Kisah Hebat Bekas CEO PETRONAS Yang Mengaku ‘KEDEKUT’

WHAT ARE YOU MADE OF?

Tees, Sweats, Totes

Kisah Hebat Bekas CEO PETRONAS Yang Mengaku ‘KEDEKUT’

Dilatih sebagai seorang akauntan, Tan Sri Hassan Marican menyertai Petronas pada Februari 1989 sebagai naib presiden kanan kewangan. Beliau pernah bekerja sebagai pengurus audit di Touche Ross & Company di London (1972–1980) sebelum pulang ke Malaysia dan bekerja di firma Hanafiah Raslan & Mohamed / Touche Ross & Co (1980–1989).

Beliau adalah fellow di Institute of Chartered Accountants di England dan Wales serta ahli Institut Akauntan Malaysia.

Ketika di Petronas, beliau berada di bawah bimbingan seorang lagi tokoh yang begitu disegani Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin. Azizan dan Hassan menerajui pasukan pengurusan yang mantap dan komited yang bertanggungjawab ke atas banyak kejayaan Petronas hari ini.

Petronas, yang ditubuhkan pada 1974 untuk menjaga sumber petroleum negara membuat penerokaan antarabangsa pertamanya pada permulaan era 1990-an, sejajar dengan strategi integrasi perniagaan, tokokan nilai dan globalisasinya dan sejak itu ia tidak lagi menoleh ke belakang.

Hassan dilantik sebagai presiden dan CEO pada 1995 dan menyandang jawatan sebagai pemangku pengerusi selepas Azizan meninggal dunia pada 2004 pada usia 69 tahun. Hassan dikatakan begitu sedih dengan pemergian Azizan.

Dibantu dengan barisan pengurusan yang mantap, Mohd Hassan memacu Petronas yang bermula sebagai sebuah syarikat kecil pada tahun 1974 dengan modal RM10 juta untuk memiliki modal pemegang sahamnya berjumlah RM232.1 bilion pada Mac 2009 dan aset bernilai RM388.1 bilion!

Menara Berkembar Petronas – Kuala Lumpur

Syarikat minyak tempatan itu melalui operasi di seluruh dunia menjadikannya mampu untuk ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan syarikat-syarikat gergasi minyak asing.

Konsortium yang disertai Petronas juga terpilih untuk memajukan dua blok medan minyak terbesar Venezuela selepas baru-baru ini turut bersama-sama Shell untuk menerokai medan minyak di Iraq diberi nama Majnoon, sebuah kawasan yang terbesar di dunia yang belum diterokai.

Beliau sememangnya dikagumi. Bukan mudah untuk mengerakkan Petronas yang mempunyai lebih 30,000 kakitangan kesemuanya bukan hanya di Malaysia tetapi juga di 30 buah negara dunia. Kejayaan yang dikecapi telah meletakkan Petronas jauh ke hadapan sekali gus menyerlah kemampuan negara di mata dunia.

Kekukuhan Petronas kini boleh dilihat seperti teguhnya berdiri Menara Kembar di ibu kota yang masih mengekalkan gelarannya sebagai menara kembar tertinggi di dunia.

Berikut adalah petikan temubual Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Khalid Mohd, Pengarang Berita, Zaini Hassan, Penolong Pengarang Ekonomi, Mowardi Mahmud dan Ketua Jurufoto, Syed Agil Syed Jaafar dengan Hassan pada 31 Oktober 2004.

S: Tan Sri dikatakan seorang yang kedekut dalam soal perbelanjaan Petronas. Betul ke?

HASSAN: Ya, saya kedekut. Tapi bukanlah dalam erti kata kedekut sebenar. Cuma saya tidak suka melihat pembaziran. Kalau nak kena belanja, walaupun RM10 juta, kalau kita kena belanja dan belanja betul, kita belanja. Tapi kalau kita nak belanja RM10 tapi tak berfaedah, saya kata tak perlu. Saya datang dari satu tempat dulu (semasa menjadi rakan firma audit HRM) kita bagi pen dan pensel free kepada kakitangan buat kerja. Tapi kalau depa mai nak ambil yang baru, dia kena bawa balik yang sudah habis dipakai. Kalau dia tak bagi, saya bagi tahu kepada penjaga stor, jangan bagi. Kalau tidak dia akan membazir. Saya guna amalan ini di Petronas.

S:Tan Sri buat macam itu di Petronas?

