Sebagai seorang pelajar, pastinya ia amat membantu sekiranya anda merupakan seseorang yang boleh bersikap produktif pada waktu pagi. Anda pasti akan hadir ke kelas tepat pada waktunya dan mampu menyiapkan pelbagai kerja dengan waktu yang lebih banyak. Namun begitu, sekiranya diri sendiri sudah terbiasa bangun lewat atau bermalas-malasan di pagi hari, pastinya sukar untuk memupuk sikap yang produktif pada waktu pagi. Tetapi, ini semua boleh dipelajari dan diikuti dengan beberapa tips mudah. Jom baca untuk tahu bagaimana mengubah diri menjadi lebih bersemangat dan seterusnya mendidik diri menjadi a morning person.
1. Bersarapan
Mengambil sarapan pada waktu pagi akan memberikan perbezaan yang sangat ketara terhadap tahap tenaga anda untuk sepanjang hari. Oleh itu, antara langkah yang terbaik untuk memotivasikan diri adalah dengan mengambil sarapan sebelum anda memulakan rutin-rutin harian seterusnya. Sama ada ia merupakan sarapan yang ringkas atau berat, anda dijamin akan merasai kesan positifnya sepanjang menjalani aktiviti seharian. Anda akan lebih bertenaga, kekal ceria dan bersemangat tinggi.
2. Bangun Sejurus Jam Loceng Berbunyi
Ya, memang sukar hakikatnya untuk terus bangun sejurung jam loceng berbunyi. Jika boleh, anda mahu menekan butang snooze buat beberapa kali sebelum anda benar-benar bersedia untuk bangun daripada tidur. Namun begitu, bangun sejurus loceng berbunyi ini amat membantu seseorang untuk lebih bersemangat dan bermotivasi sepanjang hari. Tidak kira anda terlalu penat atau mengantuk, pastikan anda bangun terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya, bangun dan duduklah sebentar. Anda tidak semestinya perlu terus membuat banyak perkara dalam masa satu jam selepas itu. Sebagai seorang pelajar pascasiswazah, ada banyak perkara yang boleh dilakukan seperti bersolat, mengemas meja belajar, membaca bahan bacaan ringan dan sebagainya. Bagi pelajar Muslim, anda boleh gunakan kesempatan ini untuk mentadarus Al-Quran dan memahami bait-bait ayat suci tersebut.
3. Ambil Masa Anda
Jika selama ini anda merupakan seseorang yang suka bangun lewat, ambillah masa anda untuk menyesuaikan diri dengan bangun pada awal pagi ini. Perlahan-lahan, kita ubah diri sendiri untuk kebaikan yang berterusan lagi berpanjangan. Mulakan rutin bangun pagi ini dengan mengunci jam loceng lebih awal daripada kebiasaannya. Anda bolehlah mengunci jam loceng setengah jam lebih awal daripada biasa, dan mulakan untuk masuk ke tidur setengah jam lebih awal juga. Selain itu, sekiranya anda telah terbiasa dengan bekerja atau belajar sehingga lewat malam kerana tidak berasa penat, adalah bagus sekiranya anda cuba untuk bersenam supaya anda dapat berasa letih lalu tidur pada waktu yang sepatutnya.
4. Bina Komitmen
Sertai sesuatu yang baharu dan tanam komitmen dalam diri terhadap perkara tersebut. Bonus tambahan sekiranya anda menyertai perkara yang menyihatkan seperti kelas yoga, aerobik dan sebagainya. Pasti anda dapat menanam sikap bangun pagi selain mendapatkan tubuh badan yang ideal serta sihat. Jika anda mempunyai alasan untuk bangun pagi kerana sudah menetapkan komitmen, pasti anda berasa sukar untuk memberikan sebab untuk terus berbaring dan menyambung mimpi-mimpi nan indah.
5. Susun Atur Kembali Bilik Tidur
Anda juga boleh menyusun atur kembali ruang bilik tidur bagi menggalakkan lagi usaha anda untuk bangun pagi. Antaranya dengan menyusun katil menghadap tingkap agar cahaya mentari yang memasuki ke ruangan bilik dapat merangsang anda untuk bangun awal. Selain itu, anda juga boleh menggunakan kaedah ini, iaitu dengan meletakkan jam loceng sejauh yang mungkin dari katil anda. Rasional di sebaliknya adalah semakin jauh jam loceng dari katil anda, semakin anda perlu berusaha untuk mematikannya pada waktu pagi. Moga-moga usaha berjalan dari katil ke jam loceng yang anda lakukan itu akan berhasil menyedarkan anda daripada tidur.