Pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang gagal mendapat tawaran kemasukan ke universiti awam (UA), dilarang membuat permohonan semula, sebaliknya menunggu pengumuman keputusan rayuan pada 12 September ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata keputusan rayuan pertama dan rayuan kedua akan diumumkan dalam portal rasmi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU), upu.mohe.gov.my.
“Sebanyak 4,000 tempat kosong untuk rayuan kedua ditawarkan kepada 24,000 perayu. Rayuan hanya untuk calon yang gagal saja dan sudah membuat permohonan rayuan pada 3 hingga 7 Ogos lalu, melalui portal rasmi UPU.
“Mereka yang sudah mendapat tawaran tidak dibenarkan membuat pertukaran melalui UPU. Pelajar boleh membuat permohonan pertukaran dalaman di peringkat universiti, yang tertakluk kepada proses universiti masing-masing,” kata Datuk Seri Idris Jusoh.
Punca Pelajar Tidak Mendapat Tawaran
Idris berkata empat punca pelajar tidak mendapat tawaran iaitu tempat terhad, program dipilih tidak banyak kekosongan tempat, persaingan hebat antara pemohon lain dan Universiti Awam mempunyai kuasa penuh untuk memilih calon lepasan Diploma atau setaraf.
Sementara itu, Idris berkata pendaftaran kemasukan pelajar baharu ijazah pertama lepasan STPM/ Setaraf sesi 2017/2018 membabitkan 20 Universiti Awam bermula Sabtu ini.
Antaranya, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), manakala Universiti Tun Hussein Onn pada Ahad ini.
Tujuh universiti lain iaitu, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 3 September.