Nota Editor: Kisah ini dikongsikan oleh Dr. W. A. Amir Zal mengenai perjalanan hidup beliau serta rahsia kejayaan beliau sepanjang pengajian. Semoga dengan perkongsian beliau, dapat inspirasi kepada anda semua.
*************
Sebaik sahaja memperoleh Ijazah Master, saya terus tekad untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD. Alhamdulillah saya telah mendapat tempat di sebuah universiti di New Zealand. Namun, itu bukan takdir saya, saya tidak dapat meneruskan pengajian kerana saya tidak mendapat sebarang penajaan, sama ada SLAB atau SLAI atau tajaan lain. Sungguhpun begitu, ia tidak mematahkan semangat saya. Setelah meminta ‘pandangan’ Rabbul Jalil dan rakan-rakan lain, akhirnya saya membuat keputusan untuk menyambung pengajian PhD di UPM juga. Pertimbangannya ringkas, saya sudah biasa dengan sistem dan prosedur pengajian siswazah UPM; serta mengenali pensyarah atau penyelia yang saya jangkakan dapat membimbing saya dalam perjalanan akademik. Tanpa berfikr panjang, saya terus mendaftar dan memulakan pengajian peringkat Doktor Falsafah pada 17 Disember 2009.
Namun saya tetap berasa bimbang dengan sumber kewangan atau penajaan pengajian saya, kerana saya tidak mempunyai penaja mahupun sumber pendapatan yang tetap. Sungguh! ALLAHitu Maha Kaya, ALLAH membantu saya dengan cara yang berbeza. Dengan memiliki Ijazah Master, saya memperoleh kerja sebagai pensyarah sambilan di beberapa buah universiti, antaranya UPM, UKM, HUKM dan UPSI. Antara subjek yang saya mengajar ialah kaedah penyelidikan kuantitatif, kualitatif, sosiologi antropologi dan hubungan etnik. Juga, bantuan lain dari ALLAH SWT yang tidak disangka, saya memperoleh banyak geran penyelidikan konsultasi. Ia memberi pendapatan yang selesa kepada saya. Tanpa dijangka, saya memperoleh bantuan Bajet Mini untuk pelajar siswazah yang mana ia membantu membayar yuran pengajian saya. Alhamdulillah, saya tidak lagi merasa bimbang dengan perihal kewangan. Langsung tidak! Tidak berapa lama kemudian, saya ditawarkan pula untuk memperoleh skim felow siswazah (GRF) di UPM. Enam bulan kemudian, ALLAH memudahkan saya lagi, saya telah memperoleh geran penyelidikan khas untuk pelajar siswazah (inisiatif 6) dari Pusat Penyelidikan Universiti UPM. Geran penyelidikan itu sangat memadai untuk saya menyiapkan kajian PhD. Syukur Alhamdulillah. Satu tahun lima bulan kemudian, saya telah mendapat penajaan pengajian melalui Skim Latihan Akademik IPT (SLAI) dari Universiti Malaysia Terengganu yang menanggung yuran pengajian, elaun sara hidup diri dan keluarga serta beberapa kemudahan yang lain.
