SHAH ALAM – Kumpulan koir Universiti Teknologi Mara (UiTM), UiTM Chamber Choir (UCC), dinobatkan selaku juara utama edisi kedua Pesta dan Pertandingan Koir Antarabangsa Kalamata 2017 yang berakhir Ahad lalu di Kalamata, Greece.
Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata dalam pertandingan tersebut, UCC telah memenangi dua anugerah emas iaitu dalam kategori koir campuran dan kategori pasukan koral wanita, sekali gus merangkul kejuaraan pertandingan tersebut menurut laporan Bernama.
Ini merupakan kejayaan ketiga UCC di pentas antarabangsa selepas muncul juara pada edisi keempat Pesta Koir Antarabangsa Bali iaitu pesta koir terbesar di Asia pada 2015 diikuti tiga anugerah emas dan satu anugerah istimewa pada Pesta Koir Antarabangsa, Praga Cantat di Prague, Republik Czech, tahun lepas.
“Kejayaan terbaru ini bukan hanya milik UiTM sahaja malah ia adalah untuk Malaysia,” kata Hassan dalam kenyataan di sini hari ini.
Di Kalamata, UCC bersaing dengan pasukan koir dari 14 negara. Pesta yang bermula 11 Okt lepas itu turut mengadakan pelbagai aktiviti, pertandingan, konsert serta bengkel kesenian.
UCC telah ditubuhkan pada 2015 oleh Pensyarah Kanan Fakulti Muzik UiTM, Dr Masashi Kishimoto dari Jepun dan terdiri daripada pelajar program diploma dan sarjana muda fakulti tersebut.
Semasa lima hari di Kalamata, UCC turut memenuhi jemputan untuk mengadakan bengkel bertajuk ‘Pendidikan Muzik dan Muzik Koir di Malaysia’ serta mengadakan persembahan di University of Athens.
Selepas Kalamata, UCC telah membuat persembahan di dewan konsert tersohor dunia, ‘The Wiener Musikverein’ di Vienna, Rabu lepas, yang dihoskan oleh Duta Malaysia ke Austria, Datuk Adnan Othman.
Tahun lepas, fakulti muzik UiTM dan UCC telah menyertai Konsert Pertukaran Budaya di Vienna, anjuran Kedutaan Malaysia di Vienna dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Program tersebut bertujuan memperkenalkan budaya negara serta muzik koir Malaysia kepada masyarakat tempatan di Vienna.