Pelakon drama Oh My English!, Mohd Zhafir Muzani Mohamad, 25, sebelum ini terpaksa menangguhkan pengajian selama satu semester bagi memenuhi jadual penggambaran di New York, Amerika Syarikat.
Dia yang memegang watak sebagai Mazlee dalam drama bersiri popular itu bagaimanapun bersyukur apabila akhirnya berjaya menamatkan pengajian dan menerima Sarjana Muda Teknologi Kreatif Teater Universiti Teknologi Mara (UiTM), semalam.
Mohd Zhafir berkata, dia terpaksa menangguhkan pengajian pada semester kedua bagi memenuhi jadual penggambaran drama di luar negara.
“Saya mulanya mahu pengajian dijalankan seiring dengan tugas lakonan. Namun selepas mendapat nasihat pensyarah, saya bersetuju untuk menangguhkan pengajian seketika,” katanya ketika ditemui di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di sini, semalam.
Dia yang juga penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) sebanyak 3.78 gembira apabila akhirnya berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang.
“Tidak mudah untuk membahagikan masa antara belajar dan bekerja namun ia dijadikan pendorong untuk menamatkan pengajian,” katanya.
Malah, dia berpuas hati kerana wang diperolehnya hasil kerjaya lakonan digunakan untuk membayar yuran pengajian, kos rumah sewa dan perbelanjaan lain.
Sumber : Harian Metro