Made from real passion! Be proud of what you're made of. Get yours now at https://t.co/W2FAwFep4V or visit https://t.co/VXeEKdqq2e pic.twitter.com/mCwsUlgSWz
— Made in UiTM (@madeinuitm) October 8, 2017
Jika diperhatikan kronologi itu, perjalanan pengajian PhD saya sangat mudah. Ya, saya akuinya. Malah saya boleh tegaskan, langsung saya tidak tertekan sepanjang menyiapkan pengajian PhD saya. Prinsipnya mudah:
INI LALUAN SAYA
Mungkin ramai yang tertanya-tanya, kenapa perjalanan saya nampak begitu mudah? Saya tidak akan lokek untuk berkongsi asbabnya. Antara sebabnya ialah:
“Tatkala kamu berazam, maka bertawakallah kepada ALLAH”. [Ali Imran:159]
1. Niat yang betul:
Sangat benar sabda Nabi Muhammad SAW:
“Setiap amal bergantung pada niatnya, dan setiap orang memperoleh sesuai dengan niatnya. Sesiapa yang hijrahnya kepada ALLAH dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada ALLAH dan Rasul-NYA. Sesiapa yang hijrahnya itu kerana kesenangan dunia atau kerana seorang wanita yang akan dikahwininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ditujuinya” [HR Bukhari]
Saya meneliti kembali niat saya sebelum saya meneruskan langkah dalam dunia akademia amnya dan pengajian PhD khususnya. Kenapa saya mahu berada dalam dunia itu? Kerana pangkatkah (PhD= Dr)? Kerana gajikah (PhD= DS51)? Kerana faktor luang masakah? Kenapa pula saya mahu sambung pengajian saya? Kerana tidak ada kerjakah? Kerana ikut kawankah? Kerana ikut familikah? (nota: seorang abang saya Pensyarah Kanan di USIM – Disiplin undang-undang syariah – dan seorang kakak saya pensyarah Kanan di UiTM – pdisiplin farmaseutikal bioteknologi).
Jawapannya… Bukan itu sebabnya!
Saya memilih untuk serius dalam akademia… Saya menyambung belajar kerana niat dan matlamat yang jelas. Apakah ia?Saya mahu meneroka ilmu ALLAH Yang Maha Luas. Saya mahu menghampiri diri padaNYa melalui ilmu (nota:Sesungguhnya orang yang takutkan ALLAH adalah dari kalangan hamba-hambaNya yang berilmu pengetahuan – Faatir: 29). Saya mahu ikut jejak langkah para ilmuwan yang terdahulu, Al-Ghazali, Ibn Khaldun, Ibn Taimiyah, Abu Hasan al-Ash’ari, Al Faruqi, Al-Attas, Nasr dan tokoh ilmuwan Islam lain yang tidak terduga dalamnya ilmu mereka.
Saya juga mahu ‘bersilat’ dalam ghazwatul fikr terutamanya dengan para orientalis serta anak didik mereka melalui falsafah, ideologi dan teori tertentu. Inilah niat dan matlamat saya. Itulah matlamat saya ketika di bangku sekolah menengah lagi. Saya percaya rakan-rakan akrab dari SMU (A) Maahad Muhammadi (L) masih ingat dengan penegasan saya untuk memperoleh PhD suatu ketika dahulu. Alhamdulillah, saya bersyukur, dengan niat ini, saya yakin, ALLAH memberkati saya melalui memperoleh pelbagai bantuan tanpa diduga oleh ALLAH dalam menyelesaikan pengajian PhD saya.
2. Hubungan dengan ALLAH
Saya juga sedari, saya dapat ‘menyempurnakan’ pengajian PhD saya kurang dari dua tahun adalah dengan izin dan bantuan ALLAH. Justeru, langsung tidak timbul dalam hati saya, berasa megah, tinggi diri, riyak mahupun takabbur. Bagi saya, apa gunanya bermegah dengan pakaian kebesaran ‘Tuan’ sedangkan hakikatnya kita adalah hambaNYA. Antara hubungan dengan ALLAH yang saya bersunguh pelihara ialah, mencari kehebatannya dalam setiap penemuan kajian dan pembacaan saya. Saya juga menjaga ibadah khusus dan am. Antaranya ialah menunaikan solat pada waktunya, solat berjemaah (di surau, dengan rakan-rakan atau keluarga), menunaikan solat sunat seperti solat dhuha dan tahajud. Saya perasan, ia adalah paling tepat dalam menjaga dan mempereratkan hubungan dengan Sang Pencipta.
3. Makbul doa ibu
Doa ibu, percayalah, doa ibu sangat makbul. Sedikit cerita tentang ibu saya, sungguhpun ibu saya sudah berusia 66 tahun, tapi saya sangat kagum padanya. Ibadahnya konsisten dan bersungguh-sungguh. Sekenal saya, setiap malam ibu saya bangun malam untuk bertahajud, setiap hari Al-Quran menjadi temannya, hampir setiap saat tasbih di jarinya. Bagi saya, hebat hubungan ibu saya dengan ALLAH SWT. Oleh itu, saya yakin doa ibu saya sangat makbul. Ibu saya amat sering mendoakan kebaikan anak-anaknya di dunia dan akhirat. Khususnya saya, saya kerap meminta beliau mendoakan saya agar dipermudahkan perjalanan pengajian saya.
