Ekspo Selangkah ke UiTM 2017 Platform Terbaik Bakal Mahasiswa

Penganjuran Ekspo Selangkah ke UiTM 2017 yang diadakan pada akhir bulan ini dilihat sebagai platform terbaik kepada bakal mahasiswa untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum melanjutkan pengajian ke sana.
Ekspo tersebut yang memasuki edisi ke-10 bakal diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, Selangor pada 25 hingga 26 Mac ini serta beberapa lokasi di kampus cawangan UiTM di seluruh negara.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Hassan Said, penganjuran ekspo itu akan membolehkan bakal mahasiswa mendapatkan maklumat terkini mengenai program yang ditawarkan oleh UiTM dengan lebih dekat.
“Secara tidak langsung, ini akan memberikan gambaran awal mengenai pengajian yang akan diikuti mereka seterusnya merencana masa depan ke arah peluang kerjaya yang lebih cerah.
“Oleh itu, kami menyasarkan kira-kira 20,000 pengunjung khususnya dalam kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan program matrikulasi untuk hadir,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Ekspo Selangkah UiTM kali ini turut mendapat penyertaan sebanyak 24 fakulti daripada 13 cawangan selain 11 pusat akademik UiTM
Tambah Hassan, sebanyak 24 fakulti daripada 13 cawangan akan mengambil bahagian pada ekspo kali ini serta turut disertai oleh kira-kira 11 pusat akademik di bawah UiTM.
“Pada tahun ini, UiTM turut menawarkan sebanyak lima program baharu bagi pengajian peringkat diploma dan sembilan program bagi pengajian peringkat sarjana muda.
“Berdasarkan daripada penambahan program berikut, sebanyak 32,000 tempat disediakan bagi kemasukan pelajar program diploma dan asasi sesi pertama 2017 dan seramai 19,000 bagi peringkat sarjana muda,” jelasnya.
Program baharu yang ditawarkan di peringkat diploma antaranya ialah Diploma Akuakultur, Filem, Penulisan Skrip, Teater dan Pengurusan Seni.
Sementara itu, antara program baharu pengajian sarjana muda ialah Sarjana Muda Sains Teknologi Pembinaan, Sains Pengajian Tani, Pengarahan Filem dan Penulisan Skrin.
Hassan turut mengingatkan ibu bapa agar tidak terlalu tertekan dengan keputusan peperiksaan yang diterima anak-anak mereka sebaliknya perlu mengunjungi ekspo berkenaan bagi mendapatkan khidmat nasihat.
Ibu bapa juga boleh melayari sistem Selangkah menerusi www.selangkah.uitm.edu.my bagi menyemak kelayakan program anak-anak sebagai rujukan sebelum membuat pilihan pengajian. Jadi kepada pelajar-pelajar lepasan SPM/STPM dan setaraf jangan lupa untuk berkunjung ke Ekspo Selangkah Ke UiTM untuk mengetahui lebih lanjut tentang kursus pengajian yang disediakan dan bagaimana cara-caranya untuk memohon masuk.