Ya…itu kenangan paling tak dapat dilupakan untuk seorang pelajar apabila pensyarah ‘membahan’ di hadapan rakan kelas lain kerana sebutan bahasa Inggeris berterabur.
“Azizi, kalau saya letak dulang kat depan masa awak cakap English, penuh (dulang) dengan huruf S,” katanya yang diketahui ada nada gurau untuk bikin seisi kelas segar.
Itu kejadian tiga tahun lepas sewaktu saya menuntut di Akademi Pengajian Bahasa (APB), Universiti Teknologi Mara (UiTM). Sebenarnya saya tahu pensyarah wanita berkenaan mahu meningkatkan semangat saya.
Subjek yang diajar pensyarah lewat 30-an itu pada masa itu antara yang ‘menghantui’ kami sebagai pelajar bahasa. Satunya sebab subjek berkenaan melibatkan teknikal, graf dan sedikit kira-kira (nombor), keduanya ia diajar dalam bahasa Inggeris.
Adalah dengar cerita senior terpaksa ulang ambil subjek berkenaan dan sebagainya. Tak tahu sama ada kesusahan subjek ‘hantu’ itu hanya fikiran skeptikal mereka atau memang susah sehingga dikatakan pointer ramai pelajar jatuh disebabkannya.
Sepanjang perjalanan semester itu (Sem 3-2014), saya bersama rakan kelas melalui kelas tersebut seperti biasa. Gaduh, bentang tugasan dan kemelut sesama sendiri antara kenangan yang masih di ingatan sehingga kini.
Dipendekkan cerita, semester itu hampir ke penghujungya. Persediaan peperiksaan dijalankan seperti biasa selepas berhempas pulau menghantar lambakan tugasan.
Sekali lagi saya pendekkan kisah panjang ini, keputusan peperiksaan keluar. Terkejut tak terkejut, saya yang pada malam keputusan peperiksaan itu berhasrat nak tengok keputusan ‘subjek hantu’ tu sahaja, mampu mengukir senyuman.
Terngiang-ngiang semula sambungan kata-kata pensyarah dari Pantai Timur itu selepas dia mengejek saya menuturkan bahasa Inggeris.
“Tak apa Azizi, saya yakin awak akan berjaya sebab ‘confident’ yang awak ada akan melangkaui semua hal yang cuba menggagalkan awak. Percayalah!” dia berkata semangat.
Selepas istiadat konvokeysen UiTM ke-82, Mei 2015 yang melayakkan saya berselimpang merah jambu (Anugerah Naib Canselor), saya dipanggil ke satu temuduga sebagai calon pelajar terbaik universiti. Jawab ujian bertulis bahasa Inggeris dan ditemuduga dalam bahasa sama.
Berbekalkan doa dan pasrah serta sedikit ‘ejekan’ pensyarah itu yang saya jadikannya inspirasi, saya menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) untuk Istiadat Konvokesyen UiTM ke-83.
Membanggakan, sebab saya berjaya buat emak dan abah menangis dan sekali gus menebus kesilapan yang kerap mak ulang, “Mak tak pernah tengok kau naik pentas ambil anugerah masa hari PIBG sekolah”, beberapa tahun lalu.
Doakanlah…sekarang ni saya tengah pertimbangkan tawaran mengajar bahasa Melayu di Universiti Tianjin, China. Pastinya kalau ke sana perlu guna bahasa Inggeris. Harap tak penuh lah dulang dengan huruf….. Hee hee.
==========================================
Anda ada cerita UiTM yang ingin dikongsikan ?
Hantar Story UiTM anda ke salam@madeinuitm.com