Saya masih ingat ketika saya khabarkan pada ibu saya bahawa saya merancang untuk sambung pengajian PhD ke New Zealand, kata beliau dengan spontan, “Ma tak mahu Amir pergi luar negara”. Nah! Itulah antara contoh makbulnya doa ibu… Syukur saya pada Ilahi kerana saya masih mampu menjaga dengan baik ibu saya, juga syukur ibu saya tidak pernah lupakan saya (serta anak-anaknya yang lain) dalam setiap patah doanya.
Sungguhpun ibu saya berada di Kelantan, saya kerap menelefon beliau. Biar sesibuk mana sekalipun. Janganlah berkira dengan ibu tentang persoalan masa, komitmen dan wang. Prinsip saya mudah, kita sibukkan dengan perkara yang kita anggap penting. Jika kita anggap ibu kita penting, maka kita akan sibukkan dengan dirinya. Dan sebaliknya.
4. Isteri yang memahami
Saya mempunyai isteri yang baik dan amat memahami. Isteri saya suri rumah sepenuh masa, dengan itu banyak masanya diberikan untuk saya. Saya sentiasa rasa terhibur dengannya. Saya mengahwininya pada tahun 2007 (semester pertama pengajian Master), namun hanya dikurniakan zuriat pertama ktiga tahun kemudian. Ada hikmahnya, dengan elaun bulanan sebanyak RM1,300 , dan tinggal di sekitar Seri Kembangan, mungkin akan rasa perit. Itu hikmahnya dari ALLAH. Isteri saya sangat prihatin dengan keperluan saya, beliau juga sanggup bersengkang mata menemani saya menelaah, membaca buku dan menulis meskipun pada jam 3 atau 4 pagi. Teguran saya supaya beliau tidur awal tidak diendahkan, sebaliknya beliau menemani saya dengan turut membaca buku atau bahan bacaan lain. Beliau amat memahami saya dan tidak banyak ‘songeh’ dengan keadaan hidup yang serba sederhana. Saya bersyukur.
Made from real passion! Be proud of what you're made of. Get yours now at https://t.co/W2FAwFep4V or visit https://t.co/VXeEKdqq2e pic.twitter.com/tjgHDV7fVU
— Made in UiTM (@madeinuitm) October 8, 2017
5. Memilih penyelia
Saya sering kali menasihati rakan-rakan yang ingin melanjutkan pengajian mereka agar memilih penyelia dengan teliti. Saya dapati ramai rakan-rakan saya ‘tersangkut’ dek masalah yang ditimbulkan oleh penyelia mereka seperti tidak membaca proposal atau tesis, sukar untuk ditemui atau berbincang, mempunyai agenda tertentu, memperalatkan pelajar dan saranan untuk kajian atau tesis yang tidak konsisten. Saya sangat bersyukur kerana telah memilih penyelia PhD yang tepat. Saya telah memilih untuk berguru dengan YBhg Dr Ma’Rof Redzuan, Pensyarah Kanan di Jabatan Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia. Selain mempunyai ilmu yang mendalam, beliau juga memiliki pengalaman yang luas, pandangan yang tajam dan memiliki kriteria guru yang hebat. Saya suka berbincang dengan beliau kerana beliau sangat menggalakkan percambahan idea. Apa yang paling saya suka pada beliau ialah, beliau sangat menghormati saya. Langsung beliau tidak memandang rendah pada saya, malah sering berbincang dengan saya dalam hal tertentu yang mana beliau berpendapat saya lebih arif tentangnya. Juga saya bertuah kerana dibantu oleh guru lain, iaitu YBhg Prof. Madya Dr Asnarukhadi Abu Samah dan Dr Hanina H. Hamsan.
