TIDAK ada yang lebih menggembirakan buat ibu apabila melihat ketiga-tiga anaknya menggenggam ijazah serentak pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-45 yang menutup tirainya, di Bangi, hari ini.
Bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG), Saham Ahmad, 64, bersyukur dengan pencapaian pasangan anak kembarnya, Tengku Nor Adila dan Tengku Nor Adina Tengku Mohamed Salim, 27, yang menerima Ijazah Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu serta Ijazah Sarjana Pendidikan Matematik, manakala anak bongsunya pula, Tengku Nor Azira, 22, menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia.
Saham berkata, ia adalah hari bersejarah buat dirinya dan keluarga terutama kerana dia sentiasa meletakkan harapan supaya semua anaknya melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
“Sebagai ibu, ini adalah hari bersejarah memandangkan ketiga-tiganya berjaya menamatkan pengajian serentak. Saya doakan mereka semua berjaya di dunia dan akhirat.
“Sebenarnya, saya ingin melihat mereka juga berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) pula kerana saya tidak sempat menghabiskan PhD dulu disebabkan komitmen keluarga.
“Dalam mendidik anak, saya bersikap tegas tetapi pada masa sama kita perlu berkawan dengan anak-anak. Alhamdulillah, mereka semua faham dengan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Tengku Adila berkata, dia dan kembarnya, Tengku Nor Adina sentiasa saling bantu membantu dan jarang berpisah sejak kecil, malah kedua-duanya juga berkecimpung dalam bidang perguruan.
“Kami sentiasa bersama sejak kecil bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Mengabang Telipot Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Teknik Terengganu, IPG Kota Bharu sebelum kami dihantar bertugas di Bintulu, Sarawak. Tidak lama kemudian, Adina ditukarkan mengajar di Cheras.
“Sejak awal lagi, kami merancang untuk sama-sama melanjutkan pengajian namun tidak dinafikan terdapat cabaran yang harus ditempuhi seperti pengurusan masa kerana perlu menguruskan masa sebaiknya antara tugas mengajar dan belajar.
“Walaupun begitu, kami tetap bersemangat untuk meneruskan pengajian ke peringkat PhD nanti,” katanya.
Made from real passion! Be proud of what you're made of. Get yours now at https://t.co/W2FAwFep4V or visit https://t.co/VXeEKdqq2e pic.twitter.com/YZHgcbzepo
— Made in UiTM (@madeinuitm) October 8, 2017