Pasukan Ecophoton dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mewakili negara dalam Kejohanan Cabaran Solar Dunia Bridgestone di Australia bermula pada 8 hingga 15 Oktober ini.
Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, kejohanan tersebut membuktikan pasukan Ecophoton UiTM berada dalam kelas tersendiri kerana bakal bersaing dengan pasukan terbaik dari universiti seluruh dunia.
“Cabaran yang dihadapi pasukan Ecophoton UiTM bukan mudah kerana kereta solar dibangunkan pasukan ini menempuh perjalanan sejauh 3,000 kilometer iaitu dari Darwin di utara hingga ke Adelaide di selatan negara itu.
“Pasukan Ecophoton UiTM akan bersaing dengan pasukan dari negara Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan dan tuan rumah iaitu Australia sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis Penyerahan Jalur Gemilang dan Bendera UiTM di Hotel UiTM, di sini hari ini.
Made from real passion! Be proud of what you're made of. Get yours now at https://t.co/W2FAwFep4V or visit https://t.co/VXeEKdqq2e pic.twitter.com/xhdbCAsqog
— Made in UiTM (@madeinuitm) October 8, 2017
Hassan berkata, pasukan yang terdiri daripada 23 pelajar jurusan kejuruteraan tersebut akan berkongsi kepakaran masing-masing untuk memastikan jentera solar yang dibangunkan mampu mengekalkan momentum dari permulaan hingga ke peringkat akhir cabaran.
Katanya, cabaran paling getir bukan sahaja dari aspek teknikal dan automotif, malah menguji ketahanan kenderaan untuk merentas benua yang terkenal dengan muka bumi yang mencabar.
“Kita berharap pasukan kita mampu mengeksploitasi cahaya matahari sebaiknya untuk memastikan tenaga solar yang dijana mampu membawa cabaran hingga ke garisan penamat,” katanya.
Pasukan Ecophoton UiTM diketuai Pengarah Program merangkap Pengurus Pasukan, Ungku Muhammad Zulhilmi Ungku Zakaria dan dibantu timbalannya, Mohamad Amirul Farhan Aznan.