Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin

‘Graduan tempatan tak lah bodoh sangat pun’

PADA 18 Januari 2017, rakyat Malaysia digemparkan dengan kenyataan yang kononnya dikeluarkan oleh seorang professor dari Universiti Harvard, Profesor Lant Prichett bahawa kualiti graduan tempatan setaraf dengan pelajar-pelajar Denmark yang gagal menamatkan persekolahan.

Ini dilaporkan sebuah portal berita tempatan dalam artikel bertajuk ‘Local Grads Only as Good as Danish High School Dropouts’ pada 18 Januari 2017.

Seperti dijangkakan, sesetengah rakyat Malaysia yang merasakan diri mereka lebih pandai dari orang lain menurunkan pelbagai komen-komen jahat merendah-rendahkan universiti tempatan atas kegagalan menghasilkan graduan berkualiti tinggi.

Yang peliknya, tajuk artikel ini ditukarkan kepada ‘Rote Learning a Bane in Tertiary Education, Harvard Professor warns’ sehari kemudian.

Beberapa jam kemudian, portal berita tersebut menerbitkan satu lagi artikel melaporkan Profesor Prichett tidak mempunyai data mengenai Malaysia dan kenyataan yang dibuat olehnya tidak boleh dianggap mengatakan sesuatu mengenai Malaysia.

Profesor Harvard menyatakan bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang kajian berkaitan Malaysia dan oleh itu tidak akan membuat sebarang kenyataan berkenaan graduan-graduan Malaysia.

Apa yang tak kena dengan rakyat Malaysia sebegini yang dengan cepat melatah dan memburukkan negara apabila terdapat sedikit ruang untuk menghina negara?

Minggu lepas, kegemilangan seorang individu Malaysia bernama Faiz Subri di Anugerah Puskas telah dibayangi kutukan-kutukan sesetengah rakyat yang menyoalkan kebolehannya berbahasa Inggeris.

Kegagalan Faiz Subri berbahasa Inggeris menyebabkan mereka melupakan pencapaian bersejarah yang individu ini telah lakukan untuk negara.

Sekarang, wartawan dari portal berita tersebut memutarbelitkan secara jahat kenyataan Prof. Prichett mengenai kualiti graduan Malaysia, mungkin dengan niat untuk memalukan negara.

Setelah 60 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, tapi masih terdapat rakyat Malaysia mengambil ringan sesuatu yang mereka telah punya – kewarganegaraan.

Banyak masyarakat Cina dan India di Brunei, Rohingya di Myanmar serta masyarakat Palestin di Lubnan dan Syria, sehingga kini dinafikan kerakyatan.

Tidak seperti Brunei, kerajaan Malaysia (dahulunya Malaya), menjelang kemerdekaan pada tahun 1957, telah memberi kewarganegaraan kepada semua rakyat Malaya tidak kira kaum dan agama, walaupun mereka berasal dari luar rantau Nusantara dan tidak mempunyai persamaan apa pun dengan masyarakat Melayu tempatan.

Tatkala negara-negara lain di rantau ini membina kekuatan ketenteraan, Malaysia pula memberikan fokus kepada pembangunan sumber manusia.

Akibatnya, setelah 60 tahun berlalu, Malaysia menjadi sebuah kisah kejayaan – bertukar wajah dari sebuah negara pertanian yang mundur kepada salah sebuah negara perdagangan terbesar di dunia.

Apakah yang memungkinkan ini – hanya menerusi pelaksanaan polisi pendidikan kebangsaan yang berkesan bagi membina modal insan berkualiti.

Fakta-fakta di bawah menunjukkan graduan tempatan tidaklah seburuk seperti yang disangkakan:

Fakta #1.

Malaysia dijajah selama lebih 300 tahun dan masyarakat Melayu/Bumiputra telah dipinggirkan dan dibiarkan terperosok di peringkat terbawah dalam strata sosio-ekonomi sewaktu zaman pemerintahan Inggeris. Kumpulan menengah dan profesional dikalangan masyarakat Melayu/Bumiputra hampir tiada. Menjelang kemerdekaan dan reformasi pendidikan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB), status sosio-ekonomi masyarakat Melayu/Bumiputra (terutama dari kawasan luar bandar) diangkat dan hanya dalam satu generasi, banyak golongan menengah dan profesional Melayu dihasilkan.

Fakta #2.

Banyak graduan dari universiti tempatan diterima untuk melanjutkan pengajian sarjana dan peringkat Ph.D di universiti-universiti berkelas dunia dan lulus dengan bergaya.

Fakta #3.

Terdapat graduan tempatan yang diambil bekerja di bidang-bidang profesional dan menjadi ekspatriat di Singapura, Brunei, Indonesia, Timor-Leste, Kuwait, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu dan United Kingdom, dan ada juga yang berkhidmat untuk organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Fakta #4.

Universiti-universiti tempatan mendominasi pertandingan-pertandingan berprestij antarabangsa seperti Cambridge Debating Tournament yang dikuasai oleh Universiti Islam Antarbangsa Malaysia (UIAM) manakala Universiti Teknologi MARA (UiTM) menempatkan diri mereka di tangga kedua dalam pertandingan World Universities Debating Championship (WUDC) mengalahkan Universiti Yale dan Universiti Harvard pada tahun 2016.

Fakta #5

Banyak institusi-institusi antarabangsa mengiktiraf kepakaran tempatan menerusi pelantikan sebagai profesor pelawat, akademik pelawat dan felo akademik.

Fakta #6

Malaysia merupakan negara ‘top-two’ di Asia dengan kemahiran berbahasa Inggeris yang baik berdasarkan survei oleh EF English Proficiency Index (EF EPI).

Fakta #7

Rakyat Malaysia pertama untuk memenangi Anugerah Keamanan Nobel pada tahun 2013, Mohd Nasarudin Mohd Yusof adalah alumni Universiti Kebangsaan Malaysia.

Senarai ini boleh berterusan dan ini cuma sebahagian untuk menunjukkan sistem pendidikan tempatan tidaklah seburuk yang disangkakan.

Memang benar terdapat kelemahan pada sistem terkini tetapi ini boleh diperbetul dan ditambahbaik.

Apa yang dilakukan wartawan tersebut adalah suatu kesalahan besar dan tidak patut dilupakan hanya menerusi permohonan maaf.

Laporan portal berita yang mengatakan graduan Malaysia setaraf pelajar-pelajar Denmark yang gagal menamatkan persekolahan telahpun tular di media sosial dan ini sedikit sebanyak telah merosakkan imej negara – suatu laporan yang boleh memberikan tanggapan yang salah kepada graduan tempatan dan menjatuhkan maruah negara.

Begitu aneh sekali – apabila kebebasan bersuara disekat, dikatakan kuku besi tetapi apabila kebebasan diberikan, ini pula jadinya.

Sebagai ahli-ahli akademik, kami berasa lega bahawa Prof. Prichett mengakui tidak pernah mengatakan sedemikian.

Tiba masanya rakyat Malaysia berbangga dengan diri mereka dan kemampuan mereka sendiri.

Kita ni tidaklah bodoh sangat pun.

*Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Made In UiTM.

==========================================

Anda ada pendapat yang ingin dikongsikan ?

Hantar pendapat anda ke salam@madeinuitm.com

Register.
Enjoy 10% Discount.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

JOIN US.
GET 10% Discount

LATEST POST

More Articles.

GET Notified.

Join Our
Notification
squad