Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM cawangan Kelantan, Dr. Wan Fairus Wan Yaacob berkata, pa­meran itu adalah kolaborasi kali pertama antara UITM bersama Perbadanan Muzium Negeri bagi mengetengahkan karya pelajar kepada orang awam.

“Pameran ini diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mempromosi hasil seni kepada orang luar dan kita me­rancang untuk mengadakan pameran seperti ini sebanyak dua kali setahun.

“Malah pameran tersebut juga bertujuan menarik minat pelajar sekolah yang ingin menceburi bidang seni sama ada seni lukis, tekstil, logam atau barangan kemas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pameran dan Jualan Karya Seni UiTM Seni Untuk Semua Orang di Muzium Negeri, di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Perbadanan Muzium Negeri, Mohamad Nazwan Ismail dan Pengarah Pelancongan Negeri, Mohd. Aidil Afizie Daud.

Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM cawangan Kelantan, Hamdan Ilias berkata, sebanyak 1,000 karya seni seperti lukisan, tekstil, logam dan barangan kemas akan dipamerkan sepanjang pameran tersebut.

“Karya tersebut dijual dengan harga berpatutan bermula RM70 sehingga RM700.

“Karya yang kita bawa merupakan koleksi pelajar dari tahun 2010 sehingga kini, hanya sebahagian yang dipamerkan, masih terdapat banyak lagi di UiTM,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 10 pe­ratus hasil jualan akan disalurkan kepada Perbadanan Muzium Negeri manakala selebihnya untuk UiTM. – Utusan