Anthony Tan adalah pengasas dan CEO untuk syarikat GrabTaxi. Bermula pada tahun 2012, Anthony hampir 3 tahun menubuhkan syarikat ini, hampir 350 juta dolar telah dilaburkan dan kini syarikat ini dikenali sebagai start-up yang paling berjaya di Asia Tenggara.
Mempunyai pelanggan dan rakan kongsi di hampir 21 bandar di rantau Asia, aplikasi kenderaan ini membolehkan pelanggannya mengunakan kereta sesiapa sahaja sebagai alternatif kepada teksi dengan tambang pada kadar yang berpatutan.
Malahan dikatakan harga perkhidmatan pemandu Grab lebih murah daripada pemandu teksi biasa.
Bagi pemandu Grab pula, aplikasi ini membolehkan mereka menerima lebih banyak tempahan dan membantu mereka untuk merancang perjalanan dengan lebih efisien.
Di Singapura contohnya, operator teksi mengenakan caj sebanyak 40 sen tiap kali teksi mengambil penumpang manakala Grab hanya mengambil 30 sen sahaja.
1. Grab Bermula Daripada Idea Pelajar Untuk Start-Up.
Pada awal pelancaran, sebanyak 11,000 orang telah memuat turun aplikasi ini. Sehingga kini, Grab telah dimuat turun dan digunakan oleh hampir beberapa juta pelanggan.
Menurut Tan, secara puratanya, ada 7 tempahan yang dibuat setiap saat dan populariti mereka semakin meningkat bukan kerana strategi pemasaran sebaliknya kerana kebolehan mereka menyelesaikan masalah yang sebenar yang dialami oleh pengguna.
Pada awalnya, ia adalah idea bisnes untuk untuk Harvard Business Plan Competition yang dianjurkan pada tahun 2011. Tan merupakan pelajar jurusan bisnes di Harvard.
Tan dan rakannya berkongsi cerita mengenai sistem teksi di Malaysia dan daripada situ Tan mendrafkan bagaimana untuk membantu pelanggan tradisional teksi untuk mendapatkan kenderaan dengan mudah.
Pendekatan Tan berbeza dengan syarikat Uber. Idea tersebut memenangi tempat kedua dan mereka adalah rakyat Asia pertama yang memenangi pertandingan seumpamanya.
Kata Tan lagi, idea memulakan GrabTaxi tercetus apabila melihat sistem teksi Malaysia yang baginya agak tidak teratur dan bermasalah.
Pemandunya juga tidak dapat menjana wang yang cukup dan sering merungut mengenai pekerjaan mereka.
Kes-kes yang berkaitan dengan pemandu teksi juga menimbulkan rasa yang tidak selamat untuk penumpang wanita. Keinginan untuk menyelesaikan masalah inilah yang membuatkan aplikasi ini direka.
2. Aplikasi Grab Mula Dikenali.
Pada awalnya, mereka bergelut dengan cabaran yang besar untuk memperkenalkan konsep aplikasi dan teknologi yang baru kepada para pemandu.
Kadang-kadang bukanlah kerana mereka ini buta teknologi, sebaliknya mereka ini enggan untuk belajar perkara baharu.
Untuk bermula, mereka terpaksa berjalan kaki, mereka terpaksa mencari pemandu-pemandu, mengambil tahu di mana tempat mereka melepak dan tempat mereka menunggu penumpang.
Ada yang berada di lapangan terbang, kompleks membeli- belah, dan stesen minyak.
Situasi dahulu dan sekarang sudah menjadi terbalik. Kalau dahulu mereka yang bersusah payah mencari pemandu, kini orang ramai pula yang mencari mereka dan menawarkan diri untuk menjadi pemandu.
Namun begitu, mereka masih mengekalkan tradisi mengambil pemandu cara manual dimana mereka berjumpa terlebih dahulu semasa menandatangani surat perjanjian. Hal ini kerana, keselamatan adalah perkara utama bagi mereka.
