Dengan segulung Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia dan dinobatkan Pelajar Terbaik Universiti Teknologi Petronas (UTP) dengan gred kumulatif terkumpul (CGPA) 3.98, Irene Lock Sow Mei memang berhak berasa teruja kerana pengorbanan serta perit jerih selama ini nyata berbaloi.
Turut merangkul empat anugerah tertinggi UTP, perjalanan Sow Mei, 25, di menara gading itu bukan mudah kerana terpaksa mengharungi onak duri kehidupan terutama apabila disahkan penghidap leukemia, enam tahun lalu.
“Sebaik menamatkan pengajian asas selama dua tahun di UTP, saya disahkan menghidap leukemia sehingga terpaksa berhenti belajar separuh jalan untuk menjalani kimoterapi dan beberapa rawatan khusus di Hospital Ampang.
“Kehidupan saya berubah secara mendadak dan bertukar suram apabila terpaksa tinggal di hospital kerana penyakit biasa seperti selesema dan batuk pun boleh membunuh penghidap leukemia,” katanya ditemui di sini hari ini.
Selain keguguran rambut dan kuku akibat kimoterapi, mental Sow Mei ibarat dihiris apabila silih berganti rakannya yang juga penghidap leukemia menemui ajal ketika ditempatkan bersama di hospital.
Hampir setiap malam sebelum melelapkan mata, anak bongsu daripada tiga beradik ini sering dihantui persoalan: “Adakah saya akan terus hidup esok pagi?”
Jauh di benaknya, Sow Mei bimbang dia tidak berpeluang menatap wajah ibunya, Ng Swee Teng, 57, yang sentiasa menemaninya di hospital.
“Tanpa sokongan ibu, tak mungkin saya dapat melawan sakit ini, apatah lagi meneruskan 20 siri rawatan kimoterapi yang setiap satunya ‘membunuh’ semua sel dalam badan,” katanya.
Hasil dorongan keluarga, khususnya Serene Lock Sow Mun, iaitu kakak kembar Sow Mei, dia berjaya menghabiskan pembelajaran dalam bidang Kejuruteraan Kimia di UTP, selepas doktor mengesahkannya beransur pulih daripada leukemia pada 2013.
Kecekalan Sow Mei terserlah apabila dia enggan dilihat sebagai bekas penghidap leukemia yang memerlukan simpati rakan di fakulti, sebaliknya berupaya bersaing seperti insan biasa.
Kegigihan menamatkan pembelajaran walaupun terpaksa meneruskan pengambilan ubat kimoterapi dalam bentuk pil akhirnya membuahkan hasil apabila Sow Mei dinobat penerima Anugerah Emas Canselor UTP.
Tiga lagi anugerah yang turut dirangkulnya pada Majlis Konvokesyen UTP adalah Anugerah Emas Naib Canselor, Anugerah Emas Projek Akhir Tahun dan Anugerah Perak Rekaan Pelan.
“Saya nak menyertai organisasi berkaitan kanser supaya tiada yang senasib dengan saya mengalah di pertengahan jalan.
“Leukemia mengajar saya mensyukuri nikmat kehidupan dan maksud mempunyai sebuah keluarga yang tidak pernah membiarkan saya keseorangan ketika bertarung nyawa melawan sakit,” katanya yang kini bertugas sebagai Jurutera Pemprosesan dalam bahagian teknologi air di Petronas.
Sumber – primanews