Dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2020 dan seterusnya, Universiti Teknologi -MARA (UiTM) baru-baru ini telah mengumumkan satu inisiatif strategik jangka panjang bersama sebuah syarikat peneraju teknologi global, Adobe.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang memperlengkapkan Adobe Creative Cloud kepada seluruh kampus bagi membolehkan para mahasiswanya bersiap sedia dalam menghadapi Ekonomi Pengetahuan (Knowledge Economy).

Pada majlis pelancaran baru-baru ini di Kuala Lumpur, Prof. Emeritus Dato ‘Dr Hassan Said, Naib Canselor UiTM, berkata kerjaya kreatif semakin meningkat di Malaysia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjana RM33 bilion daripada industri creative content ke arah Pendapatan Negara Kasar (GNI) menjelang 2020.
“Oleh kerana kreativiti dan kebolehan reka cipta menjadi satu keperluan utama dalam Ekonomi Pengetahuan masa kini, UiTM sedar akan kepentingan untuk mendidik kemahiran reka cipta dan gaya pemikiran yang menjurus kepada rekaan ” kata Prof Dr Hassan.
Usaha ini akan memastikan, UiTM akan melahirkan generasi mahasiswa yang kreatif dan pereka-pereka yang mahir dan cekap dalam mengendalikan sistem teknologi yang terbaik di dalam industri.
Strategi IT

Prof Dr Hassan berkata, UiTM telah memutuskan satu inisiatif strategik jangka panjang dengan bekerjasama dengan syarikat teknologi Adobe. Dalam masa 3 tahun, UiTM akan menggunakan Adobe Creative Cloud di kampus induk di Shah Alam, dan di semua 12 kampus negeri dan 21 kampus satelit di seluruh Malaysia, katanya.
Prof Dr Hassan berkata keputusan untuk menaik taraf kepada Adobe Creative Cloud sebahagian besarnya didorong bagi memastikan kira-kira 165,000 mahasiswa di semua fakulti, dari Seni Reka, Komunikasi dan Pengajian Media serta Komputer dan IT diperkasa dan mempunyai akses kepada alat dan kemahiran terkini industri. 18.188 kakitangan UiTM di semua fakulti juga akan mempunyai akses kepada program ini.
“Mahasiswa hari ini memainkan peranan yang amat penting dalam memacu masa depan di Malaysia dan dunia global, menyedari akan hal ini, adalah menjadi tanggungjawab UiTM dalam menyediakan suasana persekitaran pembelajaran digital yang berkesan, bagi membina komuniti akademik yang mapan dan kreatif, oleh kerana itu UiTM telah bekerjasama dengan Adobe dalam usaha untuk menyediakan dan membentuk mahasiswa yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi celik teknologi dan mempunyai semangat keusahawanan.
Wayne Weisse, Pengarah Pendidikan untuk Adobe Asia Pasifik, berkata pemasangan Adobe Creative Cloud telah pun bermula di kampus utama UiTM Shah Alam, dan dijangka akan siap pada bulan April 2017 bagi semua kampus UiTM di seluruh negara. Adobe Creative Cloud akan dipasang pada semua peranti di kampus, dengan kakitangan UiTM dapat mendapatkan akses luar kampus juga. Pelajar boleh mengharapkan untuk mendapatkan akses luar kampus pada masa akan datang.
“Perkembangan inovasi teknologi pada hari ini berlaku dengan amat pesat berbanding pada masa lalu, menyediakan pelajar dengan keyakinan dan kemahiran untuk menyertai ekonomi pengetahuan dan berjaya terus menjadi tumpuan Adobe’ kata Weisse
Weisse menambah keputusan UiTM untuk bersedia dalam era digital akan secara tidak lansung melahirkan graduan bertaraf dunia yang akan menjana pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2020 dan seterusnya adalah sejajar dengan Agenda Transformasi Negara (TN50).
Sumber :