Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest

3 Perkara Penting Dalam Hidup Walaupun Anda Seorang Pelajar Pintar

“Inspiring!” Itulah jawapan yang saya dapat apabila saya tanyakan Dr Afandi Ahmad tentang respon pelajar mengenai perkongsian saya. Satu komen ini saja sudah cukup membuatkan saya rasa lega. Penat memandu selama 3 jam dari Lembah Klang ke Parit Raja bagai sudah terubat.

Saya ini bukan siapa-siapa, cuma hadir memenuhi permintaan seorang sahabat yang saya hormati. Suatu ketika dahulu, beliaulah penjamin untuk saya melanjutkan pelajaran ke UK. Saya masih ingat beliau berseloroh, “Kau jangan lari pula tau,” kata beliau sambil menandatangani perjanjian cuti belajar saya.

Alhamdulillah saya tidak lari. Kini beliau seorang dekan manakala saya pula sudah tidak bertugas di sana lagi. Saya hadir kali ini bukan sebagai tenaga pengajar, sekadar berkongsi kisah hidup yang diharapkan dapat menyuntik semangat baru untuk para pelajar.

Sewaktu dalam perjalanan ke sana, saya dapat panggilan telefon, “Pukul berapa kau sampai?”

Itu pertanyaan dari Dr Riduan Mohd Najib, seorang lagi teman rapat dari zaman sekolah, juga merangkap penjamin saya. Kehadiran saya rupanya dinanti oleh beliau. Kami makan tengah hari bersama dan berbual rancak seperti dulu.

Sungguh saya malu bertemu dua insan hebat ini. Apabila gagal PhD, penjaminlah antara orang yang diburu oleh penaja. Kalau diikutkan, mereka boleh saja jadi orang yang terawal menjauhkan diri dari saya. Namun sebaliknya, mereka yang menyambut kehadiran bekas rakan sekerja yang tidak menjawat apa-apa jawatan ini.

Sebelum sesi perkongsian, Dr Afandi memperkenalkan saya kepada para pelajar di Kolej Perwira. Pujian demi pujian diberikan. Aduh, terasa kerdil mengenangkan diri yang tidak layak untuk semua itu.

Akhirnya saya dijemput ke atas pentas. Sambil duduk berseorangan, sel-sel otak mula aktif mengingatkan kembali poin-poin penting yang telah difikirkan malam sebelumnya.

Saya mulakan sesi itu dengan kisah sewaktu bekerja sebagai Mat Cleaner UK. 3 pelajaran teras dalam hidup yang dipelajari ketika itu ialah:

1. Bentuk mentaliti survival dan berdikari,
2. Sentiasa memberi manfaat kepada orang lain dan tidak ‘selfish’, dan
3. Bentuk naluri empati dan ihsan terhadap semua yang berada di sekeliling kita.

Saya katakan pada para pelajar, 3 perkara ini bukan sahaja membantu mereka di alam universiti bahkan akan menjadikan mereka manusia yang hebat sehingga akhir hayat, tak kira apa agama mahu pun bangsa.

UITM ORIGINAL SERIES-REDUiTM Sweater Original Series – Classic Red are uniquely crafted using a screen-print technique…

Posted by Made In UiTM on Monday, 16 October 2017

Masyarakat kita sekarang sudah semakin hilang ketiga-tiga elemen di atas. Namun masih belum terlambat untuk mereka lakukan perubahan dalam diri agar impaknya merebak ke serata alam.

Saya turut kongsikan 3 perkara yang dipelajari apabila gagal mendapatkan segulung ijazah PhD.
1. Bersiap sedia dengan segala kemungkinan dan kejutan dalam hidup
2. Kembali kepada Tuhan
3. Sentiasa positif bahawa dengan setiap ujian, Tuhan sedang sediakan kita untuk ganjaran yang lebih besar di hadapan.

Ujian merupakan perkara yang pasti. Ini sudah Tuhan sebut berulang kali dalam al-Quran. Bentuk ujian berbeza-beza. Yang penting kita ada pilihan untuk mengubah keadaan dari kurang baik kepada lebih baik atau sekadar pasrah dan berteleku hingga mati.

Sangka baik dan positif juga perlu sebagai motivasi kita untuk terus bangkit. Jika asyik ‘berkalau-kalau’ dan mengeluh, sudah tentu tak akan ke mana. Tetapkan pandangan pada objektif yang ingin kita capai dan teruskan berlari.

Insya-Allah ada ganjaran besar yang Tuhan sediakan untuk hamba-Nya yang bersusah payah melepasi garis penamat.

Jam sudah menunjukkan hampir ke pukul 4. Biasanya selepas solat Jumaat dan makan tengah hari, ini sudah masuk waktu mengantuk. Namun saya perhatikan wajah-wajah sekitar 60 orang yang hadir itu, hanya seorang dua saja yang nampaknya tersengguk-sengguk.

Apabila pengerusi majlis menghulurkan nota ‘Masa encik tinggal 5 minit lagi’, saya habiskan sesi itu dengan menggalakkan para pelajar agar menyelidiki bakat masing-masing.

Saya yakin kita semua ada bakat tertentu, sama ada sedar atau tidak sahaja. Apa yang penting ialah setiap bakat harus digilap hingga ia benar-benar bersinar dan memberi manfaat kepada semua orang. Bakat tanpa dilatih tetap akan pudar dan tenggelam dalam kesibukan kita mengurus hal dunia.

Bakat ialah identiti kita yang Tuhan kurniakan. Jika perancangan kerjaya kita tergendala, gunalah kemahiran dan bakat yang anda untuk terus maju ke depan. Jangan putus asa dengan hidup atau layu sebelum mati.

Kalau boleh saya ingin bercakap lebih lama. Terasa banyak yang ingin dikongsikan untuk adik-adik yang masih panjang perjalanan untuk membentuk acuan hidup dengan cantik.

Mudah-mudahan cerita saya ini boleh sedikit sebanyak memandu jalan mereka ke arah kecemerlangan.

Sempat saya bertemu rakan lama, juga junior saya di SMKA Maahad Muar, Dr Norfaiza Fuad dan suami beliau Dr Mohd Erwandi Marwan selepas sesi itu. Berbicara mengenai usaha memandaikan umat sememangnya menarik dan tidak akan jemu.

Beliau ada juga mengajak saya kembali menyambung PhD secara sambilan. Insya-Allah, kalau ada rezeki, tidak mustahil. Siapa tahu, kan?

Terima kasih Dr Afandi Ahmad, Kolej Perwira dan UTHM atas jemputan ini. Saya harap ia bukan sesuatu yang sia-sia, baik untuk saya mahu pun pihak yang mengundang. Moga usaha ini Allah terima sebagai amal soleh, buat bekal di akhirat nanti.

Sumber – Ahmad Affzan Abdullah

 

Register.
Enjoy 10% Discount.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

JOIN US.
GET 10% Discount

LATEST POST

More Articles.

GET Notified.

Join Our
Notification
squad