UiTM Catat Lonjakan Kedudukan Sebagai Universiti ke-158 Terbaik Asia

WHAT ARE YOU MADE OF?

Tees, Sweats, Totes

Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatatkan lonjakan kedudukan sebanyak 23 tangga menjadikannya sebagai universiti ke-158 terbaik Asia melalui laporan Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings 2018.

Laporan berkenaan juga menyenaraikan UiTM antara 1.3 peratus universiti teratas di Asia.

Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, semenjak tahun 2013/14, UiTM sangat konsisten dalam menunjukkan peningkatan kedudukan yang secara keseluruhannya melonjak sebanyak 43 tempat.

Menurutnya, mengambil kira terdapat lebih kurang 11,900 universiti di seluruh Asia, pencapaian ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan buat UiTM dan negara.

“Jika dibandingkan dengan laporan tahun 2017, UiTM telah menunjukkan peningkatan markah dalam tujuh daripada sepuluh penunjuk utama yang diambil kira oleh penarafan berkenaan.

“Antara penunjuk utama yang banyak menunjukkan peningkatan adalah reputasi majikan (employer reputation) iaitu sebanyak 55.7 markah pada tahun ini berbanding 44.8 markah bagi tahun 2017 yang sekali gus meletakkan UiTM pada kedudukan ke-82 di Asia berbanding ke-114 bagi tahun 2017,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas Hassan, keputusan ini menunjukkan tahap kebolehpasaran graduan UiTM yang tinggi dan kepercayaan oleh pihak industri bahawa graduan yang dihasilkan oleh universiti ini adalah berkualiti tinggi dengan memenuhi keperluan skil dan pengetahuan masa kini.

“Pencapaian ini juga adalah selaras dengan laporan Penarafan Kebolehpasaran Graduan Dunia QS 2018 (QS World Graduate Employability Rankings 2018) yang dikeluarkan baru-baru ini dengan menyenaraikan UiTM adalah antara 500 Institut Pengajian Tinggi Dunia (kedudukan 301-500) dan antara tiga institusi terbaik di Malaysia.

“Pelbagai langkah strategik telah dikenal pasti dan dijalankan bagi memastikan peningkatan lebih baik bagi laporan tahun 2019. Antara strategi yang akan dilaksanakan adalah dengan menjalankan kempen keterlihatan UiTM supaya lebih menyerlah dalam kalangan para akademik dunia,” katanya.

Beliau menambah, UiTM juga akan melebar luas lagi hubungan strategik dengan pihak industri bagi mendapatkan maklum balas dan input secara langsung terhadap pembangunan akademik UiTM.

“Ini akan membantu memastikan kurikulum yang dihasilkan adalah lebih dinamik, agar dapat melahirkan profesional bumiputera yang mengisi pelbagai bidang kritikal di peringkat nasional dan seterusnya mempertingkatkan penyertaan bumiputera dalam arena ekonomi Malaysia.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi tahniah kepada seluruh warga UiTM atas sumbangan yang diberikan ke arah mencapai kejayaan dalam penarafan ini. Peningkatan yang membanggakan ini adalah gambaran sebenar kualiti yang terbaik di UiTM.

“UiTM akan terus komited untuk bergerak lebih maju ke hadapan bagi memacu institusi untuk sentiasa menjadi antara universiti terbaik negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

More Articles.

GET Notified.

Join Our
Notification
squad