Kini Grab mempunyai hampir 500 pekerja dan di Malaysia sahaja kira-kira 60,000 orang mendaftar dengan Grab untuk menjadi pemandu.
Walaupun aplikasi mereka menggunakan teknologi moden, Tan masih lagi mengekalkan cara yang lama untuk beberapa urusan niaga seperti menjawab panggilan telefon di bahagian khidmat pelanggan dan beberapa urusan lain meskipun sudah bergelar CEO.
Malahan sama seperti pengasas UBER, Tan juga sering menggunakan perkhidmatan ini dan kebanyakkan pemandu tidak mengenalinya.
Tan mengambil kesempatan ini untuk bertanyakan pandangan para pemandu mengenai aplikasi yang mereka guna. Kata beliau, kita harus tahu masalah mereka, melihatnya dan merasainya supaya syarikat dapat meningkatkan kualiti untuk keselesaan bersama.
3. Detik-Detik Cabaran Bagi Syarikat Grab.
Tan akui yang perjalanannya bukan senang. Pada tahun 2013, mereka mengembangkan sayap ke Manila selepas berjaya dengan pelancaran di Kuala Lumpur.
Namum begitu, ia tidak berjalan lancar seperti yang disangkakan. Kata Tan, ada satu ketika mereka tidak mampu membayar pekerja.
Pekerja tidak berkata apa-apa kepada mereka, dan mereka juga tidak tahu yang mereka tidak dibayar hinggalah sebulan kemudian.
Menurut Tan, ini adalah kesilapan dalam perancangan mereka. Mereka tidak merancang dan berbelanja dengan baik.
Peristiwa ini memberikan kesedaran kepada mereka untuk lebih berhati-hati dalam keterujaan untuk mengembangkan bisnes.
Pada awalnya, Grab telah diberikan suntikan modal oleh keluarga Tan sendiri. Namun, selepas itu ada syarikat-syarikat lain yang ingin melabur ke dalam syarikat Grab seperti Vertex Ventures bermula pada tahun 2014.
Namun konflik timbul kerana keluarga Tan masih melabur pada masa yang sama dan ini menjadi konflik kepada syariakt tersebut kerana mereka mahukan rakan pelabur yang profesional untuk menjaga kredibiliti dan disiplin.
Situasi di Manila mengajar mereka untuk mengumpul dana bagi menyelamatkan syarikat. Tan terpaksa guna duit kesemua ahli keluarga dan mereka berjaya selamatkan syarikat.
Peristiwa ini mengajar mereka yang sebagi usahawan harus tahu untuk menjaga ‘cashflow’ syarikat dengan sangat teliti.
#4-Grab Utamakan Pelaburan Dalam R&D.
Setelah berjaya memulihkan ‘cash flow’ syarikat, Tan telah belajr untuk berbelanja dengan bijak. Beliau berpendapat yang adalah sangat penting baginya untuk melaburkan wang syarikat dalam bidang R&D.
Mereka telah berjaya mengambil bekas pekerja Facebook untuk mebantu mereka meningkatkan kualiti dalam aplikasi mereka sekarang dan pada masa hadapan. Oleh itu, Grab telah membuka satu pusat R& D yang besar di Singapura.
Bagi Tan, mereka tidak perlu melabur untuk pengiklanan sebaliknya mereka melabur untuk bakat yang berkualiti. Upah orang yang pandai daripada kamu dan boleh membantu syarikat untuk jadi lebih hebat.
Tan juga menasihatkan yang satu kesilapan yang dia pernah lakukan dalam bisnes adalah, menghabiskan masa terlalu banyak dengan pelabur dan kurang bersama dengan pekerja.
Tan belajar yang pekerja adalah penting dan sama memerlukan majikan. Mereka menyertai anda jadi mereka berhak dengan masa yang anda luangkan untuk mereka.
Terkini, Grab turut melancarkan GrabBike di sekitar bandar Ho Chi Minh City, Hanoi, Vietnam, Bangkok, Thailand dan Jakarta kerana permintaan yang tinggi. Apa yang menarik mereka turut menawarkan insuran perlindungan untuk pemboncengnya.