KUALA LUMPUR: Hanya enam peratus rakyat Malaysia mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung kehidupan mereka selama enam bulan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, berkata tempoh simpanan enam bulan adalah penanda aras antarabangsa dan rakyat akan berdepan kesukaran jika tidak mempunyai simpanan selama itu.
“Katakan sebagai contoh ada seseorang yang terpaksa berhenti kerja atas apa jua sebab, hanya enam peratus rakyat kita mempunyai simpanan untuk enam bulan, ” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Anuar Manaf (BN-Sekijang) yang ingin mengetahui bentuk perancangan dan program yang wujud dari penubuhan Jaringan Pendidikan Kewangan (FE Network) dan perkembangan semasa penubuhannya.
Katanya, tujuan jaringan itu ditubuhkan untuk memberi pendedahan kepada rakyat hal-hal mengenai simpanan dan pelaburan.
Othman berkata, kerajaan sedar pihaknya akan berdepan dengan dalam usaha untuk memperkenalkan FE Network, ia akan mengambil jalan yang mencabar, tetapi dengan gabungan institusi swasta dan BNM, ia akan dapat meningkatkan tahap kecelikan kewangan rakyat.
“Kita sedar antara kekangan yang sering dihadapi oleh rakyat ialah pertama dari sudut literasi atau pengetahuan pengurusan kewangan sendiri.
“Kemudian soal tingkah laku di mana sering kali kita lihat orang jarang memikirkan soal esok atau masa depan. Kebiasaannya apabila mempunyai banyak duit, mereka akan cepat-cepat mahu berbelanja dan tidak fikir untuk simpan.
“Ketiga mengenai sikap, bagaimana mereka melihat wang dan menjurus kepada keperluan dan kemahuan apabila dapat duit kita jadi rabun mata dan terus berbelanja tanpa memikirkan hal-hal di masa depan,” katanya.
FE Network ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada November tahun lalu bertujuan menyelaras dan memacu strategi pendidikan kewangan pada peringkat kebangsaan di Malaysia.
FE Network berfungsi sebagai platform antara agensi untuk meningkatkan impak inisiatif pendidikan kewangan dan mengenal pasti peluang baharu bagi meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia melalui inisiatif yang lebih terselaras, kerjasama yang lebih erat dan lebih tumpuan pada penilaian impak.