6. Disiplin dan kerja keras
Saya sangat percaya pada disiplin dan kerja keras. Meskipun saya tidak disyaratkan masuk ke ‘pejabat’ untuk waktu khusus, namun saya mendisiplinkan diri saya dengan mengikuti rutin waktu pejabat. Saya berada di ‘pejabat’ (bilik RA JSKP) dari jam 8 pagi dan akan pulang antara jam 5.30 atau 6.30 petang. Aktiviti saya ialah, membaca, berbincang dan menulis. Saya jarang mengisi masa waktu tersebut dengan aktiviti bermalas-malasan seperti bermain permainan video dan sebagainya (Syukur Facebook belum famous waktu itu). Itu rutin saya. Saya dapati, ia berjaya. Bagi saya, isu disiplin dan kerja keras adalah isu besar dalam kalangan rakan-rakan saya yang mendapat tajaan dari IPT-KPT. Bagi saya, mereka mempunyai masalah dengan masa. Saya dapati ada dalam kalangan mereka yang diberi cuti belajar digunakan untuk cuti bersungguh-sungguh, bercuti dari kerja. Makan angin, melancong dan sebagainya. Akhirnya, tatkala cuti belajar hampir tamat, barulah mereka sedar bahawa mereka belum berbuat apa-apa. Ia tak salah, cuma perlu berpada-pada. Sebaliknya saya percaya, disiplin yang saya tetapkan telah membuahkan hasilnya.
7. Kemahiran dalam penyelidikan
Pengetahuan dan kemahiran saya dalam penyelidikan sangat membantu saya menyiapkan tesis PhD. Jika saya kira penglibatan saya dalam penyelidikan formal, saya telah terlibat lebih dari dua puluh projek penyelidikan, sama ada sebagai pembantu penyelidik, pengurus penyelidikan, ahli penyelidik, penyelidik bersekutu dan ketua penyelidik. Jika ditambah dengan penyelidikan yang tidak formal (lazimnya saya menggunakan pendekatan kualitatif), menurut kiraan saya juga hampir dua puluh penyelidikan. Saya biasa dengan lapangan kajian, misalnya berada di lapangan kajian di Bario Sarawak untuk tempoh waktu yang lama. Penyelidikan-penyelidikan yang telah saya laksanakan sebelum ini telah membantu saya untuk memahami selok-belok dan proses penyelidikan. Sungguh, ia sangat membantu.
8. Banyak membaca dan berbincang/ berbahas
Antara perkara yang saya tumpukan ialah, memperbanyakkan membaca dan menekuni sumber ilmiah sama ada buku, artikel jurnal dan bahan ilmiah yang lain. Memang sukar untuk memahami perkara-perkara tertentu dari bahan-bahan bacaan tersebut, namun saya tetap memaksa diri saya untuk memahaminya, malah saya mahu mengatasi penulis bahan ilmiah yang saya tekuni. Selain itu, saya juga memegang prinsip,
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Al Insyirah: 5-6)
Saya juga bersetuju dengan pandangan Zig Ziglar, “Rich people have small TVs and big libraries, and poor people have small libraries and big TVs”. Namun bagi saya pula, “Orang yang miskin ‘membesarkan’ (mengutamakan) televisyen. Manakala orang yang kaya ‘membesarkan’ pembacaan mereka”. Isteri saya cukup memahami saya dalam hal ini, saya boleh demam jika tidak sentuh buku dalam satu hari. Saya juga mendisiplinkan diri dengan menghabiskan sekurang-kurangnya sebuah buku dalam seminggu. Saya juga kerap berkongsi idea (malah berbahas dengan merendah diri) dengan penyelia saya dalam isu ilmiah. Saya juga kerap berbincang dan bertukaran idea dengan rakan-rakan siswazah di UPM dan luar UPM, sama ada dalam isu sosial, displin Pembangunan Komuniti, teori dan metodologi. Dengan cara ini, saya sedar betapa kerdilnya diri dan betapa perlu lebih banyak usaha dilakukan untuk memperbaiki diri.
Sumber : Dr. W. A. Amir Zal, Pascasiswazah