HASSAN: Falsafahnya sama. Kalau kita nak buat apa-apa sama ada RM1 atau RM10 atau RM1 juta atau RM10 juta itu bukan relevannya, pertamanya anda perlu justify (membuktikan) perbelanjaan itu adalah wajar dan membawa faedah.
Saya mengaku saya kedekut, lagipun ia bukan duit saya, duit rakyat. Saya di sini hanya sebagai pemegang amanah.

S: Di luar, Tan Sri seorang yang cukup sederhana. Walaupun antara CEO bergaji paling tinggi di Malaysia, Tan Sri masih tinggal di rumah biasa berkembar dua, mengapa?

HASSAN: Saya selesa, lagipun ia hanyalah sebuah rumah. Saya tinggal di Ampang Jaya. Bagi saya ini semua sementara sahaja. Saya beli rumah itu 20 tahun lalu dengan harga RM240,000, tanah dia besarlah juga. Masa itu saya di HRM. Arwah bapa saya dan arwah tok wan (datuk) saya selalu mengajar saya jangan membazir dan jangan hidup menunjuk-nunjuk. Kita hidup sederhana saja. Ini semua cara saya dibesarkan. Tok wan saya kastam dan bapa saya polis, bapa saya pun beli rumah teres di Ampang Jaya sebelum dia bersara sebagai pegawai polis.

S : Betul ke semasa Tan Sri berjawatan ini, Tan Sri pernah balik kampung di Kedah naik bas?

HASSAN: Ya, saya pernah naik bas balik kampung. Apa salahnya. Isteri saya pun naik bas ke Singapura. Ini semua atas diri kita. Kadang-kadang ada orang tegur kerana kita makan di gerai, tapi bagi saya apa salahnya, bukan kita buat perkara-perkara yang tidak bermoral. Tidak bolehkah kita jadi orang biasa? Di kampung kalau balik, saya naik Honda Cup pak menakan (bapa saudara) saya punya, pakai kain dan kemeja-T keliling sampai Semeling (dekat Merbok, Kedah) (ketawa).

S: Jadi inilah siapa Tan Sri sebenarnya. Kalau macam itu duit Tan Sri yang banyak itu buat apa?

HASSAN: Apa sahaja kemewahan yang ada, saya letak tepi untuk pendidikan anak-anak saya. Itu sahajalah yang akan mereka ada, pendidikan. Sama seperti bapa saya buat, tak ada harta benda apa pun, pelajaran sahaja.

S: Tapi jika mengambil kira itu pun, duit Tan Sri masih banyak?

HASSAN: Yalah, kita laburlah sikit sana sikit sini (ketawa).

S: Benarkah Tan Sri adalah CEO yang paling tinggi dibayar di Malaysia?

HASSAN: Persepsi kata Petronas bayar gaji tinggi sebenarnya tidak benar. Jika dibandingkan dengan kakitangan kerajaan lain, tinggilah sikit. Malah jika dibandingkan dengan naib-naib presiden saya gaji mereka tidak ke mana berbanding pegawai-pegawai kanan di bank-bank tempatan.

Kalau ahli lembaga pengarah, dapat RM3,000 sahaja sebulan, itu pun saya baru naikkan, sebelum ini hanya RM1,000 sebulan sahaja.

Pengerusi Petronas (yang dipegang oleh Allahyarham Tan Sri Azizan Zainol Abidin) hanya RM5,000 sahaja sebulan.

Saya pernah katakan kepada kakitangan saya, siapa yang sanggup berkhidmat dengan Petronas ialah jenis orang yang luar biasa. Mereka ini, terutamanya di peringkat senior mempunyai semangat nasionalisme dalam darah mereka. Berkhidmat untuk negara. Saya datang dari sektor swasta, ada orang kata apa ***** sangat masuk kerajaan. Tapi saya kata ini adalah untuk negara dan saya mendapat kepuasan kerana saya dapat bagi balik kepada negara. Cabaran hari ini ialah untuk mendapatkan anak-anak muda dalam organisasi ini, untuk berkongsi dengan jenis orang yang luar biasa itu. Kerana generasi muda ini, dia semua nak cepat, nak tengok material.

Jika sekarang kita kakitangan dan dinaikkan pangkat sebagai naib presiden, dia kena berhenti sebagai kakitangan Petronas dan masuk dalam skim kontrak selama tiga tahun. Apa yang dia nikmati sebagai kakitangan dulu termasuk faedah-faedah persaraan dalam KWSP dipindahkan ke skim kontrak.

