Peluang kedua menerusi program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) yang diberikan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada pelajar kurang cemerlang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dimanfaatkan sepenuhnya oleh seorang remaja, di sini.
Mohd Noorhakimi Ghazali, 23, dinobatkan sebagai penerima anugerah khas UiTM Terengganu sempena istiadat konvokesyen UiTM kali ke-87 yang diadakan di kampus UiTM Dungun, baru-baru ini.
Walaupun kurang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi pelajar kelahiran Cherul, Kemaman itu membuktikan usaha gigih mampu merealisasikan impiannya untuk mengejar kejayaan di menara gading sekali gus mengubah masa depan keluarga ke arah lebih baik.
Anugerah yang diterima bukan sekadar kerana pencapaian cemerlang dalam akademik tetapi kejayaan dalam pelbagai aspek termasuk kepimpinan dan kokurikulum.
Isteri bantu isi borang
Noorhakimi berkata, dia berterima kasih kepada isterinya, Nurul Fazir Amira Mamat, 23, kerana membantunya membuat pilihan bijak memohon MDAB yang sekarang sememangnya merubah keseluruhan kehidupannya.
Menurutnya, selepas tamat SPM dia bekerja sebagai pembantu restoran di Kuantan sebelum mengambil keputusan melanjutkan pelajaran.
“Saya hanya dapat 3A dalam SPM dan tak sambung belajar dekat mana-mana.
“Tapi isteri saya yang waktu itu teman wanita saya ambil kesempatan isi borang MDAB dan kami berjaya sertainya sama-sama,” katanya.
Katanya, selamat tamat kelas pra di UiTM Dungun, dia menyambung pengajian di peringkat diploma dalam bidang seni kulinari.
“Walaupun ikut program MDAB, tapi kamu berusaha gigih dan nak buktikan mampu seiring dengan pelajar lain.
“Saya juga tak sangka dapat anugerah ini dan terima kasih kepada UiTM kerana tak letak jurang atau diskriminasi antara kami dengan pelajar lain,” katanya.
Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, walaupun pelbagai halangan dan dugaan ditempuh, tetapi dia bersama isteri berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang, malah mampu membanggakan ibu bapa apabila terpilih sebagai pelajar terbaik.
“Bukan mudah nak lalui pelbagai dugaan tapi kita tak boleh putus asa dan buktikan kemampuan,” katanya.
Katanya, tidak dinafikan dia mengalami masalah kewangan ketika belajar tetapi mereka perlu bijak menguruskan segala benda dan membahagikan masa.
“Saya akhirnya dapat capai keputusan cemerlang walaupun masuk ke universiti melalui MDAB.
Ketahui cara-cara untuk memohon ke Program Destini Anak Bangsa ini
Made from real passion! Be proud of what you're made of. Get yours now at https://t.co/W2FAwFep4V or visit https://t.co/VXeEKdqq2e pic.twitter.com/tjgHDV7fVU
— Made in UiTM (@madeinuitm) October 8, 2017
“Tamat sahaja diploma saya dan isteri berkahwin, sekarang isteri sedang mengandung,” katanya.
Impi sambung pengajian
Katanya, dia mempunyai impian besar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tetapi buat masa sekarang akan fokus di dalam kerjaya terlebih dahulu.
“Memang ada niat nak sambung belajar tapi saya tunggu keadaan stabil sebab saya tak nak sambung guna pinjam PTPTN.
“Alhamdulillah terima kasih kepada UiTM kerana perkenalkan peluang ini kepada kami khususnya daripada golongan luar bandar dan berpendapatan rendah,” katanya yang kini bekerja di Depo Tahanan Imigresen Ajil dengan jawatan sebagai pegawai imigresen.
Sementara itu, ibunya, Hanisah Zawawi berkata, dia bersyukur dengan kejayaan NoorHakimi dan menjadi contoh terbaik kepada adik-adik yang lain.
“Dia anak pertama daripada keluarga kami yang masuk universiti dan membawa kebanggaan kepada keluarga.
“Dia mempunyai cita-cita sendiri dan sebagai ibu saya doakannya terus berjaya,” katanya. – Sinar Harian