Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest

Kanser Tulang Bukan Halangan Untuk Tamatkan Pengajian

Mengidap kanser tulang sehingga terpaksa dipotong sebahagian kaki kanannya tidak mematahkan semangat seorang graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan negeri di sini, untuk menggenggam segulung diploma.

Muhamad Iskandar Izhar, 21, berasal dari Jitra, Kedah, yang menerima Diploma Sains Komputer dalam Istiadat Konvokesyen UiTM cawangan negeri itu Ke-87, hadir bersama ibu, Yusniza Abu Bakar, 47, dan bapanya, Izhar Saidin, 46.

Menurut Muhamad Iskandar, dia mengalami kanser tulang sehingga mengakibatkan kakinya itu bengkak dan tidak boleh berjalan lalu terpaksa dipotong ketika berusia 10 tahun.

“Walaupun serba kekurangan dan terpaksa bertongkat untuk berjalan tetapi saya kuatkan semangat untuk berjaya seperti rakan-rakan yang lain.

“Antara cabaran yang saya hadapi semasa melanjutkan pengajian ialah apabila terpaksa berjalan menggunakan tongkat selama empat semester sejauh antara satu hingga tiga kilometer sehari.

“Syukurlah kerana semasa semester kelima, ada rakan yang menumpangkan saya menaiki motosikal setiap hari sehinggalah tamat pengajian,” katanya ketika ditemui.

Seramai 247 orang graduan diploma dan 29 orang penerima sarjana muda dianugerahkan sijil masing-masing pada hari terakhir dalam istiadat bermula Jumaat lalu.

Dalam pada itu, seorang graduan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perkomputeran Netsentrik, Nur Fatin Najwa Mohd. Arif, 23, turut menarik perhatian apabila hadir ke majlis tersebut walaupun terpaksa berkerusi roda disebabkan kaki kirinya patah kerana terbabit dalam nahas jalan raya, bulan lalu.

Dia yang berasal dari Johor Bahru, Johor, dan ditemani ibu, Nor’ain M. Yusof @ Ali, 52, dan adiknya, Mohd. Adham Mohd. Arif, 17, terlibat kemalangan yang hampir meragut nyawanya itu ketika kereta dipandunya seorang diri berselisihan dengan sebuah treler.

“Disebabkan itu, saya terpaksa berkerusi roda tetapi kerana semangat untuk menerima sijil dalam majlis istimewa ini dan berjumpa rakan-rakan, saya hadir juga,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

kapsyen – Muhamad Iskandar Izhar, 21, dicium ibunya, Yusniza Abu Bakar sambil diperhatikan bapanya, Izhar Saidin semasa Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis Ke-87 di Arau, Perlis.

Artikel Asal – Utusan Malaysia

 

Register.
Enjoy 10% Discount.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

JOIN US.
GET 10% Discount

LATEST POST

More Articles.

GET Notified.

Join Our
Notification
squad