Berikutan pengumuman keputusan SPM 2016 pada 16 Mac yang lalu, pasti ramai diantara calon-calon yang berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh. Akan tetapi, pasti ramai juga dikalangan pelajar yang kurang berpuas hati dengan keputusan masing-masing dan percaya bahawa keputusan yang lebih baik pasti diperoleh mereka jika semakan semula keputusan dilakukan.
Usah risau kepada anda yang yakin bahawa ada kesilapan dari pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) boleh memohon untuk membuat semakan semula keputusan.
Tidak salah jika kita inginkan kepastian, mana tahu lepas semak gred berubah. Walau bagaimanapun, bayaran dikenakan iaitu sebanyak RM 100.00 untuk satu subjek yang disemak. Oleh itu, kami kongsikan kepada anda langkah-langkah semakan semula keputusan SPM 2016.
Semakan Semula Keputusan SPM 2016
- Dapatkan borang semakan semula di sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing atau muat turun di laman rasmi Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dengan klik di sini untuk muat turun borang semakan.
- Tarikh tutup permohonan adalah dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh pengumuman keputusan peperiksaan iaitu pada 15 April 2017.
Permohonan tidak akan diterima dan diproses sekiranya:
- Borang yang tidak lengkap
- tidak menggunakan Borang LP/Am 65A Pin. 1/2016
- tidak diterima selepas tiga puluh (30) hari dari tarikh pengumuman rasmi keputusan peperiksaan.
Urusan Surat Menyurat
Sila sertakan dua (2) sampul surat bernama dan beralamat sendiri berukuran 11 cm x 22 cm bersetem RM1.00 pada setiap sampul.
Permohonan hendaklah dialamatkan kepada
PENGARAH PEPERIKSAAN
“Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia
Aras 1 – 3 dan 5 – 13, Blok E11,
Kompleks Kerajaan Parcel E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 PUTRAJAYA
(u.p : Ketua Penolong Pengarah Unit UPSR/SPM/STAM)”
Jadi, kepada calon-calon yang berasa kurang berpuas hati dengan keputusan anda, boleh memulakan proses semakan semula sebelum 15 April 2017. Selamat Mencuba!