Dua universiti awam (UA) dan empat agensi dipilih untuk menjadi kumpulan pertama dan perintis bagi pelaksanaan program ‘GAP Year 2017’ atau satu tahun cuti daripada pengajian bagi pelajar universiti.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan mula menawarkan program itu kepada pelajar tahun kedua dan ketiganya bermula September ini.
Katanya, pelajar akan diberi peluang bekerja dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sepanjang tempoh berkenaan.
“Program Gap Year yang sedang kita laksanakan sekarang adalah berkonsepkan perkhidmatan pada negara dengan kerjasama agensi keselamatan.
“Dalam tempoh satu tahun cuti itu, pelajar akan ditetapkan sebagai kadet polis ataupun askar, atau bekerjasama dengan APM.
“Ini adalah program sukarelawan yang boleh memastikan pelajar kita memperkukuhkan lagi perpaduan, mengeratkan kasih sayang dan semangat patriotisme kepada negara serta sukarelawan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Pendidikan Malaysia Ke-21 di sini, hari ini.
Program Gap Year itu akan memberi tempoh ‘berehat’ selama setahun kepada pelajar yang berminat menyertai empat agensi keselamatan berkenaan yang akan menawarkan peluang pekerjaan khas untuk mereka.
Pelajar yang terpilih kemudian akan menjalani tempoh latihan selama sebulan, sebelum menjalankan tugas sepenuhnya untuk tempoh setahun, sebelum kembali menyambung pengajian di universiti masing-masing.
Idris berkata, kementerian akan memberi maklumat lanjut mengenai pelaksanaan program Gap Year 2017 dalam masa terdekat.
BACA : Garis Panduan Permohonan, Syarat Kelayakan, Prosuder Permohonan Mengikuti Program Gap Year
Tiada paksaan pelajar ambil “Gap Year”
Program Gap Year atau setahun cuti daripada pengajian adalah program pilihan pelajar dan tiada paksaan untuk mereka mengambilnya, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata, program itu adalah satu kelonggaran yang diberi kepada pelajar selama setahun yang mana dalam tempoh itu pelajar tidak perlu masuk kuliah, belajar secara formal atau boleh dikatakan sebagai ‘study break’ dan mampu menangguhkan pengajian mereka.
“Perkara ini perkara biasa di negara Barat yang mana pelajar sebahagian besar terbabit dalam kesukarelawanan, bantu orang susah, orang kelainan upaya, orang asli, warga emas dan ada juga terbabit diri dalam alam sekitar.
“Ada juga yang menyertai badan bukan kerajaan, ada yang memerlukan pendapatan lebih, mereka bekerja selama setahun untuk menampung pengajian mereka dan ada juga bekerja untuk dapat pengalaman bekerja.
“Ada yang mengembara dan tak kurang juga mengambil setahun ini untuk meneroka potensi diri. Ini sebenarnya yang dipanggil Gap Year. Ia adalah pilihan pelajar dan tiada paksaan untuk mereka sertainya,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, pagi ini.
Mengulas lanjut, Idris berkata, program itu juga selaras dengan lonjakan satu Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia untuk melahirkan graduan holistik bercirikan keusahawanan dan seimbang.
Kerana katanya, menerusi Gap Year, graduan boleh menimba pengalaman, memahami diri mereka sendiri, masyarakat dan dunia kerja sekali gus menjadikan graduan lebih versatil.
“Oleh kerana Gap Year adalah satu program berteraskan kesukarelawanan dan juga pilihan pelajar, maka tiada isu mengenai beban pelajar kerana ia adalah satu pilihan pelajar itu sendiri,” katanya.
Sumber – Berita Harian




