinjaman Pendidikan Anak Perakku ditukarkan kepada biasiswa penuh.

Kali ini, berbekal sedikit wang gaji yang aku peroleh sewaktu bekerja sementara salah sebuah hotel bajet premium di Shah Alam, aku menghadiahkan percutian kepada emak dan ayahku di hotel tempatku bekerja. Mereka tidak pernah bermalam di hotel. Itulah kali pertama buat mereka berdua. Terpanar jelas rasa gembiranya.

Usai majlis graduasi di Dewan Budiman, emak merapati aku, lantas berbisik, “Akhirnya, Di. Akhirnya…” Kami sama-sama mengalirkan air mata.

Aku kemudiannya ditawarkan untuk menjadi Felo Skim Latihan Akademik IPT (SLAI) di salah satu daripada UA di utara negara. Emaklah orang yang paling gembira apabila aku menjadi seorang cikgu jua.

Dan ironinya, disebabkan pengkhususanku yang begitu spesifik iaitu kewangan Islam, aku kembali ke gagang dengan melanjutkan pengajian sarjanaku di UA yang pernah membuangku sewaktu dahulu. Aku tamatkan pengajian sarjanaku dengan PGNK 3.89 dan kini sedang menanti panggilan viva voce untuk PhD—juga di universiti yang sangat aku ‘benci’kan pada suatu masa dahulu.

Alhamdulillah ‘ala kulli hal. Terima kasih kepada emak, ayah dan adik-adikku. Tidak lupa juga kepada rakan dunia akhirat dan para pensyarahku di UiTM Arau. Juga ucapan terima kasih yang khusus buat isteri, anak-anak, mertua dan ipar duaiku. Hanya Allah subhanahu wata’ala sahajalah yang bisa membalas jasa baik kalian kepadaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More Articles.

GET Notified.

Join Our
Notification
squad

WRITE