Tiga mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengharumkan nama Malaysia di persada dunia apabila dua produk penjagaan diri ciptaan mereka diiktiraf sebagai antara produk ciptaan terbaik di peringkat antarabangsa.
Produk krim rawatan kulit dan gel rambut ciptaan Muhammad Salman Samin, Mohamad Kamarul Mohamad Sipi dan Nasywa Yazid memenangi pingat emas dalam pertandingan Anugerah Pencipta Muda Antarabangsa Ke-4 (IYIA) 2017 di sini semalam.
Pasukan pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia UiTM Cawangan Pulau Pinang itu mencipta krim rawatan kulit “Murcogen” yang diperbuat daripada herba rumput Beijing untuk melega sakit kulit dan gel rawatan rambut “Amur Hair” yang berasaskan daun durian belanda bagi mengatasi pelbagai masalah rambut.
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM Pulau Pinang Mohamed Syazwan Osman yang juga penyelia kajian produk pelajar berkenaan berkata, kejayaan mereka mendapat pingat emas adalah sesuatu yang sangat membanggakan UiTM cawangan Pulau Pinang kerana ia adalah penyertaan kali pertama.
Katanya, mereka tidak menduga akan mendapat hadiah pingat emas sekali gus untuk kedua-dua penyertaan dan ia adalah satu sejarah baharu dalam penghasilan kajian oleh pelajar UiTM Pulau Pinang.
Beliau berkata, bukanlah sesuatu yang senang untuk memenangi hadiah pingat emas kerana terpaksa bertanding dengan 250 produk yang dicipta oleh para pelajar instistusi pendidikan tinggi dan sekolah-sekolah berasrama penuh daripada 13 buah negara.
Mohamed Syazwan berkata, Malaysia telah menghantar sebanyak 60 projek produk ciptaan pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi dan beberapa buah sekolah berasrama penuh.
“Bagi dua produk ciptaan pelajar UiTM itu, kita telah failkan untuk paten dan ia telah mendapat permintaan industri untuk dikomersialkan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya, UiTM berharap kejayaan para pelajar itu dapat menyuntik semangat universiti berkenaan untuk terus berinovasi dan membangunkan bakat khususnya anak muda Malaysia untuk menempa kejayaan di peringkat antarabangsa.
Pertandingan yang terbuka bagi anak muda berusia bawah 30 tahun itu dianjurkan oleh Indonesia Innovation and Invention Promotion Association (INNOPA) dengan kerjasama Universitas Mercu Buana dan World Inventor and Innovators Asssociation (WIIA). – BERNAMA