ARAU 21 April – Lima kali mendapat Anugerah Dekan pada peperiksaan semester merupakan pencapaian menakjubkan bagi seorang pelajar, apatah lagi dalam golongan kurang upaya yang kini mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis.
Kejayaan Muhamad Razlan Ibrahim Mukthar, 21, dari Pulau Pinang yang mengalami masalah penglihatan sejak berusia 10 tahun kerana gloukoma, sewajarnya menjadi inspirasi kepada pelajar UiTM Perlis serta institusi pengajian tinggi lain di seluruh negara.
“Saya cuba meletakkan matlamat mencapai sekurang-kurangnya Purata Nilai Gred (GPA) 3.6 pada setiap semester. Pada semester pertama saya mendapat 3.6 diikuti semester kedua (4.00), semester ketiga (3.94), semester keempat (3.93) dan semester kelima (3.95).
“Diharap peperiksaan semester keenam yang baharu berakhir juga mendapat keputusan terbaik,” katanya ketika ditemui di Perpustakaan UiTM, di sini hari ini.
Ketika ditanya petua kejayaannya, Muhamad Razlan memberitahu, dia belajar bagaikan waktu bekerja di pejabat iaitu mulai pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang, yang kebanyakan masanya dihabiskan di perpustakaan.
“Jika tiada kuliah, perpustakaan menjadi tempat saya untuk menyiapkan tugasan dan mengulang kaji pelajaran,” katanya.
Selain itu, kata anak sulung daripada empat beradik itu, dia juga akan memastikan mengulang kaji pelajaran sekurang-kurangnya sejam pada setiap hari walaupun sesibuk mana sekalipun.
“Saya mengamalkan petua bertanya soalan kepada pensyarah jika tidak faham dengan penerangannya,” kata anak kepada seorang buruh itu.
BACA : ANAK PENIAGA PASAR MALAM TERBAIK ACCA KE-7 DUNIA 2013
Walaupun keadaan kesihatannya itu membataskan dia untuk bergerak, Muhamad Razlan tetap membahagikan masa untuk beriadah seperti berjoging pada waktu petang untuk menjamin kesihatannya.
“Jika orang lain bermain bola, saya pula beriadah dan bersenam setiap petang,” katanya.
Pada waktu malam pula, Muhamad Razlan mengisi masa dengan menonton filem P. Ramlee yang menjadi kegemarannya kerana penuh dengan falsafah dan pengajaran baik.
Dia bercita-cita melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang perniagaan di Australia dan berharap ada pihak sudi menajanya.
Sementara itu, Rektor UiTM Perlis, Prof. Datuk Dr. Ahmad Redzuan Abd. Rahman berkata, pihaknya berbangga kerana mampu melahirkan pelajar OKU yang rajin dan bijak seperti Muhamad Razlan.
“Sekalipun UiTM tidak menyediakan kemudahan serba lengkap untuk OKU seperti Muhamad Razlan, tetapi kekurangan ini menjadi motivasi kepadanya untuk mengatasi segala halangan,” katanya.
Beliau berkata, pensyarah, kakitangan dan pelajar UiTM memang sentiasa memberi kerjasama untuk membantu pelajar itu supaya dapat menjalani kehidupan seperti orang biasa.
Sumber : Utusan Malaysia