
PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) — Lapan universiti tempatan dan lima institusi politeknik, masing-masing telah diberikan status Universiti Premier Digital Tech dan Politeknik Preferred Digital Tech.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata institusi-institusi pendidikan ini diiktiraf kelayakan dan komitmen mereka menawarkan kursus teknologi digital yang terkemuka, dan memastikan graduan berkemahiran tinggi terus mengisi permintaan pekerjaan digital tempatan dan global.
Lapan universiti tersebut ialah Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Multimedia, Kolej Universiti Tuanku Abdul Rahman, Universiti Sunway, Taylor’s University dan Asia Pacific University.
Untuk status Politeknik Preferred Digital Tech, lima politeknik yang menerima status itu ialah Politeknik Balik Pulau di Pulau Pinang, Politeknik Mersing di Johor, Politeknik Sultan Idris Shah di Selangor, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu dan Politeknik Ungku Omar di Perak.
“Kita perlu memastikan bahawa anak kita yang memasuki pengajian tinggi menerima pendidikan berkualiti, oleh itu adalah penting untuk kita menaik taraf universiti dan politeknik tempatan. Di samping itu, oleh kerana Malaysia memasuki Revolusi Perindustrian Keempat, kita mahu meneraju sebagai pengeluar ahli profesional Teknologi Maklumat berteknologi tinggi,” kata beliau pada majlis pengumuman Institusi Teknologi Digital Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Prof Datuk Mohd Ismail Abd Aziz.
Idris juga memberi jaminan bahawa institusi itu dapat terus memupuk bakat-bakat teknologi digital bertaraf dunia dalam bidang pendidikan dan pertumbuhan modal insan untuk menarik syarikat multi-natsional beroperasi di negara ini.
Sementara itu, Yasmin berkata inisiatif ini adalah untuk menggalakkan pertumbuhan institusi teknologi digital berpotensi tinggi dan menjadikannya bertaraf dunia untuk memastikan Malaysia mengekalkan bakat terbaik dan dapat menyediakan satu sistem yang lengkap, mampan dan sistem sokongan kepada pelajar untuk mengalami kokurikulum berstruktur terbaik dan ekosistem berstruktur yang dilengkapkan dengan fakulti dan pemain-pemain industri.
“Kita yakin bahawa institusi-institusi ini akan menghasilkan lebih ramai bakat berkualiti tinggi untuk jawatan dalam ekonomi digital. Jangkaan sekarang adalah sangat tinggi untuk sistem pendidikan kita memacu ke arah cabaran pembangunan modal insan,” kata beliau.
Universiti Premier Digital Tech dan Politeknik Preffered Digital Tech menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan mengenai pembangunan kerjaya, program dan pembelajaran, peluang-peluang latihan dan bantuan pekerjaan.
— BERNAMA