Aku bukan anak orang berada tetapi mempunyai keazaman yang tinggi untuk mengubah nasib destinasi diriku. Arwah ibuku hanyalah Ustazah mengajar mengaji Al Quran dan Arwah ayahku hanyalah Buruh JKR.
Dibesarkan dengan didikan ukhrawai dan duniawi, umurku seusia 8 tahun arwah ayah dijemput Ilahi. Ibuku iaitu Pn Hjh Siti Zubaidah Binti Hj Mohamad telah membesarkan kami 4 beradik dengan bantuan makcik iaitu Pn Hjh Mahirah Bte Hj Mohamad kami berpindah ke Bandar Baru Uda, Johor Bahru. Di sinilah kami 4 beradik menumpang kasih. Waktu ini juga abang sulong baru setahun menyambung pengajian di Universiti Pertanian Malaysia.
Kerana rasa ingin bantu ibu, kubawakan kacang goreng pedas ke Sekolah Agama Kompleks Uda. Alhamdulilah berkat inilah disamping arwah ibuku mengajar mengaji Al Quran kepada anak – anak jiran di sini dapat meringankan bebanan kewangan. Syukur Alhamdulilah dapat juga menghabiskan Kelas pengajian Darjah Khas, Sekolah Agama Kerajaan Johor.
Berbekalkan keazaman melihat jiran menjadi Pensyarah UTM Skudai ku sematkan dalam jiwa untuk masuk kelas Aliran Sains Tulen tingkatan 4 di SMK Tasek Utara JB. Terima Pn Tarifa Sawir guru tingkatan kami. Ternyata sukar rasanya pada ketika itu dan keputusan SPM amat mengecewakan. Berkat kesabaran arwah ibu, Alhamdulilah dapat sambung belajar ke Kolej Yayasan Pelajaran MARA, Kota Bharu, Kelantan. Bersyukur atas didikkan dari Pensyarah yang baik iaitu Tn Mohamad Syaifuddin, Tn Azmi dan Tn Raja membimbing kami hingga Berjaya mendapat keputusan GPA 3.50. Syukur Alhamdulilah
Perjalanan ini diteruskan ke Matrikulasi Sains Fizik Universiti Pertanian Malaysia bersama rakan perjuangan yang lain seperti Nasir Abdullah sehingga ke Peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam. Mungkin kerana kealpaan dengan tidak membahagikan waktu untuk bergiat aktif sebagai Pegawai Kadet Palapes UPM, aktif Kolej sebagai Eksekutif Kebajikan peringkat Blok akhirnya dapat GB. Pada waktu ini dunia rasa kosong ke mana arah tuju ku?
Alhamdulilah panggilan Universiti Tenaga Nasional membuatkan diriku kembali bermotivasi. Syukur dapat Tajaan Yayasan Tenaga Nasional (YTN) dan dapat menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kuruteraan Mekanikal dengan Kepujian. Dapatlah juga menebus kekecewaan dan memberi hadiah istimewa kepada arwah ibu dengan membawa arwah ibu ke dewan Istiadat Konvokesyen.
Terima Kasih Allah kerana sekali lagi anak JKR dan anak Ustazah ini dapat menyempurnakan Pengajian Ijazah Sarjana Pengurusan Pembinaan bersepadu di UiTM dan nikmat menaiki pentas Konvokesyen ke 86 masih segar dalam ingatan. Perit jerih tidak tidur malam hingga membawa ke tengahari semata-mata menyiapkan tugasan ISP 2, Dissertation dan tugasan laporan kerja sebagai Pengurus Jualan & Teknikal untuk Malaysia (Jual Crane utk Pelantar Minyak) adalah satu pengalaman bermakna dalam menempuhi dunia akademik dan bekerja pada waktu yang sama. Bayangkan 0430 pagi mula bergerak ke KLIA 2 untuk memastikan Kapal Terbang ke Singapura pada pukul 0605 pagi dan mesti tiba ke Pejabat untuk urusan Mesyuarat tepat pukul 0900 pagi. Pada hari yang sama perlu mengikuti kelas di UiTM pada pukul 0830 malam di UiTM Shah Alam. Inilah nikmat yang dirasai yang tidak dapat dirasai oleh orang lain sepanjang pengajian. Cuma pada konvokesyen kali ini arwah ibu tiada dan Alhamdulilah tunang dan adiknya sahaja yang berada di dewan ini. Syukur kepadamu Ya Allah.
Kini, anak JKR & anak Ustazah ini menggalas harapan arwah ibunya untuk melihat anaknya membawa Ijazah Kedoktoran Alam Bina di UiTM Shah Alam. Sepanjang perjalanan PhD ini, Alhamdulilah telah dapat menabur bakti sebagai guru ganti di Seremban, Negeri Sembilan. Melihat Kejayaan anak didik ini Berjaya dengan cemerlang dalam Matapelajaran Fizik dan Matematik Tambahan adalah satu nikmat buat diriku. Terima Kasih Pn Pengetua SMK Bukit Kepayang, Seremban 2 kerana sudi mengambil diriku walaupun hanya selama 3 bulan bermula Ogos hingga Oktober 2016. Syukur kepada Allah kerana telah lulus “Defence Research Proposal” (DRP) dan mendapat No 3 dalam iiDEX FSPU UiTM.
Untuk penutup bicara, masih segar dalam ingatan ini pesanan arwah ibu seminggu sebelum meninggalkan kami. Arwah ibu berpesan, “Usop belajarlah sehingga ke peringkat yang usop mampu, perbaiki diri”. Salam Ramadhan buat semua sahabat.
Sekian dari saya, mohon maaf jika di bulan yang mulia ini. Selamat menunaikan ibadah puasa dan Solat Terawih.
==========================================
Anda ada cerita UiTM yang ingin dikongsikan ?
Hantar Story UiTM anda ke salam@madeinuitm.com