SEBENARNYA.MY: Laman Web Semakan Fakta dan Kesahihan Berita Pertama di Malaysia

Portal SEBENARNYA.MY, sebuah pusat sehenti yang dibangunkan bagi mengekang penularan berita-berita palsu dalam talian, membolehkan masyarakat menyemak kesahihan maklumat yang diterima.

Portal dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan itu dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini.

Menurut kenyataan SKMM, portal itu dibangunkan berikutan penularan berita palsu yang makin meruncing pada ketika ini dengan peningkatan jumlah pengguna internet khususnya media sosial.

Penularan berita palsu itu dilihat memberi kesan yang serius ke atas keharmonian dan keselamatan rakyat. Katanya, sehingga kini, SKMM telah mengenalpasti hampir 1,000 berita palsu berkaitan kepentingan awam yang tular di negara ini.

Biarpun baru tujuh bulan dilancarkan selepas diperkenalkan pada Mei lalu, portal ‘sebenarnya.my’ kelolaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjadi antara portal yang popular apabila jumlah layarannya kini mencecah lebih 15 juta.

Ketua Pegawai Operasi SKMM Datuk Dr Mazlan Ismail berkata portal yang diwujudkan bertujuan menyediakan satu pusat sehenti kepada orang ramai untuk menyemak serta mendapatkan pengesahan berikutan penularan berita palsu yang semakin berleluasa ketika ini itu mendapat sambutan yang sangat mengalakkan.

“Menggunakan cogan kata ‘Tidak Pasti, Jangan Kongsi’, portal itu menerima jumlah layaran dua juta setiap bulan dan sebagai portal yang baharu ia sesuatu yang membanggakan dan menunjukkan sambutan mengalakkan kerana masyarakat menerima baik serta mahukan berita yang sahih.

“SKMM bangunkan portal itu kerana kebangkitan teknologi, kepantasan mesej, video dan gambar yang ditular adalah hakikat dan cabaran yang harus ditempuhi dalam menangani budaya tular palsu bagi mengelakkan ia menjadi lebih parah dalam masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sebenarnya.My di Sekolah Kebangsaan Guar Perahu, di Bukit Mertajam Sabtu.

Pada karnival itu pelbagai aktiviti diadakan antaranya Fun Run ‘Berita Palsu Musuh Negara’, sukan rakyat, pameran SKMM, pemeriksaan kesihatan dan majlis bicara perdana.

Mazlan berkata menggunakan sumber dan kepakaran yang ada, usaha yang dijalankan oleh SKMM menerusi platform sebenarnya.my adalah untuk menjelaskan kesahihan maklumat yang tular kepada orang ramai menerusi pengesahan yang dibuat oleh 21 kementerian termasuk agensi berkaitan.

Katanya portal itu juga membuktikan kerajaan amat memandang serius terhadap penularan berita palsu yang bukan saja menjadi masalah baharu kepada Malaysia malah juga di seluruh dunia.

Beliau berkata ia turut berperanan menangkis berita palsu yang tersebar dengan menyediakan maklumat sahih sebagai rujukan masyarakat supaya mereka tidak terus percaya sepenuhnya terhadap sebarang khabar angin atau maklumat yang diterima.

“Dalam masyarakat kita, ramai mengguna pakai amalan perkongsian bermakna menyebabkan mereka cenderung berkongsi apa saja maklumat yang diterima dengan orang lain tanpa menapis sama ada ia sahih atau tidak. Ini boleh memberi kesan negatif jika perkara yang dikongsi itu tidak betul.

“Banyak contoh sebelum ini yang tular hingga memberi kesan besar terhadap individu, organisasi mahupun kerajaan disebabkan perkara yang dikongsi itu tidak benar. Di sinilah peranan portal sebenarnya.my iaitu untuk menentukan kesahihan berita yang tular diterima melalui media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog serta laman sesawang,” katanya.

Mazlan berkata skop berita yang disiarkan dalam portal sebenarnya.my terdiri daripada tiga kategori iaitu berita palsu yang mempunyai impak kepada negara atau masyarakat yang ia boleh disahkan oleh saluran rasmi, berita penjelasan oleh kementerian dan agensi berhubung perkara yang tular serta berita waspada mengenai penipuan membabitkan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Katanya setiap perkara yang tular di media sosial akan dirujuk terus kepada kementerian dan agensi berkaitan untuk memberi penjelasan dalam tempoh 24 jam bagi memastikan isu berkenaan dijawab.

“Ini adalah tempoh yang diberikan untuk memberi maklum balas, namun sekiranya terdapat isu kompleks yang memerlukan kajian dan siasatan terperinci, mereka harus mengeluarkan kenyataan mengatakan siasatan lanjut diperlukan bagi mengesahkannya.

“Kami boleh menganggap respons positif yang diterima daripada masyarakat terhadap portal ini sebagai satu kejayaan namun kejayaan sebenar ialah apabila tidak ada lagi berita palsu yang tersebar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata karnival berkenaan merupakan platform terbaik SKMM bagi mendekati komuniti dengan tujuan mendidik masyarakat tentang kepentingan memilih berita dan mengesahkan kandungan maklumat sebelum berkongsi.

Katanya SKMM menyasarkan untuk menganjurkan karnival itu di 50 parlimen di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan akan datang kerana ia menerima sambutan positif daripada masyarakat serta peluang untuk pihaknya berkongsi maklumat dengan mereka.

“Selain menerusi portal, SKMM akan memperluaskan “sebenarnya.my” menerusi laman sosial seperti Facebook dan Twitter dalam masa terdekat ini supaya orang ramai lebih mudah mendapatkan maklumat menerusinya,” katanya.

 

Register.
Enjoy 10% Discount.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

More Articles.

GET Notified.

Join Our
Notification
squad