MALAYSIA menyaksikan kebangkitan wakaf di universiti. Kebangkitan ini didorong beberapa faktor seperti keperluan universiti berdikari dalam meneruskan kelangsungan peranan, terutama dalam era kos sara hidup tinggi.
Ini dipercepatkan dengan seruan kerajaan agar universiti meneroka peluang pendapatan dalam Lonjakan 5, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 iaitu Kemampanan Kewangan.
Usaha dijalankan oleh universiti awam (UA) dapat dilihat dalam pelbagai bentuk, contohnya penubuhan sekretariat wakaf UA tempatan. Penubuhan ini bertujuan menggiat, memperkukuh dan memperkasa inisiatif wakaf UA tempatan. Usaha pada peringkat universiti pula, contohnya pelancaran Dana Wakaf Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia pada Disember 2016 menyaksikan satu lagi kesungguhan, menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi untuk memperkasa institusi wakaf bagi pelestarian pengajian tinggi.
Dana wakaf pendidikan ini memberi peluang kepada yang bermurah hati dan mengharapkan ganjaran pahala untuk membuat pelaburan akhirat dengan lebih mudah. Ia dilaksanakan dengan akad wakaf sejumlah wang melalui potongan gaji bulanan.
Berwakaf tunai mengubah per- spektif dan kefahaman masyarakat mengenai instrumen wakaf. Sebelum ini, umum memahami, wakaf adalah harta fizikal dan sering dikaitkan dengan tanah perkuburan dan masjid. Ini menjadikan, keinginan berwakaf terbantut, terutama bagi mereka yang tidak berkeupayaan harta fizikal.
The One You've Been Waiting For : UiTM Long Sleeved Basic Tee Hoodie Series
For purchase visit : https://t.co/U7eS7fU4tu pic.twitter.com/D8cgnjQNoJ— Made in UiTM (@madeinuitm) December 9, 2017
Mempelbagai sumber wakaf
Berwakaf tunai berjaya membuka peluang kepada orang ramai bersama memenuhi tuntutan agama. Oleh itu mempelbagaikan sumber wakaf yang disepakati ulama dan fukaha amat perlu untuk memperluaskan peluang berwakaf dalam konteks semasa.
Di universiti, tentu kita tercari-cari apa yang boleh dijadikan wakaf. Universiti tidak boleh selama-lamanya meminta sumbangan orang ramai atau kakitangan. Sama ada kita sedar atau tidak, universiti mempunyai harta bernilai yang berpotensi untuk diwakafkan, iaitu harta intelek. Di universiti tersimpan khazanah harta ilmu yang banyak dan boleh dimanfaatkan. Harta ini berpotensi diwakafkan kerana ada banyak persamaan dengan harta kekal.
Harta intelek sudah lama diiktiraf sebagai satu aset, buktinya kewujudan organisasi rasmi seperti ‘World Intellectual Property Organisation’ dan ‘Malaysia Intellectual Property Association’. Badan ini menjadi pentadbir kepada pertubuhan harta intelek dunia.
Harta intelek adalah satu bentuk harta diiktiraf dalam Islam. Artikel 27, Deklarasi Hak Asasi Manusia memperuntukkan, hak dan faedah kepada pencipta, pemilik paten dan hak cipta. Kepentingan harta intelek juga diiktiraf dalam ‘Paris Convention for the Protection of Industrial Property (1883)’ dan ‘The Berne Convention for the Protection of Literary and Artistic Works (1886)’ ditadbir oleh ‘World Intellectual Property Organization (WIPO)’.
Pemilik harta intelek diberi hak eksklusif serta perlindungan terhadap harta intelek hasil ciptaannya oleh undang-undang harta intelek. Ada pelbagai jenis harta intelek seperti paten, cap dagangan, asas reka bentuk perindustrian, hak cipta, reka bentuk susun atur litar bersepadu dan petunjuk geografi.
