Kebiasaan program ceramahnya yang terdahulu, penonton diberi peluang untuk bertanya sendiri soalan kepada Dr Zakir Naik. Seorang pelajar perubatan ini bertanya tentang yuran pengajian tinggi yang dikenakan kepada mereka, ini jawapan bernas beliau.
Tindakan seorang pelajar perubatan mengajukan soalan kepada pendakwah antarabangsa pada ‘Program Syarahan Umum Bersama Dr Zakir Naik’ di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu, mempersoalkan bahawa kerajaan Malaysia seolah tidak menghargai pelajar perubatan kerana mengenakan yuran pengajian yang tinggi nyata mengejutkan penceramah agama dari India itu.
Dalam rakaman video yang tersebar di laman sosial Facebook, pelajar terbabit ketika sesi soal jawab dalam program ceramah bertajuk ‘Pentingnya Perpaduan Dalam Kalangan Umat Islam’, memaklumkan kepada Dr Zakir bahawa mereka terbeban dengan yuran pengajian, seolah seperti cuba mencetuskan provokasi dengan mendakwa kerajaan ‘sengaja’ mengenakan yuran yang tinggi kepada pelajar tempatan.
“Kenapa kerajaan tidak menghargai pelajar perubatan seperti saya yang mungkin akan menemui penawar penyakit kanser?
“Kerajaan mengenakan caj pengajian yang tinggi hingga memaksa pelajar sepertinya berhutang dan menanggung riba,” tanya pelajar tersebut dipetik dalam rakaman video itu.
Seolah memahami keperitan dialami oleh pelajar tersebut yang terbeban dengan kos pengajian yang didakwanya terlalu tinggi, Dr Zakir secara berhemah bertanya kepadanya mengenai kadar kos pengajian yang dikenakan oleh kerajaan kepada mereka.
“RM3, 600 setahun (yuran pengajian),” jawab pelajar terbabit yang nyata mengejutkan Dr Zakir.
Mengulas pertanyaan itu, Dr Zakir menyifatkan pelajar tersebut cukup bertuah kerana yuran pengajian perubatan yang dikenakan di Malaysia adalah sangat murah jika dibandingkan dengan negara lain di dunia.
Jelasnya lagi, kerajaan biasanya perlu membelanjakan lebih ratusan ribu ringgit untuk melatih pelajar jurusan perubatan.
“Saya cabar awak untuk mencari di mana pusat pengajian di dunia ini yang mengenakan caj kurang daripada 1000 dolar,” kata Dr Zakir kepada pelajar tersebut.
Mengambil contoh situasi di negara India, Dr Zakir turut menasihatkan pelajar negara ini supaya tidak mudah menyalahkan kerajaan kerana yuran pengajian yang ditetapkan di Malaysia masih lagi berada di paras rendah.
“Di India, jika anda tidak mendapat merit yang disyaratkan dan tidak mendapat skor yang diperlukan dalam fizik, biologi, dan sebagainya, maka caj kapasiti akan dikenakan. Oleh itu, masalahnya atas diri kita sendiri. bukan atas kerajaan,” jelasnya.
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia pada Oktober tahun lepas menyatakan yuran bagi pelajar Malaysia di universiti awam di negara ini ialah antara paling rendah di dunia dengan kerajaan memperuntukkan subsidi sekurang-kurangnya RM16,000 bagi setiap pelajar untuk tempoh pengajian.
Sumber – mD