Persatuan Pelajar Kejururawatan (Nusa) Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam menjayakan program komuniti di Kampung Bukit Kuching Tengah, di sini.
Program ilmiah bertemakan Komuniti Sihat Negara Sejahtera ini berjaya dianjurkan penuntut Diploma Kejururawatan Tahun Tiga dengan kerjasama Klinik Kesihatan Bukit Cherakah.
Pengarah program, Syafeelzah Nur Aqilah Badrulsham berkata, program kemasyarakatan ini sebagai pendedahan awal penuntut diploma semester akhir untuk memberi kesedaran terhadap penyakit berjangkit kepada masyarakat setempat.
Selain itu katanya, program ini dianjurkan untuk membangunkan, menyediakan dan menilai program pendidikan kesihatan masyarakat yang bersesuaian bagi memastikan masyarakat setempat memahami konsep asas kesihatan.
“Program yang disertai 50 penuntut bersama 15 sukarelawan terdiri penuntut kejururawatan sendiri, sekali gus memberi impak positif dari segi kefahaman terhadap penyakit berjangkit dalam kalangan masyarakat setempat.
The One You've Been Waiting For : UiTM Long Sleeved Basic Tee Hoodie Series
For purchase visit : https://t.co/U7eS7fU4tu pic.twitter.com/D8cgnjQNoJ— Made in UiTM (@madeinuitm) December 9, 2017
“Hal ini dapat dibuktikan melalui aktiviti roda ilmu yang memerlukan pengunjung melawat semua poster yang disediakan dan menjawab soalan yang diajukan dengan tepat,” katanya.
Selain itu, Pegawai Kesihatan Klinik Kesihatan Jeram, Dr Nadzirah Mohd Nadzir turut menyampaikan ceramah kesihatan kepada penduduk di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching.
Sementara itu, Penasihat Nusa, Norimah Said berkata, aktiviti kemasyarakatan itu mampu menggilap bakat kepimpinan dalam kalangan penuntut supaya dapat mengaplikasikan konsep yang dipelajari pada semester ini.
“Program seperti ini juga dapat meningkatkan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar untuk berinteraksi dengan semua lapisan masyarakat dan saya bangga program berjalan dengan lancar.
“Saya juga berharap supaya aktiviti seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang kerana dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat,” katanya. – Sinar harian