Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest

Anak Peneroka Raih Anugerah Naib Canselor UiTM

SHAH ALAM 16 April – Seorang anak peneroka tanah rancangan Felda mampu tersenyum puas apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Naib Canselor selepas berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam bidang Pembedahan Pergigian sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-86 hari ini.

Norsyahila Ahmad, 25, ketika ditemui memberitahu, kejayaan yang diperolehnya itu bukan satu perkara yang mudah kerana dia terpaksa mengikuti kursus di peringkat sarjana muda dalam tempoh lima tahun dan sudah tentunya memerlukan banyak pengorbanan dari segi masa serta wang ringgit.

Namun, beliau bersyukur kerana memperoleh kejayaan cemerlang yang dianggapnya hasil dorongan daripada bapa, Ahmad Mohamad, 63, dan ibunya, Robiah Talib, 59, serta rakan-rakannya di Fakulti Pergigian UiTM.

“Saya pada mulanya memang tidak berminat dalam bidang Sains. Walaupun tidak berminat, ia bukan alasan untuk saya ketepikan bidang itu, sebaliknya kita perlu menguasainya seperti mana dengan subjek-subjek yang lain.

“Lama-kelamaan, saya berminat dengan mata pelajaran Sains. Saya sentiasa memberikan tumpuan penuh dalam pengajian selain suami saya, Afandi Bernado Viveru, 26, yang merupakan seorang doktor perubatan banyak memberikan bantuan dan sokongan,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan dan merupakan anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik itu.

Pada masa sama, Norsyahila ketika ditanya mengenai perancangannya selepas ini memberitahu, dia berhasrat untuk berkhidmat kepada masyarakat di hospital kerajaan selepas ini.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, Muhammad Faiz Sabri, 25, yang berasal dari Seksyen 7, Shah Alam menyatakan hasratnya untuk menjadi pensyarah dalam bidang Sejarah Seni dan Pengurusan Kebudayaan selepas menerima Anugerah Sarjana Cemerlang UiTM atas kejayaannya dalam pengajian bidang itu di peringkat sarjana.

“Ketika ini, saya telah pun melanjutkan pengajian saya dalam bidang Sejarah Seni dan Kebudayaan Islam di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di UiTM. Mungkin tidak ramai yang mengetahui bidang pengajian ini.

“Seni sejarah dan pengurusan budaya ini merupakan satu cabang pengajian di bawah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM yang banyak diaplikasikan dalam penghasilan kesenian menerusi pelbagai media, seni bina, seni halus dan sebagainya.

“Saya memfokuskan dalam kesenian Islam. Seni dalam Islam itu kalau diteliti boleh mendekatkan diri kita dengan Allah SWT, selain dimanfaatkan untuk dakwah,” ujarnya.

Seramai 11,431 graduan menerima penganugerahan di kampus induk UiTM di sini dalam istiadat konvokesyen itu yang berlangsung selama enam hari bermula semalam.

 

Sumber : Utusan

Register.
Enjoy 10% Discount.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

JOIN US.
GET 10% Discount

LATEST POST

More Articles.

GET Notified.

Join Our
Notification
squad