“Suara mak seperti masih terngiang-ngiang di telinga saya menyuruh saya jangan putus asa, terus belajar hingga berjaya.”
Demikian kata seorang graduan orang kurang upaya (OKU), Aida Fazira Mohd Alias@Ayit, 23, yang menerima ijazah dalam bidang Rekaan Grafik di UiTM Seri Iskandar pada Istiadat Konvokesyen kali ke-87 UiTM Cawangan Perak, di sini, semalam.
Aida yang juga anak yatim piatu menjadikan nasihat Allahyarham ibunya, Sabariah Hashim, 55, sebagai penguat semangat dan dorongan kepadanya untuk terus berjaya memperoleh ijazah.
Katanya, dia hampir putus asa apabila ibunya meninggal dunia ketika di semester akhir memandangkan dia begitu bergantung harap kepada Allahyarham.
“Memang saya agak kecewa dan rasa hampir putus asa bila mak meninggal dunia, namun saya kuatkan semangat dan seolah-olah masih terdengar nasihatnya supaya saya terus kuat hadapi pelbagai cabaran.
“Saya masih ingat kata-katanya yang meyakinkan saya boleh berjaya. Mengingatkan kata-kata itu, saya nekad untuk terus belajar dan gapai segulung ijazah,” katanya.
Allahyarham ibunya meninggal dunia pada Julai tahun lepas akibat kemalangan jalan raya, manakala ayahnya pula meninggal ketika dia berusia tiga tahun.
Aida berkata, sepanjang tempoh pengajiannya, dia amat bertuah kerana dikelilingi rakan-rakan yang sangat membantu memudahkan pergerakannya.
“Mula-mula masuk universiti dulu memang susah bagi saya kerana sebelum ini semuanya diuruskan oleh arwah mak.
“Bila sambung belajar dan berjauhan dengan mak, saya terpaksa buat semuanya sendiri. Nasib baik ada rakan-rakan yang banyak membantu, termasuklah angkat saya naik ke kelas jika kelas berada di aras dua atau tiga.
“Mereka tak pernah tinggalkan saya sendirian dan sering membantu bila diperlukan,” katanya yang berasal dari Teluk Intan.
Katanya, ijazah itu juga sebagai hadiah kepada Allahyarham ibu dan juga adik-beradiknya yang lain kerana tidak putus-putus mendoakan untuk dirinya.
Rakan Aida, Siti Sarah Ibrahim, 23, menyifatkan Aida sebagai seorang yang kuat semangat dan tabah menghadapi pelbagai dugaan.
“Dia memang tabah dan mampu berdikari sepanjang kami belajar di sini (UiTM Seri Iskandar). Ada kalanya dia rasa seperti putus asa namun dia cepat-cepat bangkit semula semangat untuk teruskan pengajian.
“Kami sebagai rakan-rakan sentiasa membantu, termasuklah mendukungnya untuk ke kelas jika kelas berada di tingkat dua atau tiga,” katanya.
Katanya, mereka gembira kerana berjaya menghabiskan ijazah bersama serta menerima ijazah masing-masing.
“Walaupun menempuh pelbagai dugaan, kami berjaya juga habiskan pengajian dan sama-sama mengikuti istiadat konvokesyen ini,” katanya.
Sayu terima diploma untuk arwah abang
Berbeza pula dengan Mohamad Norazam Husin, 28, yang terpaksa mewakili Allahyarham abangnya, Mohamad Sofian, 31, yang tidak sempat menerima diplomanya kerana meninggal dunia pada Jun lalu akibat kemalangan jalan raya.
Mohamad Norazam berkata, Allahyarham yang bekerja sebagai polis bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyambung diploma secara pengajian jarak jauh (PJJ) dalam bidang Pentadbiran Awam.
“Arwah berjaya tamatkan pengajian namun tak sempat menghadiri majlis konvokesyen ini apabila meninggal dunia pada Jun lalu akibat kemalangan jalan raya.
“Saya agak sedih kerana hasrat abang untuk terima diploma hari ini (semalam) tak kesampaian. Malah dia juga berhasrat untuk sambung ijazah pula selepas ini,” katanya yang hadir bersama ibunya, Norlaili Abdul Kadir, 56.
Katanya, Allahyarham abangnya itu juga sudah mengikuti temu duga untuk kenaikan pangkat sebagai Sarjan, namun hasratnya itu juga tidak kesampaian.
Sumber – Sinar Harian
Register at https://t.co/VXeEKdqq2e and enjoy 10% discount coupon! Hit us up at https://t.co/W2FAwFep4V pic.twitter.com/TLFqckYznv
— Made in UiTM (@madeinuitm) October 8, 2017