Jumlah kakitangan Petronas, termasuk anak syarikat Malaysia International Shipping Corporation Berhad (MISC) sekarang 20,000 termasuk luar negara semua sekali 25,000.

Pada masa yang sama, saya juga ingin menafikan bahawa Petronas tidak pernah menyiarkan penyata kewangannya. Walaupun, kami bukan syarikat senaraian awam tetapi kami mengeluarkannya dan menyiarkan dalam laman web, bahan bercetak yang kemudiannya diagih-agihkan. Petronas diberikan penarafan kerana ia memudahkan kami membuat pinjaman untuk operasi.

S: Tan Sri ada jet Petronas, tapi jika menggunakan penerbangan komersial, adakah Tan Sri turun gred ke kelas perniagaan?

HASSAN: Saya tidak turun gred ke kelas perniagaan, saya kekal di kelas pertama kerana dua sebab. Pertama, saya boleh sampai ke London dan terus bekerja, jadi saya nak ambil peluang untuk tidur dalam pesawat, kedua, kedudukan yang saya bawa. Kalau tidak naik kelas pertama dan naik kelas perniagaan orang akan perhati dan you adalah CEO Petronas, ini soal imej dan persepsi orang, itu kena jaga juga.
Tapi jika saya pergi London atas urusan peribadi dan bersama keluarga, mungkin saya pergi ekonomilah.

S: Tan Sri ini betul-betul kedekutlah?

HASSAN: Kalau nak kata kedekut, kedekutlah. Kita kena bagi tahu anak-anak kita benda ini susah, bukan dapat mudah, dapat pi London dan naik kapal terbang itu sudah cukup baik. Ia adalah bagaimana kita membentuk minda mereka, kalau tidak depa ingat kita dapat senang-senang saja. Anak saya ada empat orang, dua masih kecil darjah enam dan tingkatan tiga, seorang di universiti habis tahun depan dan seorang lagi dah kahwin.

S : Kita pernah nampak, Tan Sri bawa bungkusan dalam plastik ulam dari rumah ke meja makan semasa berbuka puasa dengan para wartawan. Nampaknya Tan Sri adalah peminat ulam?

HASSAN: Betul, saya suka makan ulam. Ulam raja, pucuk janggus (gajus), pucuk putat. Saya tanam sendiri, pokok munggai pun ada di rumah. Di pejabat setiap hari, saya makan nasi bekal. Isteri saya masak dan dihantar ke pejabat. Kalau saya keluar makan tengah hari, habis banyak masa. Puas makan makanan dari rumah, ada gulai ikan ka, dan macam-macam lagi, puaslah. Kerana kadang-kadang kita pun ada macam-macam majlis dan makan malam yang perlu hadir, jadi tengah hari kita ambil kesempatan makan lauk dari rumahlah, sambal ikan kering mesti kena ada (ketawa).

S: Bolehkah Petronas menyedut lebih minyak bagi menambah pendapatan kerajaan?

HASSAN: Dalam usaha melanjutkan hayat simpanan minyak kita dan berdasarkan polisi syarikat, kita hanya hasilkan 650,000 tong sehari. Dari segi teknikal, pelantar dan keupayaan simpanan kita, ia direka untuk mengeluarkan 650,000 ke 700,000 tong sehari.

Kita tidak boleh sewenang-wenang sedut keluar macam buka pancur air, kerana ia akan memusnahkan telaga simpanan minyak kita. Jika kita paksa, telaga itu akan musnah. Macam paru-paru, jika ia tembus, anginnya akan keluar perlahan-lahan, jika kita tekan kuat, ia akan kecut terus. Macam itu juga telaga minyak di dasar laut.

Maknanya, walaupun ada permintaan supaya disedut lebih, kita tak boleh buat kerana ia akan memusnahkan telaga minyak itu.

Lebih penting lagi, kita memegang amanah, untuk generasi akan datang, anak cucu kita boleh tumpang sama.

SAK: Selepas mengundurkan diri dari Petronas kira-kira tujuh tahun lalu, anak jati Sungai Petani, Kedah itu kini dilantik sebagai Pengerusi Singapore Power, Pavilion Energy, Pavilion Gas dan Lan Ting Holdings dan ahli lembaga pengarah Regional Economic Development Authority of Sarawak, Sarawak Energy, Lambert Energy Advisory dan MH Marican Advisory. Beliau juga adalah penasihat kanan antarabangsa Temasek.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More Articles.

GET Notified.

Join Our
Notification
squad

WRITE