Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest

Tolak tawaran universiti demi minat memasak

 

KUALA KANGSAR: Bermula dengan perniagaan pastri dan kek dari rumah selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seorang wanita muda mengorak langkah menguruskan operasi sebuah kafe di sini.

Malah, Nur Auni ‘Aliyah Azhair, 23, sanggup menolak tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang sains dari universiti awam selepas mencatatkan keputusan cemerlang dalam SPM, demi minatnya dalam pembuatan makanan yang dipupuk sejak di bangku sekolah.

Sebaliknya, beliau menyambung pengajian dalam bidang yang diminatinya iaitu Diploma Seni Kulinari di Institut Makanan Malaysia di Kelana Jaya, Selangor.

Katanya, walaupun bidang yang diceburi lebih tertumpu kepada masakan, pengalaman ketika menjalani latihan industri di sebuah hotel di Pahang, selain pernah bekerja secara separuh masa di sebuah kafe ternama, banyak mengajarnya selok-belok pengurusan sesebuah kafe makanan.

Berikutan itu, beliau diberi kepercayaan penuh oleh keluarganya bagi menguruskan kafe di bawah jenama D’ Auni Cafe yang beroperasi di Kampung Kandang Hilir, di sini.

“Bagi saya, untuk apa kita sambung belajar jika tidak meminati sesuatu bidang itu sebaliknya lebih baik belajar apa yang kita minat kerana ia akan membuatkan kita lebih bersungguh-sungguh mengejar apa yang diimpikan,” katanya ketika ditemui di sini.

Nur Auni ‘Aliyah berkata, minat dalam bidang masakan itu bagaimanapun hanya dapat dizahirkan sejurus tamat menduduki SPM apabila berpeluang menjalankan perniagaan dari rumah dengan menjual beberapa jenis pastri seperti kek brownies, creampuff dan lasagne.

Katanya, perniagaan yang dijalankan itu berterusan termasuk ketika mengikuti pengajian terutama ketika bercuti panjang, dari rumah keluarga yang terletak di Chandan Puteri di bawah ‘tagline’ ‘Mad by Auni’.

Suasana santai, tertutup

Lebih menarik, kafe yang dibuka berorientasi suasana santai dan tertutup dengan tema haiwan panda selain dilengkapi beberapa kemudahan termasuk pendingin hawa dan kemudahan WiFi, hidangan termasuk ala Barat dijual dengan harga bawah RM10.

Auni ‘Aliyah yang turut berperanan sebagai tukang masak, berkata kedudukan kafe kendaliannya berhampiran kawasan kampung membuatkan makanan yang dijual agak murah berbanding tempat lain.

Di samping itu, katanya, beliau cuba mengubah persepsi yang menyangka bahawa harga makanan di kafe agak mahal berbanding di restoran biasa, berikutan suasananya yang tertutup, berhawa dingin.

Selain menu ala barat berasaskan penggunaan spaghetti dan lasagne serta hidangan pencuci mulut seperti kek, menu utama yang sering menjadi pilihan adalah roti kacang pool dan laksa Johor yang dikatakan sangat sukar ditemui di daerah itu.

“Memandangkan ibu saya berasal dari Johor, maka saya cuba membawa menu yang popular di negeri itu ke sini bagi memberi kelainan berbanding premis makanan yang terdapat di daerah ini selain tetap menggunakan resipi turun-temurun dari nenek bagi beberapa jenis hidangan mi.

“Bagaimanapun, saya akan mempelbagaikan lagi menu dari masa ke semasa dan bertekad mengembangkan perniagaan ini,” katanya yang akan memindahkan operasi premisnya ke kawasan baharu berhampiran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini pada hujung tahun depan.

Kata anak kedua dari lapan beradik itu, keluarga khususnya ayah dan ibu yang masing-masing pesara guru dan guru yang masih berkhidmat banyak membantu dan mendorong minatnya terutama daripada segi modal permulaan serta galakan berupa bantuan menguruskan kafe terutama di waktu lapang atau cuti.

“Sudah menjadi lumrah orang yang baharu memulakan perniagaan berhadapan dengan cabaran khususnya daripada segi modal perbelanjaan yang besar tetapi pulangan pula hanya sekadar ‘cukup-cukup makan’, namun saya yakin sesudah dapat ‘rentak’-nya, pulangan yang diterima sangat berbaloi.

“Alhamdulillah, saya dikurniakan ibu bapa dan keluarga khususnya adik-beradik yang kadangkala turut membantu. “Mereka sangat memahami dan sentiasa menyokong keputusan saya untuk membuka perniagaan sendiri berbanding makan gaji,” katanya yang turut dibantu dua pekerja luar.

  • Tolak tawaran pengajian berteraskan aliran sains di universiti awam semata-mata mahu melanjutkan pengajian dalam seni kulinari di institusi pengajian swasta.
  • Kafe dibuka setiap hari kecuali Isnin dari 10 pagi-6 petang.
  • Memilih tema panda bagi hiasan dalaman di kafenya berikutan sangat menggemari haiwan berkenaan.
  • Kesemua hidangan yang terjual berharga bawah RM10.

Register.
Enjoy 10% Discount.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

JOIN US.
GET 10% Discount

LATEST POST

More Articles.

GET Notified.

Join Our
Notification
squad