SHAH ALAM – Seramai 26,417 graduan akan menerima diploma dan ijazah masing-masing pada Istiadat Konvokesyen ke-87 Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mula berlangsung di 12 kampus utama serta cawangan bermula pada 14 Oktober hingga 14 November depan.
Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, daripada jumlah graduan tersebut, seramai 71 graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah; Ijazah Sarjana (1,286), Diploma lepasan Ijazah (82), Ijazah Sarjana Muda (10,639) dan 14,298 graduan menerima diploma.
“Sidang pertama istiadat konvokesyen pada kali ini akan menyaksikan penganugerahan Gelaran Profesor Emeritus kepada Senator Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah bagi menghargai sumbangan serta mengiktiraf komitmen, kepakaran dan kesungguhannya sepanjang berkhidmat sebagai Naib Canselor UiTM selama 9 tahun bermula 2001.
“Beliau telah bertanggungjawab membawa banyak perubahan penting di dalam melonjakkan sistem pengurusan UiTM ke tahap yang lebih sistematik dan cemerlang.
“Seluruh warga universiti amat berbesar hati dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas penganugerahan berikut,” katanya.
Hassan berkata, pada sidang tersebut juga, sebanyak 12 Anugerah Graduan Terbaik (AGT) akan dianugerahkan kepada 13 orang graduan selepas menjalani proses penilaian yang terperinci di peringkat fakulti dan universiti yang dilakukan Jawatankuasa Pemilihan Graduan Terbaik UiTM.
Sumber – Kosmo
Made from real passion! Be proud of what you're made of. Get yours now at https://t.co/W2FAwFep4V or visit https://t.co/VXeEKdqq2e pic.twitter.com/mCwsUlgSWz
— Made in UiTM (@madeinuitm) October 8, 2017