Sumber : Sinar Harian
Oleh : NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berpendapat tidak semua lepasan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama mendapat pengecualian pembayaran semula berdasarkan Belanjawan 2019.
Beliau berkata, ini kerana Kerajaan mencadangkan potongan pinjaman kepada peminjam daripada isi rumah B40 yang mendapat keputusan Kelas Pertama yang difahamkan untuk peringkat Ijazah sahaja.
Katanya, dasar baharu ini memberi makna bukan semua peminjam mendapat keistimewaan tersebut.
“Selama ini polisi Pengecualian Bayaran telah dilaksanakan kepada lepasan Ijazah Sarjanamuda Kelas Pertama. Sejak dilaksanakan oleh PTPTN sehingga Mac 2018 sejumlah 45 ribu pelajar mendapat nikmat ini dengan hampir RM1.5 Bilion PTPTN belanjakan.
“Malah apa yang dilaksanakan dahulu nikmatnya diperolehi oleh semua golongan tanpa mengira latar belakang,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, apa yang dilakukan oleh BN sebelum ini adalah sebagai suatu usaha mewujudkan daya saing di kalangan pelajar.
Bagaimanapun katanya, dasar baharu Kerajaan PH ini hanya akan dinikmati oleh peminjam B40 sahaja.
“Kemungkinan potongan pinjaman juga bermaksud bukan pengecualian bayaran sebaliknya hanya dipotong pinjaman mengikut peratus tertentu sahaja,” katanya.
Malah katanya, apa yang dilakukan Kerajaan PH ini bertentangan dengan Janji 100 Hari PH.
Katanya, ini termasuk pembayaran balik dengan cara potongan gaji berjadual antara dua peratus hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam melebihi RM1,000 sebulan.
Berbanding sebelum ini katanya, PTPTN memang melaksanakan sistem bayaran balik melalui potongan gaji, namun ia bukanlah suatu yang wajib sebaliknya dilaksanakan atas persetujuan peminjam.
“Ini bermakna kerajaan mewajibkan potongan gaji kepada semua peminjam bergaji RM1,000 ke atas.
“Apa yang dijanjikan oleh Kerajaan PH untuk memulakan bayaran balik ditangga gaji RM4,000 dengan sendirinya tidak dilaksanakan , sebaliknya mewajibkan pula potongan gaji bermula pendapatan RM1,000 ke atas,” katanya.
www.madeinuitm.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.