“Pengalaman sewaktu belajar di universiti merupakan kenangan manis dan pahit yang takkan dapat dilupakan sampai bila-bila” (Made In UiTM, 2017)
Tertarik hati saya dengan intro post MIU kali ini dan alangkah indahnya jika post saya pula terukir di dindingnya.
Saya merupakan pelajar Diploma Pengurusan Maklumat, UiTM Merbok. Ambilan ke-2 tahun 2008. Kiranya sudah hampir menjejak 9 tahun memori ini. Jika tidak silap saya waktu itu dipanggil Minggu Haluan Siswa (MHS) (Betulkan saya jika tersilap).
Tidak dinafikan pengalaman ketika MHS itu adalah yang termanis buat siswa siswi yang baru pertama kali menjejak kaki ke universiti. Tambah pula jika pelajar itu memang “freshie” dan masih muda remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Saya bukanlah muda tidak juga tua. Tetapi terasa istilah “freshie” buat saya terasa sangat merendah diri ketika MHS kerana saya bukanlah “fresh” lepasan SPM. Melangkah ke universiti setelah usia menjangkau 23 tahun, suatu pengalaman yang memang indah dan masih terasa seperti semalam.
Masih saya ingat, sewaktu MHS, kami, siswi diletakkan dalam kumpulan kursus yang sama. Maksudnya yang bakal dan akan menjadi rakan sekuliah. Waktu itu dapatlah kami seramai hampir 20 orang berkenalan sesama kami. Hanya berkenalan tempat asal dan nama. Tanpa menghiraukan berapa usia masing-masing. Mungkin nampak sebaya kan.
Dap dup dap. Jiwa saya agak gundah gulana. Rasa berdebar-debar sentiasa jika tiba-tiba muncul soalan keramat daripada bakal rakan sekuliah. Soalan keramat itu semestinya tentang umur. Biasalah perempuan memang bab umur tidak mahu kalah. Tua sehari pun nak panggil kakak sebab katanya hormat. Cuma saya bukan tidak mahu mengaku tua. Tetapi malu dan rendah diri rasanya bila lewat masuk universiti.
Hari pertama berlalu dengan tenang. Saya dengan rasa tidak bersalahnya memperkenalkan diri dengan nama sahaja. Tambah pula tiada pula yang syak beza umur saya dengan mereka hampir 4 tahun. Dengan penampilan dan karektor saya yang agak kebudak-budakan, memang tidak menjadi isu. Makanya saya pun dengan selamba ala-ala siswi belasan tahun.
Hari kedua dan seterusnya pun tiada tanda-tanda orang akan tahu usia sebenar saya. Bukanlah mahu rahsiakan sangat usia saya, cuma disebabkan pengalaman semasa belajar di kolej, buat saya agak takut terjadi perkara yang sama.
Sewaktu di kolej disebabkan beza umur 2 tahun dengan pelajar sekuliah, setiap kali tugasan berkumpulan mesti saya menjadi ketua disebabkan pangkat “kakak”. Bagi saya bukan tua atau muda untuk menjadi ketua, tetapi ilmu, kemahiran dan kebolehan.
Kemuncak cerita manis saya di MHS terjadi setelah hampir ke penghujung MHS. Ketika itu, saya membawa bersama dokumen yang ada nombor kad pengenalan saya. Dokumen itu asalnya memang tidak terusik. Entah macam mana tergerak hati bakal rakan sekuliah dan juga yang menjadi kawan yang agak rapat semasa MHS, membuka dokumen saya.
Gugur jantung waktu itu kerana dengan bahagia dan seronoknya dia mengatakan..”eh dia ni tua daripada kitalah. Panggil kakak lah”. Memang kalau bukan waktu malam ketika itu, jelas rasanya riak wajah cuak saya. Mujur malam. Boleh lah saya selindung rasa cuak dan agak rasa kelakar nak terguling-guling sebab “kantoi”.
Boleh pula ketika itu, senior (siswa) yang ada di kalangan kami ketika itu terdengar perbualan kami. Sepanjang MHS saya macam terasa yang senior tu curi-curi pandang saya (alamak terperasan pula kan). Lepas MHS bila terserempak dengan dia sudahnya dipanggil saya kakak.
Walaupun usia telah diketahui, sepanjang pengajian saya selama 3 semester sepenuh masa di UiTM Merbok (semester 4 seterusnya tukar mod ke epjj), gelaran saya tetap sama seperti hari pertama MHS, hanya nama.
Disebalik cerita itu, yang manis dan terindah sewaktu di MHS, adalah apabila saya diperdengarkan Lagu “UiTM dihatiku”. Liriknya menyentuh hati. Iramanya buat jiwa saya berkobar-kobar dan bangga menjadi sebahagian daripada warga UiTM. Lagu yang bila diperdengarkan, bila dihayati bait-baitnya terasa sebak dan meremang bulu roma.
Bulan Oktober 2016, Alhamdulillah saya sudah pun bergelar graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Pengurusan Perpustakaan dan Maklumat. Kini sedang dalam penantian untuk menyambung ke peringkat Sarjana, dan masih ingin bersama UiTM, kerana UiTM dihatiku
Sekian.
One Response
Assalamualaikum saya nak tanya kalau umur dah 23/24 baru further study cara permohonan dia still dgn upu ke.. Blh terangkan tak