“SETIAP kali saya sedih atau ada berita gembira yang saya ingin kongsikan, saya akan ke kubur mama dan ayah di Port Dickson, sehingga ada yang sangka saya gila kerana bercakap sendirian di kubur.
”Itulah cara saya luahkan perasaan,” kata anak yatim piatu, Adilla Kamaruzzaman, 21.
Adilla hidup sebatang kara sejak 11 tahun lalu dan kisahnya tular di media sosial selepas gambarnya memakai jubah konvokesyen di kubur ibu bapanya tersebar.
Menurut Adilla, arwah ibunya, Salamah Maidin, meninggal dunia ketika usianya empat tahun.
“Ketika itu, saya, mama dan ayah menunggang motosikal untuk pulang ke rumah sebelum ada kereta lain melanggar kami dari belakang.
“Mama tercampak di tengah jalan sebelum ada lori gilis mama. Saya lihat sendiri kejadian itu dan sehingga kini saya tidak dapat lupakan peristiwa pahit itu,” katanya
Menurutnya, ketika berusia 10 tahun, bapanya, Kamaruzzaman Karjah meninggal dunia.
“Ayah jatuh dalam bilik air dan lumpuh. Tak lama selepas kejadian itu, ayah meninggal dunia,” katanya.
Adilla berkata, kehidupannya berubah selepas bapa saudara menghantarnya ke rumah anak yatim di Ampangan, Negeri Sembilan.
“Dari usia 10 hingga 17 tahun, saya tinggal di rumah anak yatim sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Tekonologi Mara (UiTM) di Lendu Melaka,” katanya yang juga graduan diploma seni halus UiTM.
https://twitter.com/shewasokay/status/918083022640918528
Menurutnya, meneruskan hidup sebagai yatim piatu bukan mudah kerana semuanya perlu dihadapi sendirian.
Katanya, ketika cuti semester, dia akan bekerja sambilan supaya dapat membantu menampung keperluan pengajiannya.
“Pelbagai kerja pernah saya lakukan, antaranya melukis mural serta mengecat rumah orang.
“Tidak kisah orang cakap apa, yang penting halal dan saya tidak menyusahkan orang lain,” katanya.
Menurut Adilla, dia hanya menggunakan wang simpanan yang diberi orang ramai ketika di rumah anak yatim bagi menampung perbelanjaan pengajiannya.
“Saya terpaksa ikat perut. Pernah ketika bulan puasa di asrama universiti saya hanya mampu beli air soya.
“Air soya itulah buat isi perut saya ketika sahur dan berbuka,” katanya yang bakal menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Seni Halus pada tahun hadapan.
Menurutnya, dia kini bekerja untuk mengumpul wang bagi menyambung pelajaran.
“Saya sepatutnya sambung pada Oktober ini, tetapi saya tak mampu bayar duit MUET (Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia).
“Sebab itu, saya terpaksa kerja sebagai kerani buat sementara waktu untuk kumpul duit,” katanya.
Menurut Adilla, dia bercita-cita untuk membuka galeri lukisan.
“Hasil karya dari galeri itu, saya akan sumbangkan kepada anak yatim yang senasib dengan saya.
“Itu impian saya,” katanya.