Contohnya, paten merujuk kepada ciptaan baharu dan inovasi terhadap produk sedia ada. Ciptaan baharu atau teknologi yang belum wujud di dunia ini boleh dilindungi di bawah paten. Setiap paten sah untuk tempoh 20 tahun dan boleh diperbaharui. Paten adalah hak yang diberikan kepada pemilik inovasi untuk memindah milik paten, menegah orang atau pihak lain daripada menggunakan, mengimport atau menjual inovasi tanpa izinnya.
Reka bentuk perindustrian pula merujuk kepada penampilan bentuk, corak atau ukiran sesuatu produk, sama ada dalam bentuk dua atau tiga dimensi. Pemilik berdaftar harta intelek ini mempunyai hak untuk membuat, mengimport, menjual, menyewa atau menggunakan bagi tujuan perdagangan atau perniagaan.
Hak cipta merangkumi karya muzik, sastera, terbitan, siaran ataupun filem. Dalam hal ini pemilik hak cipta mempunyai hak perundangan, hak ekonomi, hak moral dan hak integriti sepanjang hayat pencipta/penulis dan untuk jangka masa tertentu bergantung kepada jenis karya dihasilkan.
Jelas, ada ciri-ciri pemilikan harta dalam harta intelek. Namun, apakah kedudukan harta intelek dalam Islam? Harta intelek atau al-milkiyyat al-fikriyyah menurut satu perspektif yang belum diputuskan, sama ada harta atau bukan harta. Ia bukan sesuatu boleh disentuh atau dilihat, tetapi lebih kepada hasil pemikiran intelek dan kepakaran individu.
Hal ini disepakati Imam Abu Hanifah yang berpendapat, bahawa hasil kepakaran tidak boleh dianggap harta kerana faedahnya tidak boleh disimpan untuk kegunaan pada masa tertentu.
Setaraf harta kekal
The One You've Been Waiting For : UiTM Long Sleeved Basic Tee Hoodie Series
For purchase visit : https://t.co/U7eS7fU4tu pic.twitter.com/D8cgnjQNoJ— Made in UiTM (@madeinuitm) December 9, 2017
Namun, Jumhur ulama pula berpendapat, harta intelek boleh dikira sebagai harta kerana ia boleh dijual beli, boleh dipindah milik dan sebagainya, lantas hak eksklusif pemilikan atau lebih jelas nilai komersial meletakkan ia setaraf harta kekal.
Hal ini memerlukan kajian mendalam dan kesepakatan ulama. Seperti keperluan mempelbagaikan sumber wakaf, begitu juga keperluan untuk membuka luas peluang berwakaf kepada semua golongan masyarakat.
Seandainya harta intelek boleh diwakafkan, tentu lebih peluang berwakaf dapat direbut masyarakat, termasuk pelajar.
Bayangkan jika sebuah universiti mempunyai lebih ratusan paten, puluhan utility innovation dan reka bentuk industri serta ribuan hak cipta dan reka bentuk susun atur litar bersepadu dan diwakafkan oleh pemilik kepada universiti. Tentu ini akan membuka peluang kepada universiti menjana pendapatan. Meneroka wakaf harta intelek dan menentu sah kedudukannya sebagai harta yang boleh diwakafkan atau tidak, akan menjadikan Malaysia terkehadapan dalam hal ini.
Namun, harus diingat usaha meneroka dan memperkasakan wakaf daripada pelbagai sumber mesti menurut lunas ditetapkan Islam dan bukan semata-mata menjana pendapatan.
Kepada mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan dan diamanahkan mengeluarkan fatwa, kita sandarkan harapan untuk memutuskan duduk letak perkara ini. Pemahaman mereka yang mendalam terhadap kaedah dan pelaksanaan wakaf akan membantu mencapai matlamat menegakkan syariat Islam dan membantu pembangunan ekonomi ummah di negara kita.
Penulis ialah Timbalan Dekan (Pembangunan
Program dan Hubungan Pelanggan)
Sekolah Pengajian Siswazah,
Universiti Teknologi Malaysia