SHAH ALAM – Anas Dzulkefflee, 22, dari Kuala Lumpur dinobat sebagai Mister Universal Ambassador Malaysia 2017 dalam acara berlangsung di sebuah hotel di Sibu, Sarawak minggu lepas.
Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM3,500, piala, selempang dan hadiah produk-produk tajaan penaja.
Sebagai pemenang Mister Universal Ambassador Malaysia pada tahun ini, Anas akan mewakili negara ke Mister Universal Ambassador yang akan diadakan di Dallas, Texas, Amerika Syarikat pada penghujung Ogos ini.
Sementara itu, Mister National Malaysia 2017 jatuh kepada Nigelvan Daniel, 22, dari Sabah.
Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500, piala, selempang dan produk tajaan penaja.
Nigelvan juga akan mewakili negara ke Mister National Universe di Thailand yang dijadualkan berlangsung pada 5-14 Jun ini.
Gelaran Bachelor Of Malaysia dimenangi oleh Kian Ching, 23, dari Sabah.
Kian membawa pulang wang tunai RM1,500 beserta barangan tajaan dari penaja.
Pemenang lain dipilih juri memenangi beberapa kategori David Abraham menerusi ‘Most Popular’ diikuti Javenson Serit (‘Congeniality’), Daniel Tsu (‘Best Model’), Hardy Saiful (‘B.O.M Icon Award’), Borneo Republic Creation (‘Best National Costumes’), Kian Ching (‘Best In Speech’), Anas Dzulkefflee (‘Best In Fitness’), Alif Asyraf (‘Best Body Ifit’) dan Nigelvan Daniel (‘Photoghenic Award’).
Seramai 12 peserta berentap pada acara ini dan lima daripadanya adalah dari Kuala Lumpur, empat dari Sarawak dan tiga dari Sabah.
Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu Kaunselor Robert Lau telah menjadi tetamu kehormat pada acara tersebut.
Sumber – Utusan Borneo